Sesudah membaca talkin di Perkuburan Kareta, Gelang Chincin, mereka menghadiahkan gulungan tikar beserta kain pelikat, bungkusan plastik yang mengandungi kain pelekat dan baju melayu arwah. Saya tidak pernah menyangka akan diberi seperti ini. Selama bertalkin di Perkuburan Berata, tiada apa yang kita harapkan selain keredaan Allah dan membantu sesama muslim.
Teringat semasa kecil dahulu apabila ayah pulang dari solat jenazah dan bertalkin, pastinya ayah membawa pulang pinggan yang dibungkus dengan kain putih dan sekaki payung kertas bewarna coklat. Payung China. Kami berebut-rebut mendapatkan pinggan kerana di dalamnya diisi biskut. Biasanya biskut empat segi, hanya sesekali dapat biskut berkrim.
Hasilnya, rumah kami banyak pinggan walaupun selalu pecah; banyak payung walaupun selalu kebasahan.
Di Kedah talkinnya tiga orang; yang diketuai imam-imam setempat. Kalau ada Pak Teh, maka dialah yang menjadi ketua, diikuti ayah dan imam lain seperti Haji Ismail Syarikat atau Pak Su Man.
Kali pertama saya membaca talkin di perkuburan Kampung Baru Bongok Dogol. Kuburnya di dalam hutan bersama Abang Wahab. Masa itu saya masih belajar di Kolej Islam atau UKM, kurang pasti. Saya mengambil inisiatif membaca (dan seakan menghafal) talkin setelah abang-abang di Kolej Islam menyuruh 'bersedia' menjadi seseorang dalam masyarakat. Alhamdulillah saya rasakan bersyukur kerana pada kali pertama bacaannya, sudah lancar dan meyakinkan. (Terima kasih kepada abang-abang yang membuka laluan).
Ayah, anakmu kini mengulangi kisah hidup yang hampir sama.
No comments:
Post a Comment