Tuesday, May 10, 2011

MENDAKI GUNUNG LEDANG

IMPIAN untuk mendaki Gunung Ledang tertanam sejak mula menjejak kaki ke Segamat pada 1996 lagi. namun tiada peluang dan kesempatan yang tertunai sehinggalah 8 Mei lalu mencatat sejarah tersendiri.

Bersama team Prof Dato' Dr Abdullah Mohamad Said (TNC HEPA), misi mendaki bermula. Saya tidak biasa dengan pendakian, hanya 2 kali mendaki puncak Kinabalu dan sekali di Gunung Melawati, Klang Gate. Itu sudah terlalu lama.

Bagaimana mahu mendaki? Latihan kecergasan amat penting. Pagi Jumaat sebelumnya, sempat saya berjoging di sekitar rumah dan petang Sabtunya sempat menebas rumput di pinggiran kebun. Itu tidak cukup, tetapi itulah yang terdaya dalam kesuntukan ruang waktu.

Saya beli seluar jeans untuk mendaki! Memang sah 'fail' yang sepatutnya pakai seluar trek dan baju t-shirt lebih ringan dan ringkas. Ya lah, kita pun dapat pandangan daripada rakan-rakan juga, begitu. Shida sudah berpesan, tidak sesuai.. manalah ada suami mahu dengar cakap isteri! He he.

Team Dato' adalah team profesional. Puncak tetinggi di Malaysia banyak telah ditawan.

Kami bertolak dari UiTM jam 7.15 pagi, tiba di Lagenda Resort jam 8.00. Pegawai Taman Negara memberi sedikit taklimat setelah kami mengisi borang peralatan yang dibawa naik. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi ditemani juru pandu, Sdr Azman.

Tangga-tangga 400 tangkah menjadi laluan permulaan pendakian. Jam 9.00 kami sampai di Check Point (CP) 2. Bunga Meranti berguguran di tepian laluan, sedankan batu-batu besar bagaikan tersenyum menyambut kedatangan kami. Udara segar menerobos masuk hingga ke rongga dalam tubuh. Segar. Enak.

9.20 kami tiba di CP 3; Batu Orkid. Langkah semakin perlahan. Cuaca panas masih boleh ditahan dek lindungan pokok-pokok berjejaran menutup awan, hanya peluh yang melimpah keluar menahan kepanasan badan. Pokok Gelam Bukit, sejenis pokok yang mengelupas kulitnya dikatakan elok untuk dijadikan air selusuh daripada rebusan kulitnya; turut diceritakan Sdr Azman.

10.35 kami tiba di CP5, Sungai Tiga Segi (CP 4 tidak dilalui pendaki). Air sungai dingin kesejukan mengisi ruang rongga. Saya tanggalkan baju luar, kepanasan sambil menikmati bekalan yang dibawa. Makan roti dan biskut serta kismis. Celoteh Dato' Abdullah memecahkan keheningan belantara. Senda gurau sebegini menghilangkan keletihan dan kerisauan yang entah bagaimana rupanya.

10.50 kami bertolak ke pendakian yang paling mencabar; KFC (Killer For Claimber). Pendakiannya begitu curam pada paras 800 - 1000M dari aras laut. Kekuatan apa lagi yang perlu dikerah pada saat seperti ini. Selalunya saya ucapkan salam kepada kepada seluruh penghuni rimba, yang zahir dan yang tidak zahirnya. (Assalamualaina wa ala 'ibadillahissalihin). Ucapan salam seperti ini kadang kala meredakan keletihan, seakan mengajak ahli rimba untuk sama-sama membantu saya untuk terus mendaki.

11.22 kami tiba di CP 6, Gua Kambing. Dato' sampai terlebih dahulu. Sambil menunggu rakan-rakan lain tiba, boleh juga kami berehat seketika. Sekali lagi lelucon yang timbul menghilangkan keletihan.

Berada di tengah belantara tua adalah nikmat besar kepada pendaki. Tidak semua orang dapat menikmati keindahan alam, keunikan rimba dan keupayaan kudrat sebegini untuk dihayati. Bersyukurlah. Bersyukurlah kepada Tuhan yang memberikan kekuatan dan keupayaan untuk menikmati kejadian-Nya yang asli dan terpelihara.

11.40 kami mengatur langkah ke Gua Kambing; celahan batu-batu besar yang terbentuk seakan gua, memanjat batu besar terlindung oleh panas dan hujan. Ketika di Batu Hampar; batu besar yang direntangkan tali untuk pendakian, ia juga mencabar. Kekuatan pautan tangan dan kaki amat penting di sini. Seimbangkan badan dan tobago, he he..

Akhirnya kami tiba di CP 7, Bukit Botak pada jam 12.25 tengah hari. masa untuk berehat dan makan-makan. Saya sempat melelapkan mata sebentar, sedangkan rakan-rakan lain sibuk memasak nasi dan menggoreng ikan masin, sambal belacan dan tempoyak. Sedapnya berulamkan petai. Fuh..

Terasa pula kaki seakan mahu kejang, dan Dr Ali memberikan ubat angin untuk memulihkan keadaan. Syukur.

Pihak Taman Negara tidak lagi membenarkan pendaki mendaki ke puncak tertinggi Gunung Ledang. Ia ditutup seketika. Kami hanya mampu berpuas hati di CP 7, Bukit Botak sahaja.

Makan tengah hari sedap dan menambah-nambah. Setelah bertemu rombongan pelajar (Kesatria), kami berangkat bersama-sama turun pada jam 2.30. Perjalanan turun tidaklah terlalu sukar. Perlu berhati-hati agar kaki tidak terseliuh terpijak akar rimba yang berbonggol-bonggol.

Saya berhenti solat Zohor di Sungai Senget, pada anak sungai yang jernih mengalir. Kaki terus melangkah melewati teduhan pohon rhu dengan hamparan daun-daun kering ibarat karpet lembut menyambut hentakan kaki pendaki. Lunaknya rasa kaki disambut bumi beralaskan karpet hutan semulajadi.

Beberapa rakan kami yang agak perlahan dek kesakitan, terus melangkah. Walaupun masih awal petang, namun cuaca rimba seakan gelap dan suram. Jam 5 petang kami tiba di CP1 dan jam 5.15 kami tiba dengan selamatnya di Lagenda. Dato' terlebih awal tiba daripada kami semua.

Saya dapat kawan, dapat pengalaman daripada yang pakar untuk mendaki, dapat merasai indahnya menghayati kejadian Tuhan yang luar biasa, dapat berkomunikasi dengan alam rimba yang sebenarnya terlalu hampir dengan kita (yang selalu kita lupakan)...

Ya Allah, dengan nikmat-Mu yang manakah lagi kami mahu dustakan!

No comments: