Thursday, April 9, 2009

NON MUSLIM BACA QURAN...DAN ISU...

Saya suntingkan pendapat seorang ustazah mengenai isu baca Quran oleh non muslim, apa hukumnya:

"Ana bukanlah ulamak yang layak menjawab dan memberi kata putus dalam hal ini. Hanya sekadar ingin berkongsi pandangan berdasarkan kefahaman yang cetek mengenai Islam dan kitab suci yang Allah turunkan.

Kebanyakan orang Islam masih di belenggu pemikiran yang sempit dan terbatas. Dengan pemikiran yang sempit itu mereka mengurung Islam dan segala yang berkaitan dengannya di dalam penjara yang khusus dan ekslusif. Tidak boleh diusik dan disentuh oleh orang yang mereka namakan bukan Islam. Seolah-olah nama bukan Islam itu suatu nama yang kotor, yang dipatrikan dan akan kekal dengan nama itu buat selama-lamanya.

Maka idea untuk memperkenal dan mengajak mereka kepada Islam tidak timbul sama sekali. Apabila berlaku sedikit kebocoran daripada khazanah Islam yang dipasung itu, apabila orang bukan Islam dapat mengutip satu dua ayat dan membacanya, maka heboh dan kecohlah satu kampung tak ubah suasana mengejar anak ayam yang terlepas dari reban.

Kita balik kepada al-Quran dan sirah Rasulullah SAW.

Al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS memulakan suratnya yang ditujukan kepada Ratu Saba' yang menyembah matahari dengan basmalah.

Nabi Muhammad SAW di dalam surat-surat yang diutus kepada raja-raja Habasyah, Mesir, Parsi, Rom, Uman dan sebagainya, semuanya dimulakan dengan basmalah dan dimasukkan pula di dalam surat itu petikan ayat suci al-Quran surah Ali'Imran 3:64. Apakah tujuan baginda menyelitkan ayat al-Quran di dalam suratnya? Tidakkah baginda bimbang mereka akan menghina dengan mengoyak atau memijak-mijaknya? Atau adakah baginda telah mengenal pasti bahawa penerima surat itu akan membaca dengan betul makhraj dan tajwidnya?

Berbalik kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dan membacanya untuk tujuan kempen, memberi salam dan menjawab salam, kita perlu lihat beberapa perkara:

1. Adakah terdapat tanda-tanda mereka membaca itu dalam nada mengejek, nampak tanda-tanda ada niat untuk mempersenda dan mempermain-mainkannya?

2. Atau ayat itu dibaca untuk menarik perhatian orang Islam terhadap tanggungjawab mereka sebagaimana yang dituntut oleh kitab suci mereka sendiri? Hal ini bukankah sama dengan kalau orang Islam mengajak orang bukan Islam (Kristian misalnya) menghayati sesuatu kebaikan dengan memetik beberapa potong ayat daripada bible?

3. Andaikata mereka membacakan ayat-ayat kitab agama mereka di hadapan kita penganut Islam, apa pula reaksi kita? Adakah kita akan melenting dan berkata mereka cuba meracuni fikiran kita dengan mendakyah agama mereka?

4. Tentang orang bukan Islam memberi ucapan salam, al-Hafiz Ibn Kathir menyebut di dalam kitab tafsirnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila seseorang ahli kitab (orang bukan Islam) memberi salam kepada kamu, maka jawablah: 'alaika" Maksud 'alaika ialah atas kamu. Kata Ibn Kathir, ertinya atas kamu apa yang kamu ucapkan. Maknanya kalau mereka berniat baik, mereka akan dapat kebaikan. Kalau sebaliknya, mereka juga akan menerima padahnya.

Kita lihat adakah Nabi SAW larang mereka bagi salam? Adakah Nabi buat undang-undang dan akta orang bukan Islam tak boleh guna ucapan salam yang orang Islam guna? Tidak. Malah Nabi dengan penuh bijaksana mengajar umatnya agar menjawab salam mereka secara bijaksana.

Allahu A'lam"

Ust Maznah Daud

1 comment:

Mohd Halim Kadri said...

Salam Ustaz,

Sepatutnya al-Qur'an itu dibaca dan dihayati oleh orang-orang Islam. Bukan disimpan di tempat-tempat yang tinggi yang tidak tercapai oleh tangan. Bila nak baca takut salah, bila nak tengok makna takut silap faham.

Sebenarnya sudah zaman berzaman, orang bukan Islam membaca dan mengkaji al-Qur'an walau apapun tujuannya. Contohnya ramai Profesor bukan Islam di luar negeri yang membaca dan mengkaji al-Qur'an.

Akhirnya, kalau kita sayangkan al-Qur'an, bacalah, hayatilah dan cuba laksanakan tuntutan-tuntutannya dalam kehidupan kita.