Wednesday, February 6, 2008

BUKU BARU UPENA DARI PENULIS UiTMJOHOR

Buku baru: Agama dan Kehidupan; Tamadun, Politik dan Sosial.

Sejak awal Januari 2008 saya berhajat ke UPENA Shah Alam bagi mengambil Jurnal Akademik UiTM Johor dan buku-buku lain yang baru terbit. Hinggalah pada 6 Februari 2008 baharu saya dapat ke sana dan mendapatkan Jurnal Akademik dan dua buah buku baru terbitan penulis UiTM Johor.

Buku itu ialah Agama dan Kehidupan; Tamadun, Politik dan Sosial susunan Mohd Halim Kadri, Maymunah Ismail dan Azura Jamil, dan satu lagi buku Memahami Islamisasi Ilmu Dari Pemikiran Ismail Ragi Al-Faruqi karya Prof Madya Abdul Halim Ramli. TAHNIAH UPENA ucapkan kepada mereka.

Terharu benar apabila menatap kedua-dua buku berkenaan yang cantik dan lay-outnya lebih cantik dan memudahkan pembaca (mesra pembaca) dengan font yang lebih besar dan teratur. Satu penambahbaikan yang diperkenalkan oleh UPENA, sebagai penerbit rasmi UiTM.

Menatap buku Agama dan Kehidupan; Tamadun, Politik dan Sosial ternyata amat seronok membacanya. Bahan yang dipilih juga amat sesuai dan tersusun dalam skop judul yang baik. Tulisan Muhammed Uthman El-Muhammadi mengenai gagasan tamadun Islam lewat bicara Ibn Khaldun umpamanya menyentuh soal jatuh bangun sesebuah negara dan teras yang mempertahankan negara bangsa. Negara bangsa adalah sunnah tamadun lahir sejak bermulanya manusia kenal erti negara dan masyarakat. Tidak pernah terpisah, tidak pernah dipisahkan antara jati diri bangsa dengan kewujudan negara. Malah teras tamadun Islam pada awal zaman Rasulullah terdiri dari kalangan bangsa Arab yang didominasi oleh Muhajirin dan sebahagiannya kalangan Ansar. Kesatuan bangsa menjadi asas utama membentuk negara.

Selain itu, artikel Prof Yusof Othman mengenai fungsi akal dalam membina budaya intelek dan keilmuan. Ia mengupas penjanaan akal berlandaskan kajian fenomena alam yang seiring dengan ketetapan wahyu Tuhan. Sementara itu, akal punyai panduan atau kerangka tertentu yang perlu diikuti sebagai model melestarikan kebebasan akal dan kehendak Tuhan, seperti dimuatkan dalam artikel Ahmad Nawawi Yaakob.

Menyentuh soal emensipasi wanita, penulis menyerlahkan tentang keunggulan Islam dalam menentukan aras panduan kebebasan wanita dengan menghargai mereka sebagai manusiawinya yang perlu dihormati dan diberi haknya. Ia bukan soal enteng kerana Islam telah memberi ruang kebebasan tersendiri kepada wanita, yang pada ketika itu mereka tidak lebih sebagai barangan dagangan semata!

1 comment:

Mohd Halim Kadri said...

Alhamdulillah, akhirnya terbit juga buku tu ye Ustaz.