Sunday, May 6, 2012

KEMARAU


Musim kemarau adalah musim sukar bagi kami. Setiap pagi Makcik kena ambilkan air di telaga kok; telaga tepi kebun untuk kami mandi ke sekolah. Dua baldi air, satu untuk Mad Chi dan satu untuk saya. Hanya awal-awal pagi telaga kok mampu mengalirkan air mata airnya untuk bekalan makan minum dan mandian kami. Jika terlewat sedikit, alamatlah hanya air berkeladak yang berbaki. Kuning dan berkarat.
Telaga lain sudah lama kering. Telaga Ayah tepi rumah awal-awal lagi sudah kering.

Kami menggunakan air sungai. Namun sungai agak jauh daripada rumah kami, tidak terdaya berpagi-pagi hendak ke sungai mengambil air. Selepas waktu sekolah, baharulah kami mengambil air sungai untuk minuman di rumah. Itu ketika sungai kami masih elok tidak tercemar.

Malang teramat malang apabila Kilang Gula Padang Terap mula beroperasi. Kotoran dan bahan buangan kilang terus dilepaskan ke sungai Padang Terap. Sungai kami berubah wajah. Sungai kami berbau busuk. Sungai kami tidak boleh digunakan lagi. Sungai kami jadi longkang busuk yang meloyakan semua orang. Tapi kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kilang gula adalah sebahagian daripada kami juga. Anak-anak kampung kami berkerja di kilang itu juga. Emak-emak dan orang kampung kami bekerja di ladang tebu itu juga. Apa yang terdaya kami lakukan.

Itulah imbalan baliknya yang kami dapat hasil daripada pembangunan. Pembangunan ekonomi setempat, pembangunan untuk rakyat, setelah ribuan ekar tanah-tanah kami dijarah oleh pencipta teori ekonomi!
Sungai kami telah hilang segala jenis kehidupannya. Tiada lagi ikan, tiada lagi cheleng, tiada lagi siput sedut, tiada lagi mandi manda, tiada lagi pekaka menangkap mangsanya, tiada lagi udang-udang sungai yang kami seluk di bawah rumpai akar banir pokok ara, tiada lagi kami pandang akan sungai yang meloyakan itu. 

Kasihan sungai Padang Terap.

Saya masih kecil pada waktu itu.

Pada musim kemarau panjang, yang terlalu panjang tiada lagi sumber air yang ada. Maka ada yang menggali telaga di pinggir sungai. Telaga-telaga kecil kami gali beberapa meter dari tebing sungai. Di situ ada air, di situ kami mendapat air bersih untuk mandian dan basuhan kami, untuk minuman yang kami bawa pulang dengan gerek besar. Telaga Pak Ku Lah yang berdekatan kedai Pak Su Man Padang Gelanggang, antara telaga yang selalu kami guna. Ketika itu, tong-tong air berbagai jenis kami guna.Tong air besi juga kami guna. (Tong air besi air zamzam pada zaman Ayah ke Mekah dengan kapal).

Kami pernah mengambil air sejauh lima kilometer di Bendang Mengkuang berhampiran Bendang Pulai. Telaga tepi bendang jernih airnya membantu kami meneruskan hidup. Sesekali ada juga lori yang menghantar air ke pondok, maka berjajaran kami keluarkan segala tong dan tangki untuk mendapatkan air bersih.

Ah, inikan putaran alam. Kemarau hujan dan panas adalah putaran alam yang Allah tentukan jua.

No comments: