Kami mandi di telaga. Minum dan basuh baju di telaga. Telaganya banyak. Telaga ayah yang paling dekat dengan rumah kami, bersebelahan rumah Mak Cik Melah. Telaga Pak Teh di tepi madrasah yang biasanya ada ikan kalui besar menunggu-nunggu charik (cengkerek) yang kami campakkan. Telaga kok terletak di tepi tanah Pak Yeh (Haji Idris) yang sememangnya sepenuhnya memasang kok dari atas sampai ke bawah. Airnya tentu lebih bersih kerana tiada berselut, bertanah.
Telaga Mak Ngah Timah pula penuh dengan juntaian rumput dan lumut tumbuh di sekelilingnya. Telaganya besih walaupun agak terdedah. Saya pernah terjatuh ke dalam telaga ini sewaktu mahu membuang bangkai ular di dalamnya. Ada lagi satu telaga di luar kawasan pondok iaitu di tepi hutan, tepi padang sekolah Agama (sekarang didirikan asrama putera Maktab Mahmud Padang Terap). Telaga ini dikira tidak berapa bersih, tetapi kami tidak kisah semua itu. Telaga tetap telaga, telaga tempat kami bermandi manda, mendapatkan sumber air dan membasuh pakaian. Di pinggir telaga ini banyak pokok ulam kesom yang tumbuh. Kami (Kak Aisyah dan saya) petiknya sebagai ulam dan lauk bertemankan nasi.
Sebuah telaga lagi seingat saya ialah telaga tepi sekolah, berhampiran rumah Mak Lang Nah. Telaga ini sempoi kerana dikongsi ramai keluarga pondok. Sekarang ia menjadi kawasan tandas Sekolah Maktab Mahmud Padang Terap. Seingat saya, saya pernah basuh baju sekolah pada lewat petang untuk dipakai keesokan harinya. Sehelai baju untuk seminggu, untuk setahun!
No comments:
Post a Comment