Friday, February 10, 2012

CERITA CIKGU AZIZAN ABD HAMID

Dia guru kami semasa Darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Kedah. Lazim menyedari beliau seorang guru yang garang; dan tentunya menakutkan murid-murid macam kami. Tiba Darjah 6, dia yang jadi guru kelas kami. Saya mengucap ketakutan.

Tetapi ternyata tanggapan kami jauh berbeza. Dia tidak lagi garang-garang seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya pernah menjadi Ketua Darjah dan saya mengutip wang sehari dua puluh sen (sehingga seringgit) bagi setiap orang untuk jamuan kelas akhir tahun.

Peperiksaan penggal ke 3 tahun itu saya mendapat nombor 3. Cikgu Azizan menghadiahkan saya sebuah novel berjudul "Lani Anak Tani' dan di awal halamannya beliau catatkan' "Nawawi, sekali gengam bara api, biar sampai jadi arang". Saya ingat betul-betul kata-kata hikmah itu. Sayangnya buku cerita itu telah lama hilang entah di mana..

Cikgu Azizan mengajar Bahasa Melayu. Saya membuat karangan pengalaman berbasikal merentasi denai ke Kg Pokka yang ketika itu jauh dan terasing. Satu lagi karangan yang saya hantar dari pengalaman kami berjalan-jalan di pinggir hutan bersama-sama kawan-kawan. Ia pengalaman yang lucu. Saya rasa dia suka membaca kisah hidup saya.

Keakraban hubungan antara murid-guru saya panjangkan beberapa ketika sehinggalah saya bersekolah di Maktab Mahmud. Seingat saya setiap kali tiba hari raya, saya akan poskan kad ucapan. Itu sahaja.

Bayangan cikgu Azizan yang bertubuh besar jengah menjengah. Saya masih ingat sewaktu Cikgu Azizan menangkap tumbukan seorang guru yang menghala ke wajah Cikgu Sofiah (?) Genggaman besar tangannya menyelamatkan muka Cikgu Sofiah terkena tumbukan atas satu perselisihan yang kami tidak fahami di kalangan mereka.    

Namun begitu hubungan kami terputus setelah saya tahu dia berpindah ke Pendang. Saya tidak tahu di mana sekolahnya sehingalah saya menjejak kaki ke UKM Bangi (1986).

Di UKM saya berkawan dengan Azizan Hashim yang berasal dari Pendang (atau kawasan sekitarnya). Sebagai kawan baik kami bercerita tentang cikgu-cikgu lama dan timbullah nama cikgu Azizan x-SKPT.  Daripadanyalah saya mendapat alamat Cikgu Azizan, dan pada hari yang sama saya utuskan sepucuk surat bertanyakan khabar.

Alhamdulillah dia membalas surat saya. Antara coretannya yang masih berbekas dalam ingatan; “Nawawi, kamulah satu-satunya anak murid saya yang masih ingatkan saya...” Saya terkedu. Hiba. 

Saya mula berkerjaya dan berpindah ke Sabah. Hanya talian ‘ingatan’ sahaja menghubungkan kami . 

Cikgu Azizan menjadi semacam idola kepada saya. Apabila hari guru, selain Ustazah Fauziah Thani (x-KIK), dialah yang menjadi umpan pada coretan saya di blog mahupun apa-apa catatan ringkas.  Saya kira tentunya sepanjang hayat cikgu (dan cikgu-cikgu) yang ikhlas akan sentiasa menitipkan doa kepada anak didik mereka.

Dua tahun lalu (2010) ketika pulang bercuti raya di Kuala Nerang, kami bercerita tentang keluarga. Abang saya Ahmad Sanusi pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Nerang kerana kesihatannya. Zuraidah (suami Sanusi) menceritakan kisah pertemuannya dengan seorang ibu tua yang menunggu anak lelakinya (?) yang sakit. Ibu tua itu berbual mesra dengan Zuraidah. Apabila mendapat tahu Zuraidah dan Sanusi orang Padang Terap, dia pun lantas menyebut nama seorang murid arwah suaminya yang saban tahun mengutuskan kad raya; Nawawi namanya. Arwah suaminya pernah mengajar di SKPT, jelas ibu tua itu lagi. Katanya cikgu amat gembira menerima kad-kad ucapan tidak sepertinya itu.

Siapa nama suami makcik?

Cikgu Azizan.

Oh Cikgu Azizan... Dia cikgu saya juga. Kami sekelas dan Nawawi itu adalah adik saya...

Dan cerita ini yang sampai ke telinga saya sudah cukup untuk memaklumkan pemergian Cikgu Azizan buat selama-lamanya. Dia pergi sebagai seorang guru yang berhati mulia. Al-Fatihah buat arwah.

No comments: