Wednesday, August 5, 2009

NISFU SYAABAN: AMALAN DAN BID'AH

Malam ini Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban) dan kebiasaannya kita mengadakan majlis bacaan Yaasin dan tahlil. Saya kira ia adalah amalan yang baik sebagai usaha kita beramal ibadah. Cumanya, janganlah pula beranggapan malam ini sahaja yang perlu diraikan, diibadahkan sedangkan pada ketika lain tidak pula mahu beramal.

Ibadah janganlah pula dipaksa-paksa, lebih-lebih lagi ibadah sunat yang tiada nas kesahihannya. Bacaan Yaasin sampai 3 kali adalah kurang sesuai dengan kita mengejar masa dan satu 'keterpaksaan' pula kepada jemaah. Beramallah sebagaimana amalan para sahabat r.a.

Suka saya sunting satu pendapat seorang sahabat tentang amalan pada bulan Syaaban; PM Dr Ahmad Che Yaacob;

"Terima kasih kepada puan yang memperingatkan kita semua untuk beramal. Ia juga mengingatkan kita tidak lagi kita semua akan menyambut bulan Ramadan yang mulia. Oleh itu, kita perlu membuat persiapan terutama dengan latihan berpuasa sunat dan membaca al-Quran. Cuma berpuasa sunat selepas 15 Sya'ban tidak digalakkan jika ia bukan menjadi kebiasaan kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan dan dibimbangi kerana mengejar yang SUNAT kita tak larat nak buat yang WAJIB.

1. Saya ingin memperbetulkan mengenai amalan dalam bulan Sya'ban ini. Apa yang disebut terdahulu bahawa kita disuruh membaca Yasin 3 kali.

Pada pandangan saya, memang tidak dapat dinafikan bulan ini (Sya'ban) adalah bulan yang mulia dan amalan membaca Yasin serta mana-mana ayat al-Qur'an adalah AMAT DIGALAKKAN dalam Islam. Cuma tidak ada dalil atau nas yang khusus menyuruh kita berbuat begitu sempena bulan-bulan tertentu. Kita boleh membaca pada setiap masa dan ketika. Sudah menjadi satu tradisi dan kebiasaan setempat bagi masyarakat Melayu di Nusantara untuk melakukan amalan seperti ini dan ia tidaklah ditegah kerana ia adalah bentuk dakwah yang berkesan untuk mengajak orang beribadah. Tetapi sekiranya kita beranggapan dan beri'tiqad bahawa hanya pada malam tersebut sahaja kita boleh membaca Yasin dan hanya pada malam tersebut sahaja amalan diterima, maka ia SUDAH SALAH.

2. Disebutkan juga kita disuruh solat sunat Nisfu Sya'ban. Pada hemat saya ini sudah SALAH.

Kesimpulannya, marilah semua kita menambahkan amal dan menambahkan ilmu. Amalan ibadah adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, pastikan amalan ibadah tersebut adalah bukan dari hasil ciptaan atau rekaan diri sendiri (bid'ah) tetapi bersumberkan dari Allah dan RasulNya (al-Qur'an dan al-Sunnah). Mana-mana amalan ibadah yang direka-reka ia menjadi bid'ah dan ditolak / tidak diterima.

Ibadah itu suci dan murni
Ibadah bukan rekaan insani
Ibadah datang dari perintah Ilahi

Sekian, terima kasih. Mohon diperbetulkan jika saya tersilap.

Al-Faqir ila ALlah

ahmad che yaacob
15/ 9 / 2005

No comments: