Thursday, January 26, 2012

MENTERJEMAH AL-QURAN

Al-Quran adalah kitab wahyu Allah yang tidak termampu untuk diterjemahkan sebaiknya ke dalam bahasa lain. Ia mukjizat Allah, mukjizat yang tidak termampu direka cipta oleh sesiapa jua.

Oleh kerana kita kurang memahami al-Quran yang berbahasa Arab, maka Quran terjemahan adalah rujukan terbaik untuk kita mengerti makna maksud yang tersurat. Namun begitu, kadang kala kita dapati bahasa terjemahan (terjemahan ke dalam bahasa Melayu) bahasanya kurang enak dan sukar difahami. Pengaruh penterjemahan 'harfiah' masih ketara dalam konteks bahasa Melayu keAraban. Ini menjadikan kita sukar memahami dan mengerti maksud al-Quran yang dibaca.

Contohnya kita terjemahkan 'Basmalah - Bismillah' dengan ungkapan; "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang." Mengamati ayat terjemahan ini, ia adalah ayat yang tergantung dan tidak difahami makna pengertiannya. Maka yang lebih tepat mungkin diterjemahkan; "Aku mulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang.". Tentu ia lebih mudah difahami dan dimengerti maksud sebenarnya dalam konteks bahasa Melayu.

Perhatikan, ketika seorang khatib membaca terjemahan di atas mimbar, saya yakin ramai jemaah yang tidak memahami maksud tujuan ayat yang dibacakan. Tidak lain kerana gaya bahasa terjemahan dalam bahasa Melayu agak ketinggalan berbanding dengan lenggok bahasa yang digunapakai pada hari ini.

Ringkasnya, kita perlu segera menterjemahkan kembali al-Quran menggunakan bahasa Melayu yang standard agar ia lebih mudah difahami dan dimengerti oleh pembaca dan pendengar. Mungkin DBP boleh membantu.


No comments: