Dalam usia 90 tahun, tentunya telah banyak peluang Allah berikan kepada beliau berbakti kepada agama dan bangsa. Kini harinya telah tiba dia kembali ke pangkuan Ilahi setelah sakit beberapa waktu. Tuan Haji Kadir adalah mantan imam di Surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan. Menamatkan tugasan imam setelah berpindah ke rumah barunya di Sulir (Bukit Lintang), dahulunya adalah polis yang bertugas pada zaman darurat.
Pengalamannya sebagai polis diserang dengan hujan peluru komunis di Balai Polis Bekok adalah pengalaman ngeri luar biasa. Ketegasannya digeruni musuh. Dan sifat ini terbawa-bawa ke akhir hayatnya. Apabila saya maklumkan kematian beliau kepada anak saya si Zaim, dia menjawab; "oo imam yang garang dulu tu ek?"
Kesungguhan Haji Kadir mengimarahkan surau TY luar biasa. Dia tidak kisah hujan dan panas akan pasti datang mengimamkan jemaah. Berzanji menjadi mainan harian yang selalu dibaca. malah hari-hari terakhir hayatnya, masih lagi dia mahu mendengar berzanji yang dilagukan En Ghani. Karenahnya yang kadang kala menimbulkan rasa tidak senang jemaah adalah sebahagian dari kelebihan peribadinya.
Kini dia kembali kepada Allah dan disemadikan pagi ini (10 pagi, 28 Ogos 08) di perkuburan Bukit Lintang. Semoga Allah menerimanya dalam kalangan insan soleh dan anbia. Terima kasih Imam Haji Kadir atas sumbangan tuan selama hayat kepada kami di TY... Budi jasamu tetap kami kenang selamanya.
1 comment:
Al-fatihah
Post a Comment