Thursday, June 2, 2011

DUA INSAN YANG SERING MUNCUL..

Sedar atau tidak, perasan atau tidak.. kita sering didatangi atau dilintasi oleh bayangan seseorang. Seseorang yang ada kaitan langsung dengan hidup kita mahupun tidak. Lintasan dan ingatan kepada seseorang yang ALLAH munculkan dalam deria fikir adalah satu nikmat KASIH SAYANG yang tiada ternilai hendak dihitung.

Bayangkan ketika kita memandu, mahupun makan, berjalan dan berfikir; tiba-tiba dia muncul begitu sahaja tanpa dipaksa. Saya rasakan ini antara nikmat kasih sayang (mahabbah) dan persaudaraan yang erat terjalin. Ia menjadi erat bukannya dibuat-buat, tetapi atas izin Allah dan atas ketulusan bersahabat. Ia tidak punyai kepentingan tertentu; baik pada kepentingan kedudukan, pangkat mahupun harta.

Bersahabat semata-mata bersahabat atas nama Islam dan muslim yang bersaudara.

Dua insan ini sering ALLAH munculkan dalam pemikiran saya. Mereka bukannya 'girlfriend' mahupun famili, tetapi rakan dan sahabat semata-mata. Ketika merasai 'kehadiran' mereka, terasa sebak menahan sesuatu; rindu dan ingatan atas kebaikan yang mereka lakukan untuk ummah.

Selalunya saya mendoakan; Allahummaghfir lana wa lahum (Ya Allah ampunilah kami dan ampunilah mereka).. Allahummarhamna warham hum (Ya Allah rahmatilah kami dan rahmatilah mereka). dan doakan pada kesihatan mereka...

Jika dua insan ini selalu hadir dan terlintas di benak fikiran, apakah saya juga terjelma dalam fikiran dan doa mereka? Itu hak Allah. Itu kerja Allah, bukan kerja kita. Tetapi saya yakin pada sifat MAHA ADIL-NYA ALLAH. Mungkin wajah kita tidak muncul pada dua insan ini, tetapi muncul pada insan lain. Siapa tahu?

(Saya amat teruja apabila seorang jemaah surau pulang dari umrah membisikkan, dia banyak berdoa untuk saya secara khusus).

Ya Allah, bukankah inilah yang dikatakan nikmat persahabatan dan kasih sayang.

"Ingatlah nikmat yang Allah berikan kepada kamu, pada ketika mana kamu sering bermusuhan lalu Allah jinakkan hati-hati kamu lalu jadilah kamu dengan nikmat-Nya kamu bersaudara..." (Ali Imran: 103)

No comments: