Thursday, August 20, 2009

ABDUL HADI INDON





Dia adalah insan biasa dari Indonesia yang berhijrah mencari rezeki di bumi bertuah Malaysiaku ini. Lebih lima tahun dia berjejak ke sana sini, dipergunakan majikannya atas alasan mencari rezeki, namun dengan sikapnya yang baik, ringan tulang, selalu ke surau dan mudah membuat itu dan ini tanpa disuruh, menjadikan dia lebih dikenali daripada rakan-rakan Indon lain. Dia juga sering menjadi bilal dengan suaranya yang lunak dan menyentuh.

Saya mengambilnya sebagai rakan dan kawan, sahabat dan saudara. Pernah dia membantu saya menanam sawit, meracun, mengecat rumah dan berbagai kerja sampingan yang termampu dibuat. Kehadirannya di Taman Yayasan memberi kesan (dan sumbangan) besar kepada kami. Dalam majlis kenduri kendara, program di surau, banyak yang melibatkan hamba Allah bernama Hadi ini. Soal cat mengecat memang kepakaran beliau dan hingga malam tadi, saat-saat terakhir berada di Malaysia, masih juga berkesempatan mengecat besi khemah dan pagar surau.

Hari ini dia kembali ke Indon dengan seribu kenangan pastinya. Malam tadi lama kami berpelukan, dia tidak tertahan sebaknya menghargai persahabatan yang terjalin. Kami sekeluarga sempat membawanya makan malam dan menghadiahi sehelai kain buat Yanti, isterinya yang ditinggalkan beberapa waktu.

Untukmu Hadi, ambillah pengalaman di sini untuk kau bina hidup baru di tanah kelahiranmu. Jagalah agamamu, jagalah masyarakatmu dan jagalah keluargamu. Jadilah pemimpin kalangan umatmu di sana. Pertemuan kita, Allah yang tentukan dan perpisahan ini juga Dia yang takdirkan. Salam perpisahan dan semoga Allah memberkati persahabatan ini buat selamanya.
(Abdul Hadi Marhudin, 34. Desa Gunung Sugi, Kacamatan Salem, Kabupaten Berabes, 52275 Jawa Tengah)

(SMS Hadi malam tadi; Malam ini tak bisa pejamkan mata. Jiwaku kan jauh dari insan yang bermakna dalam hidupku. kasih sayangmu kan ku kenang sampai akhir hidupku, Allah sj yg mampu membalasnya, Ustad sihat selalu. 20/8/09; 12:26)

3 comments:

Fasiha said...

kalau dah peribadi yag baik menjadi amalan, ia pasti dikenang orang..
Nama yang baik pasti meninggalkan kesan yang baik,tempiasnya juga akan dirasai oleh orang disekelilingnya.

Ariberto said...

Salam Ustaz,

He's OIAM. Insan yang peramah,mudah diajak bergurau namun tidah pernah lokek berkongsi pengalaman hidup merantau dan yang paling utama dia tetap dengan jati dirinya. Semoga dia tak lupa akan kita semua di STY.
*ternampak beliau sewaktu nengecat disurau,tak sempat nak berbual...ralat sangat rasanya

Ular Menyusur Akar said...

Bila sebut pekerja Indon, perasaan saya berbaur. Saya pernah terlibat menjaga ratusan pekerja Indon dan ingin membawa mereka kepada orang yang di hurmati. Saya menghadapi cabaran besar di dalam mencapai matlamat saya. Saya menghadapi kekecewaan teruk. Hanya kata Pengerusi Surau dan Ustaz yang mengubati luka hati saya; "Kita tidak tahu bila Allah akan memberi hidayah kepada mana-mana hamba-hambanya". Kasih sayang Ustas kepada remaja saperti mereka, amat saya kagumi. Walau bagaimanapun saya amat merindui Wak Irah dan teringat bagaimana saya membujuk beliau kerana menanggis di subuh hari. Saya bawa kerumah dan berikan sarapan. Saya juga berjanji akan memberikan sedikit bantuan kewangan untuk membolehkan beliau pulang ke pangkuan anak dan isteri. Hadi juga di antara mereka yang tersemat di dalam ingatan saya.
Terima kasih Ustaz, kerana turut terlibat memberikan kebajikan dan bimbingan kepada mereka. Saya yakin, nama Ustaz pasti meniti di bibir mereka.