Wednesday, March 17, 2010

KEPERITAN HIDUP GURU KAFA (AGAMA)

Guru KAFA adalah mereka yang dibayar elaun oleh pihak kerajaan (JAKIM) atas inisaitif mereka mengajar al-Quran dengan kadar RM500. Di Johor, guru Kafa diambil untuk mengajar di sekolah-sekolah agama (petang) dan dibayar elaun tambahan (oleh kerajaan negeri). Bagi yang mengajar 4 jam diberi RM312 manakala yang 3 jam diberi elaun RM112. Ringkasnya jumlah pendapatan guru Kafa ialah RM812 (4 jam) dan RM612 (3 jam).

Mereka ini bertugas sebagaimana seorang guru biasa di sekolah. Kena ada buku rekod, menguruskan penerimaan bayaran murid-murid, menjadi guru kelas, ada uniform, mengawal murid dan sebagainya tanpa sedikitpun kurangnya daripada guru-guru lain di sekolah biasa. Hanya bezanya, mereka adalah guru agama petang!

Bayangkan dengan pendapatan RM612 atau RM812, tanpa adanya caruman Perkeso, tiada kerja tetap (kerana dibayar atas elaun semata-mata, bukannya gaji), apalah yang termampu untuk mereka merubah kehidupan dan menyara keluarga? Jika masih bujang, mungkin boleh 'hidup' menumpang di rumah ayah ibu, tapi bagaimana jika telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak samapi 5 - 6 orang, apalah daya mereka dengan pendapatan seperti ini?

Inilah sebahagian keperitan guru-guru agama di sekolah petang anak-anak kita di Johor. Di Johor mereka adalah guru tetap dan tidak mungkin termampu lagi mereka melakukan kerja sampingan yang lain. Mungkin di negeri lain juga mengalami nasib yang sama, cumanya di mereka lebih kepada 'guru sementara' dengan kelas-kelas di masjid/surau yang kurang sistematik dan kawalan/seliaan; wallahuaklam.

Jika begini keadaannya, bagaimana boleh kita harapkan mereka memberi tumpuan dan fokus dalam pembinaan anak-anak di sekolah agama? Tidak dinafikan, pengorbanan guru agama selama ini berada tahap maksimum, di luar kemampuan dan keupayaan mereka sendiri. Begitulah perit jerih seorang guru agama/Kafa.

Pihak kerajaan (negeri dan pusat) perlu lakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Peningkatan akademik dan kerjaya yang lebih stabil sebenarnya amat perlu disegerakan kepada guru-guru Kafa. Jika mahu diukur golongan miskin dan kurang berkemampuan, tentulah orang pertama yang saya nampak adalah guru-guru Kafa! Bantulah mereka seadanya.

2 comments:

NaniRostam said...

Assalamualaikum...saya amat bersetuju supaya Kerajaan melihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang mesti diambil berat. Saya pernah menulis mengenainya.

Sebagai negara yang penduduk majoriti adalah beragama Islam, mengapa kerajaan tidak mahu menyamakan taraf pendidikan sekolah agama (KAFA) dengan sekolah-sekolah nasional iaitu sekolah-sekolah kerajaan.

Jadi guru-guru diambil sebagai kakitangan kerjaan dan yuran pula ditanggung oleh kerajaan sama seperti sekolah-sekolah nasional yang ada.

Maka sebagai rakyat negara yang majoriti penduduknya beragama islam inilah satu-satunya perkara yang sangat diharapkan kepada Kerajaan kita agar dapat memberi bantuan untuk rakyatnya menimba ilmu akhirat pada tahap maksima seiring dengan ilmu duniawi.

Ahmad Nawawi Yaakob said...

Terima kasih.. dan inilah sebahagian daripada perjuangan kita yg perlu kita suarakan.. terima kasih atas keprihatinan anda.