Thursday, May 8, 2008

KEMATIAN ITU PENGHUJUNG HAYAT DI DUNIA

KEMATIAN ITU PENGHUJUNG
HAYAT DI DUNIA..

Kematian datangnya tanpa diduga. Setiap yang hidup hanya menyongsang kematian pada detik yang dilalui, tanpa diketahui sesiapa. Baru-baru ini kita kehilangan lagi seorang jemaah surau; Allahyarham Aziz bin Mamat, abang ipar kepada Cikgu Ramlee (Pengerusi Jwt Surau kita).

Dalam pada itu, bonda kepada Cikgu Ramlee juga kembali ke rahmatullah pada hari yang sama – 5 Mei 2008 – di Tanjung Selabu, Muar. Beberapa orang rakan kita sempat menziarahi keluarga arwah dan kita harapkan amalan ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Selain dapat berkenal dengan keluarga jemaah, dapat pula mengeratkan lagi kasih sayang kalangan kita.

Dalam kes seperti ini, ternyata ramai rakan-rakan kita yang sedia bersusah payah membantu keluarga terlibat. Ada yang menjadi ‘informer’, ada yang uruskan kain kapan, kenderaan jenazah, mengemas rumah, kubur, urusan mandi, solat jenazah, talkin dan hinggalah majlis tahlil/ yasin tiga malam berturut-turut.

Semangat kerjasama seperti ini sesungguhnya telah merapatkan ikatan kasih sayang dan hormat menghormati kalangan kita. Sampai ada yang bertanya; ‘Tuan ni ada pertalian keluarga ke dengan si fulan?’ Tentunya tidak. Tetapi ikatan kekeluargaan yang lebih besar, ikatan persahabatan atas agama dan kemanusiaan menjadi asas kepada perlakuan kita.

Dalam realiti hari ini, definisi ‘keluarga’ mungkin perlu diubah. Ia bukan lagi pertalian darah semata-mata, malah pertalian setaman, semasjid, sejabatan, seorganiasasi menjadi lebih kuat dan kukuh berbanding pertalian darah. Terharu benar apabila melihat ada rakan-rakan yang tidak berkira untuk membantu sesiapa sahaja dan dia insan hebat anugerah Allah kepada kita.
Semoga rahmat Allah akan terus bersama kita.

No comments: