Wednesday, October 26, 2016

BAGAIMANA MENEMPATKAN DIRI DALAM MASYARAKAT MELAYU?

1. Perubahan komposisi masyarakat hari ini menyebabkan terjadinya perubahan budaya yang luar biasa. Norma hidup Melayu semakin berkembang (?) atau mungkin juga semakin terhakis dek pengaruh luar yang lebih kuat. Namun begitu, norma tradisi Melayu perlu dipertahankan tanpa batasnya demi kelangsungan identiti umat Melayu yang berdaulat.

2. Kini semakin janggal kalangan kecil umat Melayu yang seakan tidak tahu bagaimana mahu menempatkan diri mereka berada di tengah masyarkat Melayu. Pelik dan ajaib apabila bangsa Melayu tidak tahu cara mana sewajarnya menempatkan diri ketika berada di tengah kalangan Melayu sendiri.

3. Kita bukannya sombong, tidak juga mahu menyendiri, tetapi persekitaran telah membuatkan kita semakin menyendiri dan terasing. Kian hari terasa semakin terasing dan terjauh daripada keperluan bermasyarakat, bersosial dan berinteraksi terutamanya dengan jiran tetangga. Biarpun teknologi sebenarnya boleh mendekatkan kita dengan komuniti, tetapi sebaliknya perlakuan kita semakin menjauh dengan komuniti yang kita huni bersama di kawasan perumahan yang sama.

4. Saya cadangkan beberapa panduan untuk dikongsi bersama sesuai dengan umat Melayu-Islam yang punyai tanggungjawab besar kepada agama dan bangsanya;

i. Sesebuah keluarga apabila berpindah ke kawasan baru, perumahan baru; langkah pertama yang perlu dicari ialah masjid atau surau berdekatan. Datanglah berjemaah seolah-olah anda telah mendaftarkan diri berada di kawasan berkenaan. Anda adalah penghuni yang diketahui, dikenali dan dimaklumi oleh sebahagian penduduk setempat.

ii. Di masjid, bersalamlah dengan jemaah dan perkenalkan diri. Dari situ kita akan kenal siapa tok imam, tok siak, Pengerusi Masjid mahupun individu penting yang wujud dalam masyarakat. Di sinilah bermulanya kita dikenal dan bermasyarakat.

iii. Jika ada jemputan kenduri kendara atau tahlilan, ruangkanlah masa untuk menyertai mereka. Pegrilah ke rumah yang diundang. Usahlah bermalu-maluan, tidak rugipun pergi ke majlis seperti itu. Ia merapatkan lagi ukhuwwah dan lagi mendekatkan kita dengan masyarakat.

iv. Melalui majlis seperti itu, kita mula faham dan tahu apa yang perlu dibuat bila mana ada kes kematian dalam keluarga sendiri, kita faham dan tahu apa yang perlu dibuat apabila hendak buat kenduri sedikit sebanyak dalam keluarga kita kelak. Ia semacam peraturan yang tidak bertulis, tetapi akan difahami setelah melaluinya.

v. Bagi kes kematian, maklumkanlah kepada Imam atau Pengerusi atau sesiapa sahaja kalangan ahli masjid dan surau, Insya Allah ada rakan-rakan yang akan dapat membantu. Hari ini Whatsap banyak membantu urusan kematian dan kenduri kendara. Apa yang penting, maklumkanlah kepada masjid atau surau terdekat. Paling tidak pun, boleh pihak surau solatkan jenazah ghaib jika ia dikebumikan di tempat lain.

vi. Untuk kenduri kendara, biasanya kenalah maklumkan awal kepada pihak masjid atau surau. Bukannya apa, ia mudah untuk kiat merancang agar tiada berlaku pertembungan.

5. Bergaul mesralah dengan komuniti setempat. Pergilah berjemaah dan begaul dengan masyarakat. Usah lagi memencilkan diri di dalam rumah. Ada kalangan kita yang statusnya ketua jabatan di pejabat, tetapi maaflah jemaah setempat tidak pernah kenal dan tahu keberadaannya dalam masyarakat.

6. Bak kata Cikgu Ramlee; kalau nak seronok hidup di suatu tempat, bercampurlah dengan orang ramai, bersabar dan belajarlah berada di tengah masyarakat. Kebaktian kita tentunya lebih luas dan terbuka.

7. Ingatlah, seelit manapun keadaan kita, kita pasti akan mati dan kita pasti nak kena buat kenduri kendara, kita pasti akan sakit, kita pasti ada saatnya memerlukan masyarakat untuk bersama kita. Mulakanlah pada ketika mana kita masih punyai peluang.

Ahmad Nawawi Yaakob

No comments: