Friday, November 7, 2008

IBADAH HAJI: KEWAJIPAN DAN KOMITMEN

Musim haji tiba lagi. Panggilan Mekah dan Madinah bagai melambai hamba-hamba-Nya yang bersedia untuk menyahut cabaran ibadah yang paling tinggi sebagai tanda ketaatan manusia. Kewajipan haji telah sedia termaklum. Ia menjadi rukun Islam ke lima yang wajib kepada mereka yang mampu.

Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan sejenak. 1. Soal mampu; adakah saya ini mampu sedangkan pendapatan saya tidak pernah cukup untuk menampung keperluan keluarga? 2. Adakah layak saya ini menunaikan haji sedangkan saya masih muda dan rasa macam tak sesuai hendak dipanggil haji lagi…

Mampu adalah relatif. Orang kampung yang berkebun pisang pun boleh pergi haji, nelayan kecil dan buruh kasar pun ramai yang pergi haji. Mampu bermaksud keazaman dan kesungguhan kita untuk pergi menunaikan perintah Allah. Bagi yang berkerja tetap tentunya tidak sukar untuk merancang ke Mekah sejak awal. Yang perlu ialah tekad dan keazaman, doa dan tawakkal itulah rahsia dipermudahkan Allah segala jalan untuk ke sana. Bermulalah dengan niat, kemudian menabung yang konsisten. Katakan kita menabung sebulan RM100 – RM200, dalam tempoh 10 tahun tentunya simpanan sudah cukup malah berlebihan jika ditampung bonus dan dari sumber lain.

Fatwa terkini pula membenarkan kita berhutang yang terancang untuk menunaikan haji. Maksudnya macam personal loan dari Bank Rakyat yang mampu dibayar ansuran bulanan, bukannya hutang along.. bolehlah menunaikan haji.

Usia muda adalah paling sesuai ke sana kerana fizikal dan minda masih utuh dan mampu menghadapi berbagai situasi mencabar. Usia 40an adalah terbaik kerana anak-anak masih kecil, belum masuk U, belum nak berkahwin, yang nantinya banyak memakan belanja besar. Soal anak-anak kecil yang bersekolah, itu bukanlah halangan utama kerana tempoh 40 hari itu bukanlah terlalu lama untuk meninggalkan mereka.

Sebenarnya di sinilah letaknya komitmen kita untuk mengerjakan haji. Melancong dan ziarah yang paling baik sebenarnya ada pada ibadah haji.

No comments: