Monday, July 20, 2009

HADIAH SASTERA DARUL TA'ZIIM KETUJUH 2009

Jumaat lalu (17 Jul) saya bersama Ainol mewakili Pengarah dijemput menghadiri majlis berkenaan di Persada Johor. Hubungan intim UiTM Johor dengan pihak Yayasan Warisan Johor mengikat UiTMJ dengan aktiviti kerajaan negeri dan YWJ, khasnya.

Majlis disempurnakan Datuk Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor yang turut dipenuhi warga UiTM Bandaraya JB diketuai PM Dr Ahmad, ketua mereka.

Peluang ini menemukan kita dengan beberapa orang penulis profilik tanah air dan penggiat sastera negara termasuklah Tan Sri Prof Ismail Hussein, Mohamad Salleh Rahamad, Datuk Hasan dan ramai lagi.. Dan saya bertemu seorang rakan lama; PM Muhd Zahib yang kini menjawat Pengarah Kebudayaan di UTM Skudai, kenangan di Kolej Tunku Canselor UTM kekal dalam ingatan.

Apa yang istimewa pada majlis berkenaan ialah anugerah khas Hadiah Karyawan Sastera Johor kepada Pak Matlob (Mokhtar Talib), Hadiah Cipta Karyawan Muda (Nazim Subari) dan Hadiah Karyawan Bukan Melayu Johor dinobatkan kepada Sdr Lee Tan Luck, dari UiTM Johor.

Tahniah kepada Sdr Lee TL di atas penganugerahan ini yang merupakan galakan dan dorongan besar kepadanya untuk terus berkarya. Percayakah kita bahawa karya Lee TL sebenarnya diterbitkan oleh UPENA Malaysia dengan novelnya Kiambang Seri di Kuala Paya (2006), Istikharah di Persimpangan Pauh Manis (2007) dan Perlah (2008).

No comments: