Wednesday, May 11, 2016

KAK MAH

Surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan tempat kami beribadah, tempat kami bersosial. Dibina pada tahun 1990, dan dibenarkan solat Jumaat mulai 2002 hingga 10 April 2015 setelah Masjid Taman Yayasan siap dibina. Surau kami tidaklah sebesar mana, boleh menampung 300 - 400 jemaah dalam satu waktu. Surau kecil ini amat besar jasanya kepada kami. Ia sebahagian daripada naik turun kami seabgai jemaah dan petugas, jawatankuasa dan pegawai berkhidmat selamanya di situ.

Kak Mah seorang jemaah kami yang cukup sinonim dengan surau. Dia pandai memasak apam kukus. Apam tradisi yang sentiasa menjadi rebutan ketika malam Jumaat, setelah dihidangkan. Rumah Kak Mah agak jauh daripada surau, dalam satu Kilometer begitu. Dia menumpang anaknya atau ada sesiapa yang menjemputnya untuk ke surau. 

Sungguhpun begitu, setiap malam Jumaat atau ada majlis di surau, Kak Mah pasti ada. Dia juga aktif dengan kumpulan Yasinan Taman Yayasan. 

Suatu hari saya dapat tumpangkan Kak Mah menaiki kereta ke majlis Yasinan walimah di taman. Kak Mah merungut kerana dia terlewat tiba kerana tiada yang dapat menjemputnya. 

"Tidak apa Kak Mah. Yang penting Kak Mah datang. Bila Kak Mah datang pun orang dah suka, orang gembira Kak Mah jauh-jauh pun datang juga."

"Ya lah.. Kak Mah ni dah tua. Kak Mah haraplah kalau Kah Mah mati esok, adalah kawan-kawan yang ingatkan Kak Mah. Doakan Kak Mah."

Tersentap saya mendengar luahan hati Kak Mah. Kak Mah mengajar saya hari ini. Kak Mah berkongsi ilmu dengan saya hari ini. 

Kak Mah datang beryasinan mengharapkan doa kawan-kawan yang ikhlas kepadanya setelah dia meninggal entah esok entah bila. Kak Mah berpandangan jauh. Dia bersosial bukan sekadar mengharapkan orang akan datang ke rumahnya jika dia berkenduri kendara, bukan sekadar mengharapkan orang mengatakan dia baik, dia baik. Jauh daripada itu, dia mengharapkan doa kawan-kawan yang mungkin seorang dua rapat dengan Kak Mah dan mendoakan Kak Mah. 

Politik ahli syuga memandang jauh ke hadapan. Tidak terhenti pada balasan dunia semata, Kak Mah mengajar kita erti politik seorang ahli syurga. 

No comments: