Wednesday, March 26, 2008

KEPROFESIONALAN BN

Sekian lama BN memerintah negara, kini kemampuannya menjadi peneraju utama makin terhakis dan dipertikaikan. Ia bukan lagi sekadar isu ketidakadilan, ketelusan, rasuah, salah guna kuasa malah segala jenis penyakit bersarang dalam organisasi yang dinamakan BN. Kegawatan seperti ini membuatkan Pak Lah serba tidak kena. Pak Lah bersuara, suaranya tidak mahu didengar apatah lagi mahu diikut. Pak Lah membuat syaraat itu dan ini, orang kanan BN dan UMNO sendiri yang menentang. Dan sebenarnya Pak Lah bukan hanya berhadapan dengan musuh luaran yang sememangnya lebih baik, tapi musuh dalaman yang lebih kuat mahu menjatuhkannya.

Inilah realiti daripada apa yang kita perhatikan sejak pembubaran parlimen pada 12 Februari 2008 lalu. Kesetiaan orang dalam kepada Pak Lah dan parti semakin menipis, malah ramai yang menimba di air keruh pada ketika kelemahan melanda, ketika itulah mereka mencari fasal yang tak tentu fasal. KJ suatu ketika semacam jagoan kini tembelangnya makin terbuka dan suara penentangan kepada apa yang dia buat semakin nyata.

Dalam keadaan begini, BN yang memerintah negara dan beberapa negeri masih juga berfikiran sempit. Mereka berasakan yang mereka masih berkuku walaupun sebenarnya kuku itu telah tumpul dan tidak berbisa lagi. BN masih juga mahu menafikan kerajaan campuran yang wujud di lima negeri dalam Malaysia. BN masih juga mahu menghukum rakyat yang memilih BA dengan mengenakan sekatan dan sekatan yang dibaca sebagai tidak profesional.

Jika dahulu Kelantan (dan Terengganu pada satu sesi) sering kali dinafikan hak mereka. Rakyat umumnya tahu dan sedar penafian yang dibuat oleh BN. Rakyat amat bersimpati kepada Kelantan dan Terengganu, walaupun mereka bukan anak negeri Kelantan atau anak negeri Terengganu. Anak negeri Johor, Selangor dan lain-lain memerhati apa yang BN buat dan sampai masanya mereka memberi jawapan kepada ketidakadilan BN melalui peti undi 2008.

Apakah BN tidak pernah insaf dan sedar perkara ini? Sampai bila BN membutakan hati, mata dan telinga untuk menafikan kerajaan negeri yang ditadbir BA? Sampai bila BN mahu menyekat dana dan peruntukan kepada PBT, kerajaan negeri dan berbagai projek lain hanya kerana ia diperintah pembangkang? Cukuplah zaman Tok Dek dahulu mereka mewujudkan ’jabatan’ baru yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri sebagai penyalur bantuan dan penjana pembangunan, sedangkan rakyat memerhati apa yang mereka lakukan.

Di sinilah yang selalu rakyat pertikaikan; mempertikaikan keprofesionalan BN dalam memerintah negara dan mentadbir negeri. Jika BN mahu memperbaiki keadaannya, mereka perlu lakukan sesuatu yang tulus, ikhlas, jujur dan memberikan hak kepada yang berhak demi kelangsungan kepercayaan rakyat kepada mereka.

1 comment:

Beyta said...

1. Betul tu ustaz... Sebenarnya melayu harus bersatu demi bangsa... Jangan lah politik kan bangsa kita lagi... Umno dah banyak jual bangsa kita... Kita sendiri harus menentang kepimpinan haprak Umno... Kita yang sepatutnya menegakkan keadilan..Politik dunia kotor... Kita kena bersihkan... Tak kira pas or pkr.. aslkan melayu... please, untuk Pas = kenapa sanggup sambut tangan cina untuk Islam?... PKR, please jangan porak perandakan lagi melayu... Umno, berjuanglah demi bangsa... Pak Lah, please lah letak jawatan... Khairy Jamaluddin, rakyat tak nak pemerintahan samseng...

2. Umno, kenapa baru sekarang nak ajak Pas ngan PKR berbincang untuk Melayu?? Kenapa tak masa lepas PRU 11?? Memang tak kan, Pak Lah terlalu angkuh... Disaat Umno tersungkur, baru nak berbincang tentang Melayu... Rakyat tak bodoh...