Monday, October 12, 2009

NGE QUI YIN, 52

Seorang wanita Cina ini mungkin tiada terkenal untuk diperkenalkan pada dunia. Namun saya (dan kami) di Taman Yayasan mengenali dan menghargai keberadaannya. Dia seroang yang rajin menolong majlis-majlis kenduri kendara di sini, malah banyak aktiviti di surau, dia turut membantu.

Dia rajin mengemas, membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah (dan kadang kala karpet di beranda surau) juga dibersihkannya. Malam-malam Jumaat biasanya dia datang menghidangkan makanan kepada jemaah dan menyelesaikan cucian pinggan mangkuk ketika kami sedang solat Isyak. Datangnya tidak berajak,ia sukarela. (Imbuhannya sedikit surau hulurkan RM... dan botol kertas terbuang dikutipnya untuk dijual).

Pada majlis kenduri kendara juga wanita ini datang membantu, dan dia akan menukarkan pakaiannya berbaju kebaya pendek untuk menyesuaikan diri dengan majlis. Dia pernah berkata kepada saya; "Kalau awak buat kenduri kawin nanti, saya mahu tolong awak.."

Itulah kisahnya seorang wanita Cina yang mengutip tin, botol dan membersihkan klinik Hidayah dan berbagai kerja lagi untuk menampung keluarga. Kami yang kenal dengannya, timbul rasa kasih dan seronok bergurau itu ini.

Dan pada 7 Oktober lalu, dia dikatakan jatuh di bus stop di Taman Yayasan dan meninggal dunia. Malam Jumaat lalu setelah mendapat berita, kami datang menziarahinya. Beberapa jemaah surau hadir termasuklah CIkgu Ramlee, Hj Khalid, Husin, Wan Zul dan ramai lagi memberi penghormatan terakhir.

Inilah pengalaman pertama saya menziarahi jenazah orang Cina. Adatnya seorang anak akan duduk di laluan masuk ke keranda, dan saya kena menjemputnya berdiri untuk memohon kebenaran melihat jenazah. Ketika kami menatap wajah si mati, anak perempuannya memberitahu (bercerita) kepada jenazah tentang kedatangan kami menziarahinya.

Ramai yang menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

No comments: