Friday, December 23, 2016

21 DISEMBER 1978




Padi telah menguning dan kami anak beranak turun ke bendang untuk mengerat padi. Ayah, Mak Cik Melah, Abang Teh, Sanusi dan aku turun ke bendang di tepi sekolah. Dangau kecil tempat kami letakkan bekalan makanan. manakala tong pemukul padi telah kami tebarkan layarnya.

Petak pertama kami kerat tidaklah sebanyak mana. Sedikit-sedikit dengan kudrat kami sekeluarga sahaja. Ia sudah cukup untuk membekalkan beras setahun untuk kami sekeluarga. Aku dan Sanusi berada di Tingkatan Satu di Maktab Mahmud ketika itu.

Ayah seperti selalu, kurang cakapnya. Dia lelaki yang tabah, tegas dan banyak diam daripada cakap. Cakapnya sepatah dua cuma, tidak pandai berjela-jela. Cakapnya sebaris ayat sahaja. Itulah yang perlu kami fahami apa yang ayah minta, apa yang ayah harapkan.

Kami perlu pulang lebih awal pada hari itu kerana ada kematian di kampung. Biasanya ayah akan pergi menyembahyangkan jenazah, dan hari itu jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor. Mak Cik Melah pula pulang awal kerana hendak berziarah kematian di tempat yang sama. (Maaf, saya lupa siapa yang meninggal dan di mana)

Kami tiba di rumah dengan basikal masing-masing. Ayah mandi di telaga, kakak Aisyah pula menanak di dapur untuk makan tengah hari kami. Mak Cik Melah terlebih dahulu pergi ke rumah orang mati. Usai mandi, Ayah naik ke beranda dan berehat di meja kayunya seperti kebiasaan. Di meja itulah ayah selalu bersarapan pagi, di meja itulah ayah menyambut tetamu yang selalu datang ke rumah ayah. Ayah adalah imam di Masjid Padang Gelanggang dan ayah juga seorang tok guru pondok yang sering dirujuk pendapat dan ilmunya.

Aku di dapur bersama kakak dan Sanusi. Abang Teh di bawah rumah...

Tiba-tiba abang Teh memanggil kami;

"Mari sini.. tengok ayah jadi apa ni!!!"

Kami semua bergegas ke beranda dan melihat ayah telah terbaring di atas beranda. Baringnya diam tidak terkata apa-apa lagi.

Ayah ni kenapa? Ayah! Ayah! Ayah!

Ayah kekal terbaring dan tidak menjawab panggilan kami.

Kami memanggil Pak Teh (Tuan Guru Datuk Haji Ahmad) di sebelah rumah kami. Pak Teh datang dan dia tidak berkata apa-apa. Dia diam melihat wajah Ayah yang kaku.

Beberapa jiran kami juga datang menjengah secepatnya berita yang kami sampaikan.

Terdengar bisikan; "Ayahmu dah tak ada!"

Aku masih tidak percaya, masih tidak mengerti walaupun cuba menerima hakikat kematian secara tiba-tiba ini. Hanya terdetik dalam hati, oh mungkin hari ini aku dapat catatkan satu lagi kisah hitam dalam warna kehidupanku lewat diari yang aku miliki. (Diari adalah resam kami dahulu, mencatat apa sahaja yang kami lalui setiap hari)

Aku dan Sanusi bersama Hisyamudin diminta untuk memanggil Mak Cik Melah balik. Ketika Mak Cik Melah menatap wajah Ayah, tiada yang terucap selain;  La khaulawala quwwata illa billah..."

Sedangkan tubuh ayah kaku dan terus diam.

Kami diminta lagi berkayuh basikal memberitahu abang dan kakak kami di Kampung Pisang dan Kampung Tanjung. Dan mulalah ramai yang datang menziarahi Ayah.

Jasad Ayah diqiamkan sebaiknya, diletakkan di atas tilam di atas katil di ruang tamu tengah rumah kami. Ramai kawan-kawan Ayah yang datang menziarah. Tok-tok guru pondok, para imam sekitar Padang Terap hingga ke Alor Setar, datang menziarahi Ayah.

Abang Mustapa yang baru berkahwin dengan Kak Yati bertugas di Kuala Lumpur ketika itu. Kami telah memaklumkan kepadanya dan menunggu kepulangannya.

Keesoan harinya selepas Zohor, ayah disemadikan di perkuburan Padang Gelanggang.

Inilah catatan anakmu untuk seorang AYAH yang amat ku sayangi, ku rindui, ku dambakan kasihmu.

Moga Allah temukan kami di syurga-Mu kelak.. amin..


No comments: