Saturday, April 5, 2008

BERAKHIRNYA ERA PAK LAH..

Perdana Menteri Ke 5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah PM yang paling singkat menjawat jawatan tertinggi negara. Biarpun Pak Lah masih ada menerajui negara, namun kuasa dan pengaruhnya semakin terhakis dan semakin hilang. Itu yang dirasai oleh kalangan ahli UMNO dan parti komponen BN lain termasuklah di Sabah dan Sarawak. Kuasa yang dipegang walaupun belum berakhir, seakan tidak mampu mencengkam dan membentuk ahli parti, menjaga ketaatan dan kesetiaan kalangan kabinet dan mengawal selia orang terdekat yang sering dikaitkan dengan beliau.

Yang lebih parah ialah Pak Lah tidak dapat menutup suara Tun Dr Mahathir yang seenaknya sahaja membantah dan membangkang kepimpinan Pak Lah. Sejak beberapa tahun kebelakangan, ada-ada sahaja yang tidak kena pada mata Mahathir dan suaranya masih berpengaruh dan memberi bekas kepada ahli parti UMNO mahupun kepada organisasi luar. Tidak hairan jika ramai yang bersetuju bahawa kejatuhan UMNO dan BN dalam pilihanraya 8 Mac 2008 banyak berpunca daripada tingkah laku dan tindak tanduk Mahathir sendiri.

Banyak isu yang diperkatakan Mahathir menjadi bahan bermanfaat kepada parti pembangkang untuk mengaut keuntungan. Dan di sinilah kekurangan Mahathir kerana dia gagal mengawal tutur katanya yang akhirnya memusnahkan UMNO dan BN. Sememangnya kita tahu, Mahathir membawa watak Hang Jebat dan pembangkang. Itulah sifat dan sikapnya sejak zaman Tunku Abd Rahman lagi. Pada beliau apa sahaja yang orang buat terasa kurang dan tidak kena. Dan sikapnya pula ialah berterus terang dan berani menyatakan sesuatu yang hak walaupun akhirnya meruntuhkan UMNO dan BN.

Kasihan Pak Lah, orangnya baik tetapi tidak dihormati rakan dan lawan. Dengan gugatan luaran dan dalaman parti sendiri, akhirnya Pak Lah terpaksa akur untuk menanggalkan jawatan tertinggi negara. Cuma masanya sahaja belum tahu.

No comments: