KURSUS PENGHAYATAN & PEMANTAPAN SOLAT
“Solat adalah asas besar dalam diri yang perlu diutamakan dalam setiap perlakuan kita.” demikian dinyatakan Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor ketika merasmikan Kursus Penghayatan dan Pemantapan Solat anjuran CITU dan Bahagian Pentadbiran UiTM Johor baru-baru ini. “Selain memantapkan solat, saya mengharapkan staf UiTM bersedia untuk mempelajari al-Quran dengan memanfaatkan kemudahan dan kepakaran yang ada di sini.” ujarnya lagi.
Program sehari yang diadakan di Masjid As-Syakirin UiTM Johor disertai 50 orang staf sokongan bertujuan untuk memantapkan amalan solat sebagai paksi utama pembinaan modal insan. Peserta bukan sahaja didedahkan dengan falsafah solat, malah melakukan praktikal solat sunat dhuha dan kaedah solat jamak dan qasar.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Segamat, As-Syeikh Haji Mohd Azman Muhsin dijemput menyampaikan ceramah dan diskusi tentang solat. Menurut beliau solat yang cemerlang akan membuahkan kerjaya yang cemerlang, keluarga yang cemerlang dan ekonomi yang cemerlang. Malah solat sunat Dhuha perlu dijadikan amalan harian sebagai nilai tambah yang besar ganjarannya, jelasnya lagi.
Kebanyakan peserta yang mengikuti kursus ini amat berpuas hati dan berazam untuk menyempurnakan ibadah seharian dengan lebih baik. Semoga bumi bertuah ini dimakmurkan oleh insan soleh yang hebat dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment