Setiap kali tetamu datang ke rumah, Mak Cik minta saya sediakan tepak sirih. Pastikan pinangnya ada, sirihnya ada, kapurnya ada, gambirnya ada, kacip pinang, gobek, tembakau dan rokok daun sekali. Semuanya dalam satu cerana sirih itu jua.
Pinang kami simpan di dalam tong padi di bawah rumah. Ada orang pondok yang datang membeli pinang, dan kami jual 10 biji sepuluh sen, begitu. Sirih ada sigainya di tepi telaga, gobek buluh berhulukan tulang rusa sentiasa tersimpan dalam cerana. Hanya kacip kadang kala berjalan ke dapur digunakan untuk meracik gula melaka untuk dibuat kuih buah melaka!
Mak Cik tak hisap rokok daun, walaupun ramai orang-orang tua menghisapnya. Tembakau jawa (hitam dan lembab) menjadi pilihan kebanyakan kami di Padang Terap.
Tetamu datang berbual-bual pada waktu pagi dan ada juga yang mengaji 'sifat 20' dengan Mak Cik. Ayah tidak mengajar mengaji di rumah. Ayah mengajar di atas balai (dalam madrasah) selepas Maghrib, membaca kitab ataupun mengajar kami mengaji al-Quran.
Saya sering kali merajuk. Merajuk yang tak sudah. Kalau ayah tak suruh 'alih' setelah bacanya banyak yang salah, saya akan terus merajuk. Tapi malam esok mengaji lagi...
No comments:
Post a Comment