Monday, February 25, 2008

USTAZ, PENDAKWAH DAN PREJUDIS

USTAZ, PENDAKWAH DAN PREJUDIS

Para ustaz biasanya menjadi pendakwah yang ditonjolkan ke hadapan sebagai penceramah atau ’perawat umat’. Pendakwah punyai tanggungjawab berat yang tidak termungkin dilunaskan semuanya. Apa tidaknya, tanggungjawab pada diri sendiri, pada keluarga, anak-anak, masjid, tempat kerja, masyarakat dan negara. Di sinilah terasa bebannya menjadi ustaz dan seorang pendakwah serentak. Tapi itulah hakikat yang perlu ditanggung oleh setiap muslim, khasnya pendakwah.

Namun ada perkara yang sering diperkecilkan pendakwah dan para ustaz. Perkaranya ialah sikap prejudis atau buruk sangka –suuk dzan- terhadap orang lain. Buruk sangka ini terbina dikit berdikit apabila Allah berikan kelebihan kepada ustaz berkenaan, seperti kelebihannya berceramah, berubat dan mengubat, berkawan dengan tokoh-tokoh dan sebagainya; lalu dia terperdaya dengan persekitarannya hingga mengaggapkan orang lain sebagai lemah, tidak layak dan tidak boleh diambil kira.

Maka timbullah kata-kata para ustaz berkenaan; ”Jangan jemput ustaz anu bin anu untuk berceramah atau mana-mana program kita.” Atau kata-kata; ”Kalau nak dapat nasihat, jumpa saya sahaja. Jangan cari orang lain.” Dan yang lebih parah, kata-katanya;”Jangan bermakmumkan ustaz ini, dia tidak betul!”

Fenomena ini merupakan racun besar kepada dakwah dan Islam yang dibawa. Kita telah menyempitkan ruang dakwah, menanamkan permusuhan dan curiga hati kalangan pengikut dan akhirnya merosakkan iman dan hati manusia yang tulus dalam kerjanya. Bukankah Rasulullah bersabda; ”Janganlah kamu menimbulkan dharar dan janganlah pula memudaratkan.”

No comments: