Wednesday, May 11, 2016

ZIARAH SAHABAT

Sebenarnya ramai kawan-kawan baik kita yang sedang sakit. Ada yang baharu masuk hospital, ada yang terlantar di rumah, ada yang bertahun hilang menyepi di rumah setelah terkena strok.

Ketika sihat, mereka adalah rakan dan kenalan rapat, (atau agak rapat) yang boleh dibawa bersembang dan bergurau senda. Namun setelah sakit, kita tidak lagi berpeluang berborak dan bertanya khabar kepada mereka.

Untuk menjadi ahli syurga, kita perlulah rajin menziarahi sahabat yang terlantar sendirian di rumah mereka. Mereka rindukan kita, mereka perlukan kita, mereka mahu bersembang dan bertanya khabar kepada kita. Mungkin setiap hari, setiap detik lintasan wajah kita menghantui mereka. Tidaklah kita tahu keadaannya. Tetapi yang pasti, sesekali wajah kita sebagai sahabatnya, akan muncul di minda, akan terlintas di fikiran mereka.

Penulis berkesempatan menziarahi Tuan Haji Sudi, ahli jemaah Masjid Buloh Kasap, Surau Batu Lima dan sesekali menjengah ke Surau Taman Yayasan, tempat saya bertugas. Selalu berulang alik ke masjid dengan motorsikal tuanya, tua seusia dengan usianya juga. Kakinya kesejukan sering dipakaikan stokin untuk tiap kali solat, tiap kali bersua.

Kini setahun lebih Haji Sudi terlantar di rumah usangnya di Kampung Batu Lima. Kedatangan saya sudah tentu memberi kegembiraan besar kepadanya. Titisan air mata tidak dapat dibendung, rindu seorang sahabat kepada sahabatnya dijelmakan dalam pelukan erat kasih makhluk. Tidak perlu banyak berbicara, hanya heningan doa dan memohon kemaafan agenda utama dilahirkan.

Saya percaya ziarah ringkas seperti ini mendekatkan saya dengannya. Ia begitu erat, Mereka yang terlantar sebegitu, tiada lain ingatan selain doanya dilangsungkan kepada kita juga. Taubat dan istighfar mereka terlalu banyak, zikir dan al-Quran mereka juga terlalu banyak sebelum mereka kembali bertemu Allah.

Alangkah beruntungnya ziarah sahabat seperti ini menjadi agenda politik pribadi untuk melamar syurga Allah yang maha luas.

Seorang rakan lain, Haji Rahim juga telah setahun lumpuh dan tinggal di rumahnya ditemani isteri. Sempat saya singgah di Segamat Jaya untuk bertanya khabar. Alhamdulillah, Allah berikan dia kekuatan untuk kembali pulih. Sudah mula boleh bergerak menggunakan tungkat kerusi, walaupun isteri masih perlu sentiasa mengawasi pergerakannya.

Ia tidak mudah untuk kembali pulih sepenuhnya. Kekuatan semangat dan keazaman tinggi berupaya memulihkan lumpuh sebelah badan Haji Rahim. Pelukan erat sesama kami sudah cukup untuk melepaskan rindu sahabat dengan sahabatnya. Kami datang bukan kerana kepentingan politik, tetapi kami datang semata-mata ikhlas atas persaudaraan sejagat.

Kami macari syurga milik Allah. Ini yang kami mampu usahakan hari ini.



No comments: