Ini adalah artikel lama yang saya tulis untuk terbitan sebuah majalah, namun sampai hari ini saya tidak pasti sama ada disiarkan atau tidak.
Ibn Khaldun meletakkan 50 tahun sebagai akhir hayat dan saat kejatuhan sesebuah kerajaan. Apakah teori ini benar dan konsisten?
TEORI IBN KHALDUN DAN ISLAM HADHARI.
Ibn Khaldun dalam bukunya Al-Muqaddimah menjelaskan teori jatuh bangun sesebuah negara. Menurutnya, jatuh bangun sesebuah negara dan tamadun yang dibina selama lima puluh tahun sahaja. Ini berdasarkan kepada sejarah jatuh bangun negara Islam baik pada zaman Sahabiyah Awwalin mahupun kerajaan Umayyah dan Bani Abbasiyah di Baghdad. Lingkungan jatuh bangun negara Islam berlingkar pada tiga generasi kepimpinan, sebelum berlakunya hubbu-tarf, cintakan dunia dan kemewahan pada generasi berikut.
Hujahan Ibn Khaldun bukan sepertinya omongan kosong, apatah lagi beliau sendiri diiktiraf sebagai ‘bapa sosiologi moden’ lantaran keupayaannya mengemukakan pandangan dalam pencernaan ilmu baru. Melihat realiti ini, kita di Malaysia seakan tersentuh dengan situasi gusar dan kadang kala mengancam kewibawaan kepimpinan tertinggi negara. Apakah benar teori Ibn Khaldun akan membenarkan situasi kita di Malaysia?
Apakah elemen utama kejatuhan sesebuah kerajaan? Apakah kerana usianya lima puluh tahun sahaja sudah cukup untuk melihat ia jatuh tanpa faktor lain yang turut menyokong?
Bagi mengupas persoalan ini, kira lebih benar dan tepat jika kita jadikan tamadun Melayu sendiri sebagai kayu ukur kelangsungan pembangunan kerajaan dan sesebuah negara. Tamadun Melayu yang dahulunya berpusat di Melaka, pernah juga di Johor Riau, Aceh, kerajaan Terengganu dan Kelantan sebelum itu, merupakan wahana utama untuk dikaji.
Sosiologi bangsa Melayu tidak jauh berubah daripada apa yang ada dahulu, dengan apa yang dilalui hari ini. Mengkaji sejarah jatuh bangun bangsa sendiri adalah amat dekat dengan realiti kelangsungan tamadun dan kerajaan kita. Bangsa Melayu punyai entiti tersendiri yang dikatakan begitu sukar menerima perubahan, begitu payah mengadun agama dalam hidup seharian jika tidak kena pada tempat dan masanya. Umat Melayu amat kasihkan kepimpinannya dan teguh pada prinsip ketuanan Melayu yang tidak disanggah.
Hal seumpama ini banyak terjadi dalam sejarah bangsa kita. Melihat sejarah Melaka yang berjaya dibangunkan oleh Sultan Mansur Shah dengan sokongan penuh Bendahara Tun Perak, merupakan zaman kegemilangan Melayu Nusantara. Kekuatan politik dan kebijaksanaan, disertai pula dengan keadilan sosial yang dijaga baiknya menjadikan zaman ini sebagai zaman yang paling makmur. Biarpun pada zaman Sultan Alaudin Riayat Shah menjadi pemula pelaksanaan dasar-dasar agama dalam pentadbiran negara, namun kekukuhan dan kegemilangan hanya berjaya dipacu oleh sultan berikutnya.
Kembali pula meneliti era kejatuhan kerajaan Melaka, tidak lain tidak bukan bermula dengan kelemahan kepimpinan Sultan Mahmud Shah yang dikatakan mengutamakan kepentingan peribadi dan menafikan keadilan sosial kalangan rakyat. Faktor kepimpinan yang kurang upaya berjaya dijadikan alat oleh pihak musuh untuk bekerjasama dengan pihak luar; Portugis untuk mengundang bala berpanjangan.
Kewibawaan kepimpinan dilihat menjadi faktor penting di samping keadilan dan ketelusan dalam pemerintahan kerajaan Melayu untuk mereka terus kekal bertahta. Kewibawaan kepimpinan bukan hanya terletak pada bahu ‘orang nombor satu’ malah juga pada pembantu dan mereka yang berada di sekelilingnya. Sultan Mahmud tidak akan mampu berkuasa dan bertahan dengan hebat jika tidak ada pembantunya sehebat Tun Perak. Sultan Mahmud biarpun berkuasa penuh tetapi orang di sekelilingnya tidak memberi sokongan padu, sementelah kezaliman peribadi menjadikan dia mempunyai musuh dalam selimut yang menumbangkan kerajaan Melayu Melaka.
Retoriknya, umat Melayu berpegang teguh kepada keadilan kerajaan, pada dasar agama yang tidak berbelah bagi (tidak membelakangkan agama) walaupun ada perkara lain yang tidak menjadi keutamaan.
Memahami realiti ini, kepimpinan tertinggi negara kita pada masa kini tidak boleh sama sekali dijadikan alasan kepada kejatuhan kerajaan Melayu Malaysia. Ini kerana kewibawaan kepimpinan nombor satu teruji mempunyai kekuatan yang tersendiri. Ketabahan dan ketelusan menjadi agenda penting dalam melangsungkan pembangunan negara. Sifat sabar, tenang dan tidak cepat melatah menjadikan mereka yang cuba mencari helah, tidak kesampaian hajatnya. Di samping itu, dasar negara melalui pendekatan Islam Hadhari telah memberi ruang baru kepada rakyat untuk terus mempertahankan kepimpinan kerajaan.
Kerajaan kita juga mempunyai sokongan pelapis yang padu dan seimbang. Ia mampu memberi sokongan penuh kepada pucuk tertinggi negara melangsungkan pembangunan yang dirancang. Oleh itu, kita penuh percaya bukanlah angka lima puluh tahun merdeka, menjadi fobia dan alasan untuk menjatuhkan keunggulan sesebuah kerajaan, khasnya kita di Malaysia. Pendekatan Islam Hadhari sebenarnya mempamerkan kesungguhan kita untuk memacu pembangunan pada landasan yang betul. Dan kita meraikan lima puluh tahun merdeka dengan aman, makmur dan harmoni di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ahmad Nawawi Yaakob
Pensyarah CITU, UiTM Johor
Segamat
No comments:
Post a Comment