Datang ke Sarawak jangan tidak beli ikan masin terubuk dan tikar rotan (Sebenarnya tikar itu dari Kalimantan). Saya juga tidak melepaskan peluang mencarinya di Pasar Satok. Pada malam kedua dalam 11 malam, saya merayau mencari apa yang ada di persisiran sungai. Aktiviti pada waktu malam ialah jualan borong barangan basah seperti ikan dan sayuran di mana ramai peruncit yang berurusniaga. Tidak lama di situ, pulang ke hotel keletihan.
Pada hari Khamis, 28 Februari waktu seminar terpaksa ditamatkan lebih awal, sesi selari sudah jadi ’sesi lari’ kerana menemani seorang sahabat turun ke Bandaraya Kuching. Saya sempat membeli t-shirt untuk anak-anak dan ikan terubuk masin dan sebidang tikar rotan. Sedikit-sedikit banyak juga jadi barangnya.
Ikan terubuk masin ada yang 2 ekor sepuluh ringgit, ada yang 3, ada yang empat sepuluh ringgit. Saya memberi beberapa ekor dan sambil menunggu dibungkus, sempat makan mi sup di warung yang paling simple, suasana yang paling lewah. Tapi amat suka sesekali merasai suasana realiti kalangan marhain menikmati roti dicicah kopi.
Di celah-celah deretan kedai, terpandang saya ruang masjid dan tergerak kaki ini melangkah ke sana. Kebetulan pula waktu Asar telah masuk dan sempat saya berjemaah Asar, walaupun tadinya telah jamak dan qasar.
”Tumpang tanya, di mana bilik air?
”Mau kemih ke berak?”
”Kemih” jawabku mengagak tanpa kutahu makna kemihnya.
Hanya jari tuanya sahaja menunjukkan ke satu arah di tepi dinding masjid. Dan aku mengerti makna kemih.
Semasa sujud terasa bertapa Masjid Bandar Kuching/ Masjid India Kuching berusia lebih 100 tahun ini terlalu lama menabur bakti kepada umat setempat. Dan tentunya ratusan ulama, tuan guru, muballigh dan pendakwah yang pernah sujud sama-sama di tempat yang mulia ini. Syukurlah kerana aku juga sujud sama seperti mereka, di tempat yang sama seperti mereka. AllahuAkbar. Rupanya masjid tersorok ini kaya sumber pendapatannya, dimaklumkan mendapat RM25 ribu sebulan hasil kutipan sewa deretan kedai sekelilingnya. Tapi ke mana duit sebanyak itu, jika syiar masjidnya tidak terpelihara?
No comments:
Post a Comment