Friday, December 23, 2016

TAHLILAN DAN BERZANJI - KENANGAN DENGAN AYAH

Pergi kenduri dengan ayah memang seronok, yang utama boleh makan bersama Ayah dalam 'kepala hidang' yang tentunya lebih istimewa. Gulai kambing tetap gulai kambing juga, hanya mungkin bahagian kepala kambing itu yang menjadi hidangan utama untuk ayah. Dan aku di sisi ayah akan dapat makan apa yang ayah makan.

Dan Ayah pula suka membawa aku menemaninya ke majlis kenduri kendara. Aku ikut sahaja tanpa membantah. Mungkin kerana tubuhku yang agak kecil dan mudah ayah nak kayuh basikal tuanya tanpa teralu berat, mungkin juga aku jenis pendiam yang tak akan berkata apa, tidak akan memberi reaksi apa biar bagaimanapun sekali majlis itu.

Kerap kali majlisnya lambat berakhir. Bayangkan jika ada tahlil, yasinan dan diikuti pula berzanji, tentulah mengambil masa yang panjang. Pada ketika itu, kami buat kenduri tidak kami kisahkan hari sekolah atau hari cuti. Asalkan ada malamnya, kami buat sahaja tahlil dan kenduri.

Ayah pula ajak sahaja aku menemaninya. Aku ikut.

Dalam majlis yang panjang itu, puas aku bertahan untuk tidak tidur, tetapi kadang kala tertidur juga. Apabila tertidur, aku akan dikejutkan ayah sebelum kami dapat bergerak balik. Kami melalui denai dan kebun-kebun dari Padang Gelanggang ke Pondok Padang Nyiur. Ingat, pada ketika itu tiada lagi jalan bertar, semuanya jalan selut berlumpur ketika hujan dan berdebu ketika kering. Kami akan jatuh ke selut jika tayar basikal terheret ke lumpur dalam, dan boleh terjatuh juga jika debunya terlalu banyak.

Membonceng basikal tua ayah di belakangnya, suatu yang mangli. Tiada apa yang hendak dikesal.

No comments: