Friday, March 25, 2011

UJIAN ALLAH

Ujian Allah tentulah banyak, tidak terduga dan tidak termampu untuk kita fikirkan punca dan akibatnya.

"Allah yang menjadikan mati dan hidup manusia untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya." (Al-Mulk 1)

Kadang kala timbul resahan dan kehampaan atas apa yang kita lalui. Sering sahaja bertanya, kenapa begini dan kenapa begitu atas ujian Allah berikan. Contohnya; pada kes kami sekeluarga; kenapa Afif kemalangan; kenapa dia cedera; tentunya banyak perkara yang tertunda dan terganggu.. kenapa dan kenapa sentiasa bermain di fikiran kita.

Kita tidak sedar di sebalik hikmahnya tentu ada yang lain yang lebih indah. Hanya itulah ketentuan Allah.

Semalam ketika menghantar Afif (kali terakhir ke Hospital Muar), saya terpandang seorang kanak-kanak mengalami sawan. Kasihan melihat keadaannya, saya bacakan beberapa ayat. Saya minta pula Pak Long (Hj Abdullah Bumbum) usahakan melalui talian telefon. Namun begitulah keadaannya juga.

Kasihan kanak-kanak berusia dua tahun itu. Telah dua tahun ibu bapa menanggung keperitan dengan keadaan anak mereka seperti itu. DUA TAHUN.

Saya terkedu. Sebak. Ya Allah, Engkau uji hamba-Mu ini telah dua tahun lamanya, sedangkan kami teruji dalam waktu sebulan lebih... Ya Allah, Engkau Maha Besar yang seharusnya hamba-Mu ini tahu mengerti, tahu bersabar, tahu bersyukur..

(Sempat menziarahi Tuan Haji Manan -bilal kami- di Wad 4, Alhamdulillah nampak dia tersenyum adalah satu kelegaan kepada kita. Moga cepat sembuh dan dapat menjadi bilal semula).

No comments: