Thursday, October 27, 2016

GETARAN JIWA - P RAMLEE - ulasan lirik

GETARAN JIWA
MELANDA HATIKU
TERSUSUN NADA
IRAMA DAN LAGU

WALAU HANYA SEDERHANA
TETAPI TAK MENGAPA
MOGA DAPAT MEMBANGKITKAN
SEDARLAH KAMU WAHAI INSAN

TAK MUNGKIN HILANG
IRAMA DAN LAGU
BAGAIKAN KEMBANG
SENTIASA BERMADU

ANDAI DIPISAH
LAGU DAN IRAMA
LEMAH TIADA BERJIWA
HAMPA


Apakah maksud tersirat di sebalik lagu keramat ciptaan P Ramlee ini? Sedap kita menyayikan lagunya, bagaimana kita menghayati jika kurang faham bibit makna yang tersirat.

Berbagai versi maknawi tersirat yang boleh ditafsir daripada bait puitis ini.

Bagi mereka yang melihat aspek maknawi suluki, getaran jiwa adalah getaran alunan zikir terhasil daripada hidayah Allah kepada hamba-Nya; getaran zikir yang melanda hatiku sehingga terhasillah susunan makrifat Allah dan kelazatan bermunajat kepada Allah pada jiwa dan jasad. Jiwa dan jasad (rohani dan jasmani) berpadu untuk mentaati Allah, mengingati Allah, mentuhankan Allah semata-mata, seerat dan seindah irama dan lagu.

Biarpun lantunan zikir, munajat hamba itu tidaklah seberapa, hanya sederhana sahaja hubungan hamba dan Khaliknya, namun ia sudah cukup untuk membekaskan kesan terbaik kepada jiwa. Biarlah sedikit dan sederhana itu yang sudah bisa membangkitkan kesedaran takwa yang maha tinggi kepada Allah untuk kamu sedari wahai insan, untuk kamu insafi wahai insan.

Tidak mungkin hilang adunan ruh dan jasad untuk kekal berubudiyah kepada Allah, malah ia kekal segar ibarat kuntuman bunga berkembang lagi bermadu. (Bunga yang berkembang mekar dan punyai madu pula untuk diambil oleh sang lebah, adalah simbolik kepada kemanfaatan dan kemenjadian manusia sesama mereka di sisi Allah).

Jasad dan ruh yang sekian lama bertaut pada keubudiyahan kepada Allah tidak mungkin akan terpisah. Jika ia terpisah, akan hampalah kehidupan di dunia dan hampalah juga kehidupan di akhirat.

Pada sisi lain, rangkap lagu ini boleh dimaksudkan dengan makna literasi sebegitu sahaja. Ia mengungkapkan ILHAM yang Allah berikan kepada penulis sehingga menggetarkan jiwanya. Ilham ini membolehkan dia menghasilkan sebuah irama dan lagu yang cukup indah.

Biarpun iramanya hanya sederhana, biasa-biasa sahaja; namun diharapkan ia bisa membangkitkan kesedaran dan keinsafan kepada pendengar, lalu sedarlah wahai insan apa yang hendak diluahkan oleh pengkarya.

Irama dan lagu tidak mungkin akan pupus, tidak mungkin akan lenyap sama sekali. Ia adalah mainan istimewa setiap insan, mainan menjejaki era hidup masing-masing yang tiada noktahnya. Irama dan lagu tidak bisa dipisahkan sama sekali dengan memori hayat insan, selama-lamanya. Bahkan ia akan sentiasa mekar berkembang bak kuntuman bunga megar menghasilkan madu yang enak lagi berkhasiat.

Irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Ia seiring dan senada, ia saling melengkapi dan saling bergandingan. Jika dipisahkan lagu dan irama, akan rosaklah irama, akan rosaklah lagu.

Dan sebenarnya hanya pencipta karya ini sahaja memahami apa jua setiap patah makna yang diungkapkan oleh GETARAN JIWA. Tanyalah P Ramlee, dia yang tahu sebenarnya.


Ahmad Nawawi Yaakob
27 Oktober 2016






No comments: