Friday, December 23, 2016

RUMAH ITU KEHIDUPAN KAMI - KENANGAN DENGAN AYAH

Tidak banyak kenangan yang dapat kurakamkan selama 13 tahun bersama ayah. Pada sisiku, ayah adalah insan yang kuperhatikan dari jauh. Tentunya tidak sedekat dan serapat sebagaimana anak-anak zaman sekarang dengan abahnya. Namun kami amat menghormati Ayah. Namun kami amat mengasihi ayah, kerana sedikitpun tidak pernah EMAK, Mak Cik mahupun sesiapa juga yang pernah memburukkan AYAH di hadapan kami. Tidak pernah dan memang tidak pernah sekalipun aku dengar orang mengatakan Ayah itu dan ini.

Ketika berada di Darjah Empat, kami berkhatan. Daud, Hisyamudin, Sanusi dan aku berkatan bersama-sama di rumah ayah. Ketika itu aku tinggal di rumah Mak Lang Aminah, emak saudaraku bersama dengan kakakku, Aisyah. Pakatan ayah agaknya, membolehkan kami empat sekawan berkhatan sama-sama. Tok Mudin Halim dan Tok Mudim Mat yang bertugas di atas batang pisang sebelum kami mandi berhabis-habisan di telaga berhampiran rumah.

Dengan sebab berkhatan, Kak Aisyah turut duduk di rumah Ayah bersama kami. Suatu hari setelah aku sihat, aku dan Kak Aisyah mengemaskan baju. Baju-baju kami tidak banyak, hanya sebungkus kain pelekat sahaja. Itulah harta kami. Aku melonggokan baju di dalam kain pelikatku, dan Kak Aisyah juga berbuat yang sama.

Ketika ayah melihat kami, dia bertanya; "Mu nak gi mane ni?"

"Kami nak pinah (pindah) ke rumah Mak Lang."

Ayah yang baru balik dari surau ketika itu melihat tajam ke dalam mataku.

"Mad E, Ayah buat rumah besar ni untuk mu duduk sini. Duduklah sini. Tak sahlah nak pinah (pindah) lagi!"

Itulah satu ayat yang agak panjang aku dengar daripada ayah. Itulah kalimah yang mengubah pertimbangan seorang anak dengan ayahnya.

Aku diam. Kami diam. Kaku dan kelu tidak terkata.

Aku kembali mengemaskan barangan kami ke tempat asal. Dan dari saat itulah aku menjadi penghuni tetap di rumah ayah bersama Mak Cik yang kami kasihi.


No comments: