Thursday, January 31, 2008

Balasungkawa Datuk Haji Ishak Baharom

Magrib semalam - 30 Januari 2008- seorang jemaah memaklumkan Mantan Mufti Negeri Selangor, Datuk Haji Ishak Baharom meninggal dunia. Benarkah berita sedih ini? Namun kebiasaannya berita kematian, orang tidak pernah menipu atau main-main. Untuk peneguhan berita, saya telefon Ustaz Kamarulzaman (CITU, UiTMJ) dan dia membenarkan perkara ini. Innalillahiwainna ilaihi rajiun..

Menonton berita TV3 jam 8 turut memuatkan berita yang sama. Dan jenazahnya akan dikebumikan pagi ini di makam istana kebesaran kerajaan negeri Selangor. Takziah kita ucapkan kepada keluarga Datuk Ishak.

Kematian adalah biasa dan lumrah. Tapi kematian seorang ulama adalah kehilangan yang terlalu besar. Rasulullah pernah bersabda maksudnya; "Allah tidak akan menarik ilmu dengan mencabutnya dari dada manusia tetapi dicabutkan ilmu dengan mematikan ulama."

Seorang ulama sehebat Datuk Ishak tiada tolok bandingnya. Pemergiannya adalah kehilangan besar kepada umat Islam. Sejarah perjalanan Datuk Ishak amat menarik. Pada saya, dia seorang mujahid dan mujtahid yang mukhlis. Keikhlasannya untuk mempertahankan agama hingga ke tahap 'dibuang' oleh pemerintah pada suatu ketika. Tidak hairan jika Imam Maliki dahulunya sanggup dipenjara semata-mata mahu menegakkan hukum Allah. Soalnya, kita di mana dan sampai ke mana mujahadah kita untuk agama.

Selepas Isya, saya memimpin jemaah di Surau Al-Muhajirin untuk solat jenazah ghaib kepada Allahyarham Datuk Ishak, sekali dengan Loloq dan Pak Suharto. Moga roh mereka diredhai Allah dan semangat perjuangan mereka menjadi iktibar kepada kita. Amin.

Ahmad Nawawi, UiTM Johor.

1 comment:

Nazhatulshima N said...

Al-Fatihah untuk mereka jua.