Saturday, February 19, 2011

HARI INI II (18 FEB 2011)

Jumaat pagi hari ke tiga berada di HPSF, Muar. Usai solat Subuh, saya melihat Afif di wad dan di bilik ICU. Dia belum keluar. Saya sempat berbual dengan rakan-rakan senasib; Tuan Latif Yusuf yang isterinya dibedah kerana pecah usus akibat ketumbuhan dalaman yang tidak disedari. Dia orang Muar bekas pegawai polis bahagian narkotik. Luas pengalaman dan perjalanan hidupnya. Allah temukan kita di sini..

Saya membersihkan diri di Masjid Muar, solat sunat hajat dan dhuha dengan hembusan bayu yang cukup indah, sejuk dan menyegarkan. Aku jatuh hati pada masjid setua ini. Tenang dan damai.

Haji Hasan (negro TY) datang menziarah; katanya dia memang membuat rawatan bulanan di sini, cuma dia minta dipercepatkan kerana mahu menziarahi kami. Terima kasih Haji...

Jam 12.30 saya masuk menemui Afif. Dia telah mula sedar.

"Abah, Afif gatal di lengan, tolong garukan...." (Rupanya menggarupun satu nikmat besar yang tidak pernah kita hargai, selama ini). Ya Allah, ampunilah kami.

Persiapan untuk dibawa keluar disegerakan. Staf En Fauzi dan En Ridwan membawanya ke wad 4. Beberapa dokumen perubatan saya jeling membacanya. Doktor gigi diketuai Dr Rohana (pakar), yang dibantu Dr Norliza, Dr najhatul Naziha dan NorSaadah. Pakar tulang; Dr Raghbir dan Dr Hafiz. pakar bius Dr Mathiew dan Dr ? (perempuan). Dan ramai lagi yang membuat itu ini tanpa henti, tanpa penat, tanpa keluh kesah walaupun tugas mereka bertimpa-timpa.

12.40 Afif telah berada di Wad 4. Dr Norliza dan Dr Saadah datang memeriksa rahang. Afif mula bersuara;

"Abah, Afif belum lagi operation ni..."

Saya menjelaskan kedudukannya. Sememangnya dia tidak sedar apa yang terjadi selama dibius hinggalah ke saat ini.

Perkara pertama yang bermain di fikirannya ialah rakan-rakan di gerai buah. Dia risaukan Najmi yang akan pulang bersendirian, bertanyakan ttg Kak Leha, di gerai buah TY.

(Dalam tempoh saya di sini, hampir setiap detik ada rakan-rakan Afif menelefon, SMS bertanya khabar. Maaf kadang kala saya tidak dapat meluangkan masa yang sepatutnya menjawab telefon. Mahu saya raikan rakan yang datang di hadapan mata, dan rakan jauh yang menelefon). Tetapi saya faham itulah rezeki dan nikmat kita punyai rakan, punyai saudara seagama, punyai mereka yang memahami keadaan kita.

Saya difahmakan Surau Taman Yayasan membuat solat hajat dan bacaan Yasin, begitu juga MRSM TGB atas inisaitif guru-gurunya terutama Ustaz Sabri Mamat (TP HEP), UiTM Johor pun sama, SUKSES yang malam dan pagi Jumaat dikhususkan untuk Afif, dan saya kira semua mereka yang bertanya khabar akan mendoakan hal yang sama. Subhanallah, betapa banyaknya doa yang kita himpun wahai anakku, Afif. Syukurilah nikmat Allah atas persahabatan ini. Insaflah akan besarnya erti sebuah persahabatan, sebuah persaudaraan!

No comments: