Thursday, June 26, 2008

KEMAS KINI PAPARAN BLOG

Terima kasih kpd Sdri Rina atas kesudiannya membuat penambahbaikan pada paparan laman blog saya.. Kadang kala orang lama (orang tua ler tu) malas nak belajar benda teknikal ini.. sekadar nak guna itu ini aje.. Terima kasih daun keladi.. apa hal nanti hubungi lagi.

Wednesday, June 25, 2008

JENDELA KECIL

Menyusup liar

sinar putih pada cermin wajah

gelora sadis meronta

lelahar jelek

pada karma alam

dan terhenti

lesu

pada lafaz parlah.

(Sebuah sajak kecil untuk laman e-sastera pada 23 Jun 2008 lalu)

MAKAN-MAKAN DENGAN MAZLINA

Rakan kuat UPENA; Puan Mazlina Mangsoor akan berpindah ke Shah Alam. Semalam (24/6 3pm) AJK UPENA buat makan-makan di Pizza Hut.. terasa akrabnya hubungan sesama kami, indahnya rasa ukhuwwah terbina selama ini atas dasar yang satu.. penulisan, khasnya kreatif. Kak Lin harap di Shah Alam kelak akan ada group yang boleh membantu seperti di Johor.

Sebenarnya UiTM Johor banyak kelebihannya; terutamanya soal hubungan keakraban sesama staf, malah pelajar. Aktivitinya juga pelbagai dan UPENA menjadi pencetus kepada penghasilan karya kreatif dan penubuhan kelab kreatif kalangan pensyarah/staf..

Kepada kak Lin, selamat bertugas di tempat baru dan semoga terus cemerlang.. UiTM Johor tetap di hati.. (Tiada madah yang paling baik untuk diungkapkan atas jasa baktimu selama di sini.. hanya kalimah; TERIMA KASIH)

TAHSIN AZAN DAN IQAMAH

Surau al-Muhajirin dipilih Pejabat Agama Daerah Segamat bagi menganjurkan program ini kepada imam, bilal dan noja DUN Buloh Kasap pada 24 Jun 2008 lalu.

Iqamah sunat dilakukan walaupun pada solat qada.

Azan pada solat qada menurut pendapat Imam Syafie (qaul jadid/Mesir) tidak disunatkan. (Qaul qadim ketika di Iraq, Baghdad). Berdasarkan hadis Rasul dalam peperangan Khandak yang baginda tidak berpeluang untuk solat, lalu baginda solat qada tanpa azan. (Peristiwa ini berlaku sebelum turunnya kaedah solat al-khauf kepada baginda). Qaul qadim sunat diazankan pada solat qada jika hendak solat berjamaah.

`Kami berjalan besama nabi pada suatu malam, kemudian mereka berehat sebentar dan Bilal tertidur sama. Apabila terbangun, matahari telah naik dan baginda meminta Bilal azankan dan mereka mendirikan solat berjamaah.’ Berpandukan hadis ini, ulama berpendapat sunat azan walaupun untuk solat qada.

Bagaimana solat yang tertinggal dan tidak diketahui jumlahnya? Perlu solat qada pada kiraan sehingga yakin jumlah semuanya

Bagi yang bermusafir tetapi tertinggal solat Zohor atau Asar, bila pulang ke rumah wajib diqadakan solat dengan sempurna rakaatnya; iaitu empat rakaat.

Bagi yang bermusafir tertinggal solat Zohor atau Asar, pulang ke rumah tetapi tidak solat lagi sehinggalah dia bermusafir pada kali kedua dan hendak qada solat yang tertinggal. Berapa rakaat yang perlu dilakukan? Dia boleh qasarkan solat qada berkenaan.

Adakah disunatkan membaca selawat, tasbih dan doa secara terang-terang dibacakan sebelum azan? Tiada hujah dan nas yang sahih menjadi amalan (biasanya dibacakan; Subhanallah walhamdulillah wala ilah illah wallahuakbar, wala khaula wala quwwatailla billah hil ’aliyyil azim...ya Karim). Ia bukan syariat azan. Tiada bacaan sunat sebelum azan seperti ini, jika dibacapun niatkan ia hanya sebagai zikir. Bacaan seperti ini jika dibiasakan, akan menimbulkan salah anggap masyarakat sebagai salah satu daripada iringan azan.

Selawat secara nyaring selepas azan; ada diperkatakan di dalam kitab. Pihak yang mula melakukannya ialah di Kaherah; oleh Salahudin pada 760H yang dimulakan pada malam Jumaat sahaja, namun akhirnya berkembang ke setiap waktu azan.

METOD AZAN; masuk jari telunjuk pada lubang telinga; pada iqmah, tangan letak di bawah sahaja.

Allahuakbar (boleh dimatikan pada akbar dengan kaedah saktah, atau dibarisdepankan; dhommah)

Tarji` perlu sebelum lafaz syahadah azan...

Hayya alassalah; (dalam bab ihtifal, pg 68) pandang ke kakan dan balik semula ke kiblat, sebut pula hayaa alassalah dan pandang ke kanan dan balik semula ke kiblat. Muka sahaja berpaling, tanpa dada.

Hayya alalfalah; pandang ke kiri dan balik semula ke kiblat.

IQAMAH; Kalau sudah sambung, perlu disambung juga. Kalau memilih tidak sambung, tidak sambung sampai habis. Tangan di bawah.

Monday, June 23, 2008

SANI SUDIN

Sani Sudin seorang penyair puitis terkenal dengan Kopratasa-nya turut memukau pendengar dalam baca Puisi Kuala LUmpur. Sebuah sajaknya cukup cantik dengan iringan gitar kecil mencerapkan minda dan rasa;

KITA INI SAMA SAJA
TIDAK BODOH TIDAK PANDAI
TIDAK PUNYA APA-APA

DALAM PANDAI ADA BODOH
YANG TERSEMBUNYI
DALAM BODOH ADA PANDAI
YANG TERSENDIRI

Sedap menghayati kalimah Sani Sudin.. Selamat berkarya tuan..

JOM KE DBP

Jumaat lalu (20 Jun) saya dan sdr Lee TL dijemput menyertai program DBP sempena ulang tahun DBP ke 52. Sdr Lee dijemput membentangkan karyanya lewat program Bicara Karya. Menginap di Mandarin Court hotel terdekat DBP membolehkan kami berjalan kaki ke sana. Pada malamnya diadakan program Baca Puisi Kuala Lumpur dikemudikan Sutung Umar RS, penyair tersohor tanah air.

Ramai tokoh yang hadir termasuklah Dato' Noraini Ahmad, Tim Menteri Sumber Manusia, Datuk Johan Jaafar, Dato' ANwar Rithwan, Marsli N.O, Sani Sudin, dan ramai lagi.

Datuk Johan membicara tentang Kampung Ketipang Payung; aku adalah ketipang payung cerita duka bangsaku.. manakala Dato' Noraini mendeklimasi sajak Warkah si ibu tua. Maryam dari Plentong menjadi titipan seni Anwar Rithwan mengkisahkan Maryam yang melarikan diri ke Korea, lupa diri, lupa bangsa dan lupa agama... Kini lama telah sepi cerita ttg si ibu Maryam ini? bagaimana khabarnya?

Thursday, June 19, 2008

SUKANEKA KELUARGA DI TAMAN YAYASAN

PROGRAM SUKANEKA HARI KELUARGA TAMAN YAYASAN FASA 2

Kumpulan Yasin Taman Yayasan Fasa 2 (KYTY2) akan menganjurkan sukaneka berkenaan pada 29 Jun 2008 bermula jam 7.30 pagi bertempat di taman permainan di Jalan 4/20, bersebelahan tangki air. Ia terbuka kepada semua keluarga dan pastikan anda datang bersama keluarga. Berbagai aktiviti diadakan seperti menyusun puzzle, mengayam ketupat, lari dalam guni dan acara kanak-kanak. Difahamkan program ini mendapat peruntukan daripada Pejabat Agama Daerah Segamat.
Tahniah kepada penganjur dan kepada semua jemaah adalah dijemput hadir. Datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan majlis berkenaan. CERIA BERSUKAN BERSAMA KELUARGA.

YANG KITA TAHU DAN TIDAK TAHU..

Banyak yang kita tidak tahu berkenaan kenaikan harga minyak menjadi RM2.70 seliter bagi petrol. Dari segi nilai, memang minyak Malaysia lebih murah tapi jika diukur pada kuasa membeli (purchasing power parity) nampaknya rakyat Malaysia menjadi pengguna termahal di dunia bagi nilai seliter petrol yang dibeli (lihat blog kadirjasin).

Perkapita rakyat Malaysia hanyalah USD5000 berbanding Singapura USD25000. Bermakna kuasa membeli tukang sapu di Singapura jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Nilai petrol di Thailand RM3.90 yang lebih tinggi daripada kita tetapi kos kereta baru di Thailand lebih rendah sejauh RM10,000 berbanding Malaysia. Mereka tidak perlu membayar tol merentasi lebuh raya 6 lorong dari Hadyai ke Bangkok, membayar lesen memandu seumur hidup sekali tanpa perlu diperbaharui seperti kita.

Sebagai perbandingan, senarai harga bagi negara pengeluar minyak, termasuk Malaysia seperti berikut:

UAE RM1.19 Eygpt RM1.03Bahrain RM0.87 Qatar RM0.68
Kuwait RM0.67 Saudi Arabia RM0.38IranRM0.35 Nigeria RM0.32
Turkmenistan RM0.25 Venezuela RM0.16 MALAYSIA RM2.70

Satu analisa ringkas boleh direnungkan..

Financially, Malaysia sell 2 barrel crude oil @ USD 130/barrel = USD 260 =RM 858 then, Malaysia will buy back fuel @ USD 134/barrel = RM 442/barrel **Thus, Malaysia earn net extra USD 126 = RM 416 for each 2 barrel of crude sold/exported vs imported 1 barrel of fuel !!!(USD 260-134 = USD 126 = RM416)So where this extra USD 126/barrel income is channeled to by Malaysian Govn?

Ataukah ini masalah yang sengaja dicipta oleh kerajaan dan mereka sendiri yang cuba menyelesai-kannya dan akhirnya merekalah yang dinobatkan sebagai juara?

SKIM WAKAF AIRCOND DI SURAU

SURAU AL-MUHAJIRIN, TAMAN YAYASAN

Surau kita akan menambah tiga (3) lagi unit aircond bagi keselesaan jemaah, khasnya menjelang Ramadhan akan datang. Sehubungan itu, skim wakaf aircond dilancarkan bagi membolehkan jemaah mewakafkan sebahagian kos yang dianggarkan berjumlah RM7500.00

Kepada jemaah yang berminat, bolehlah menyumbangkan kepada TABUNG WAKAF AIRCOND yang disediakan di surau ataupun berhubung terus dengan Cikgu Ramlee, En Idris (Bendahari) atau Imam.

Jumlah wakaf terpulang kepada kemampuan dan kesediaan jemaah sama ada RM10, lebih atau kurang. Yang penting dana tuan puan akan disalurkan untuk membeli aircond surau sebagai amal jariah. Selamat berbakti.

MENGURUS JENAZAH HIV/AIDS

MENGURUS JENAZAH HIV/AIDS

Sedang kami bersedia untuk makan malam, SMS yang diterima menyatakan seorang penghuni Taman Yayasan meninggal dunia jam 8 malam. Selesai solat Isyak di surau, kami menziarahi rumah jenazah yang terletak berhampiran surau. Saya memberanikan diri membuka tutup muka jenazah dan terkedu dengan kudis kehitaman memenuhi mukanya, kurus kering dan dua keping syiling menutup matanya bagaikan jerangkung menakutkan. (Maaf bukan niat saya mengaibkan jenazah, tapi begitulah bahananya dadah dan HIV yang membelengu mangsa ini).

Jenazah akan diuruskan malam ini juga. Itu keputusan ringkas perbincangan kami.

`Siapa yang akan menguruskan jenazah, memandi dan mengkafankan?

`Pihak kami (hospital) akan sediakan alatan keselamatan, tapi urusan lain pihak sinilah yang selesaikan.’ Jelas pegawai dari hospital yang mengesahkan kematian dan mengawal selia urusan jenazah HIV.

Ini pengalaman kedua saya menguruskan jenazah AIDS/HIV. Gerun. Kain kapan tiga lapis dilapiskan pula plastik pada lapisan kedua. Kami dipakaikan baju plastik, sarung tangan dua lapis dan mask – penutup mulut – untuk memandikan jenazah. Jenazah yang kurus tidaklah menyusahkan kami biarpun bintik hitam menyelaputi seluruh tubuhnya, mukanya kehitaman dan kekudisan yang lama. Selesai dimandikan, sarung tangan kami ditukar dengan yang baru untuk tujuan mengkafan. Urusan jenazah HIV sebenarnya sama sahaja dengan jenazah biasa, cuma aspek keselamatan sahaja yang amat dititik beratkan. Tidak hairan jika ada orang yang langsung tidak memunculkan diri apabila mengetahui jenazah berkenaan HIV/AIDS. Takut. (Kalau semua takut, siapa yang nak menguruskan jenazah HIV?)

Hampir jam 12 jenazah selamat dikebumikan dan saya mentalqinkan lalu disudahi dengan doa tuan Imam. Kami pulang dari kubur jam 12.30 malam. Membersihkan badan dan tidur jam 1.15 pagi.

`Abang bau apa ni.. pergi mandi lagi lah..’

Saya mandi kali kedua bagi menghilangkan bau kapur gaharu yang merimaskan isteri. Fuh, nasib badan. Cabaran paling kritikal menguruskan jenazah AIDS ialah semasa memandikan kerana terdedah dengan air secara langsung. Jika pemandi jenazah berkudis atau terluka ia membahayakan.

Saya maklumkan hal ini kepada Puan Hajah Norlina dan dia membalas SMS saya; `Alhamdulillah.. tahniah. Semoga Allah memberi ganjaran pahala untuk ustaz kerana membuat kebajikan fardhu kifayah dan sebenarnya bila kita buat kerja ikhlas rasa satu kepuasan yang tidak boleh terucap oleh kata-kata. Saya tunggu ustaz muncul depan pintu rumah saya pasal buku kita.’ 17 Jun 2008, 23:04

KURSUS MENTERNAK CACING

Syarikat ATNRR AGROSEPADU akan menganjurkan kursus menternak cacing bagi tujuan mengeluarkan baja semulajadi pada 6 Julai 2008 ini bertempat di Kolej Komuniti Segamat 2 bermula dari jam 8.30 pagi. Kursus ini akan mendedahkan urus tadbir pemeliharaan dan penjagaan cacing, kawalan dan penghasilan baja bio. Kepada mereka yang berminat bolehlah menghubungi En Azizi pada talian 013-3297444. Yuran penyertaan ialah RM300 merangkumi yuran keahlian PPIM, makan dan lawatan tapak projek.

MENCARI TANAH KOSONG

Terujakah anda jika ditawarkan tanah kosong seluas 2 ekar dengan harga RM1200.00 sahaja? Tentu teruja. Perjalanan ke Kuala Rompin mengambil masa 2 jam tidak memenatkan kami untuk mendapatkan habuan yang dijanjikan. Beberapa urusan oficial dilakukan di kaunter Pejabat Tanah Rompin dan akhirnya kami ke Bandar Melati (kawasan Felda, bandar tu hanya nama tapi jauh terpencil) bagi melihat kawasan tanah yang dipohon. Tanah hutan dara masih kosong, ada yang telah diteroka dan sebahagian besarnya masih belantara. Inikah tempat baru yang perlu ditakluk?

BENGKEL OBE & MQA

BENGKEL OBE & MQA
Bagi mengawal selia kualiti akademik, Jawatankuasa Kualiti UiTM Johor menganjurkan bengkel Outcome Based Education (OBE) dan Malaysian Quality Assurance (MQA) kepada pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) dan Akademik Pengajian Bahasa, UiTM Johor, baru-baru ini.
Bengkel sehari disertai 40 peserta telah dirasmikan Prof Madya Haji Yusri Ismail, Timbalan Pengarah Akademik UiTM Johor atas bimbingan Ustaz Ezani Yaakub, Ustazah Baterah Alias dan Dr Huzaimah dari CITU UiTM Malaysia, memfokuskan pentingnya mengawal selia setiap kursus yang diajar daripada pembinaan silibus, proses pengajaran, pembinaan soalan dan penilaian. Piawaian kursus perlu dipatuhi bagi memenuhi standard MQA seperti yang ditetapkan. (Saya sekadar menjadi MC bagi menyerikan bengkel).

Monday, June 9, 2008

HARGA MINYAK DUNIA

HARGA minyak dunia sememangnya naik mendadak dan Malaysia terkesan dengan bebanan ini. Cuma Malaysia lebih istimewa kerana kita juga menjadi pengeluar minyak, yang sepatutnya sebagai negara pengeluar minyak, sedikit keistimewaan hendaknya diperoleh kepada rakyat. Bagaimana negara Brunei boleh menjaga kepentingan rakyat dengan kawalan harga yang cukup rendah, begitu juga di Saudi dan negara pengeluar minyak lain?
Kelebihan apa yang rakyat kita dapat selain berbangga dengan menara Petronas mencakar langit dan sebuah kedai Melayu yang hampir mati di menara kebanggaan itu? Ataukah hanya pegawai dan pemegang sher PETRONAS sahaja yang terus mengaut kekayaan hasil minyak negara, sedangkan ia adalah khazanah negara yang perlu dimiliknegarakan dengan sebenarnya.
Berapa pula kadar zakat yang Petronas lunaskan untuk kepentingan rakyat umum; tak kira muslim atau tidak.. Entahlah, kami hanya marhain di bumi sendiri.

HARGA MINYAK NAIK LAGI... PARAH..

PAK LAH sekali lagi membuat kejutan yang menyesakkan rakyat dan meningkatkan ketidakyakinan rakyat kepada kerajaan. Apa boleh buat dengan kenaikan minyak 78 sen seliter yang pastinya mengundang cemuhan dan kejelekan rakyat membuak-buak.
Bayangkan ketika Pak Lah dan Najib tersenyum mengumumkan kenaikan harga minyak di Dewan yang indah, makan yang sedap sedangkan rakyat terpaksa berbaris panjang mengisi minyak dengan botol-botol kosong dikilit kiri dan kanan mencari sedikit kelebihan cuma. Stesen minyak seluruh negara sesak dan ada yang hampir bergaduh dengan kegawatan ini. Soalnya, bagaimana Pak Lah melihat situasi ini dengan mata hatinya?
Sudah naik harga minyak, tentunya dan wajibnya harga barang akan meningkat dan inflasi tidak terkawal lagi. Buatlah segala akta dan undang-undang, tetapi harga barangan dan kos hidup tetap memuncak.. Pak Lah masih bergoyang kaki di singgah sana, biarpun rakyat terus merana.

SEMINAR SAINS TEKNOLOGI & SAINS SOSIAL

STSS 2008 anjuran UiTM Pahang kali ini diadakan di M Suiet Kuantan dari 3 - 4 Jun lalu. Dua paper kajian yang dapat saya bentangkan; 1. Bersama Puan Kursimah "Ragam Pendapatan dan Perbelanjaan Masyarakat FELDA: Kajian di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan" hasil kajian URDC UiTM.. dan 2. bersama Us Md Saufi CITU UiTMJ; "Islam Hadhari di kalangan Warga Pendidik: Terima atau Tolak? Satu Dapatan Awal" hasil kajian awal yang akan dilanjutkan kajian lewat URDC kelak..

Alhamdulillah STSS berjaya menarik ramai kalangan pensyarah UiTM Johor termasuklah yang saya nampak; Puan Sasai dan Cik Da. Selamat berseminar dan membuat kajian..

1 JUN..

1 JUN hari lahir anak sulung kami.. Ahmad Afif yang kini menjejak 15 tahun.. makin hensem dia.. Maafkan abah yang tak punyai ruang waktu bersama melihat dan menjagamu dengan sebaik mungkin. hanya sempat meraikan mereka sekeluarga di KFC..

Monday, June 2, 2008

MENYUSURI SUNGAI MUAR & NISAH HARON

Pengalaman manis peserta Bengkel Penulis Muda Johor 2008 antaranya ialah aktiviti menyusuri sungai Muar. Bot kayu berbentuk Melayu tradisi sungguh cantik untuk dinaiki dan menyusuri sungai Muar suatu pengalaman yang indah. Melihat kesan sejarah pada bangunan dan aktiviti hiliran sudah cukup manis untuk dirakamkan pada sebuah novel.

Pengalaman ini dikutip oleh penulis Muar spt Saudara Adam (ADMUA, beliau kembali ke Rahmatullah pada 27 Mei 2008, hari bengkel ini bermula) melalui novel ?? ttg anak nelayan, dan juga Dzul Karnain Ithnin (novelnya Gerakan Tengah Malam) dan ia begitu indah.. Adakah peserta kali ini juga teruja untuk menulis berlatarkan sungai Muar?

Nisah Haron merakamkan ungkapan menarik...

Seekor rama-rama
yang basah sayapnya
dipercik buih sungai Muar
adalah aku
yang gelitar
mencari cinta-Mu.


Dan aku tidak punyai apa-apa untuk diungkap selain .. jadi pemandu pelancong yang tak bertauliah...

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

Bengkel ini disempurnakan perasmian penutupnya oleh Tuan Haji Jama Johan, Pengarah Yayasan Warisan Johor

Warisan budaya Melayu khasnya budaya Johor telah diperdagangkan ke seluruh negara, kelolaan YWJ. Ikatan silaturahim dan kejeleketan sesama kita kalangan UiTM dan YWJ dan kesungguhan pembimbingnya; Puan Nisah Haron, Puan Aminah Mokhtar dan Sdr Zaid Akhtar. Di Bahagian Persuratan & Sejarah sbg penganjur berbesar hati dengan penglibatan aktif peserta.

Dalam ucapan aluan, Pengarah UiTM Johor menjelaskan visi UiTM Johor kewujudannya disedari oleh masyarakat dan negeri Johor amnya. UiTM Johor berkembang kini di Larkin dan di Kulai dah dibeli tanah dan Menteri Pengajian Tinggi minta dibangunkan di PG. Novel atau sastera memberi impak besar kepada masyarakat contohnya pengaruh novel dari segi bahasanya membantu memudahkan penulisan karya akademik. UiTM J terus menyokong sebarang bentuk kerjasama seperti ini

Ledakan ICT perlu dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif mahupun tulisan berbentuk lain kerana ia menjadi pembina budaya dan sifat, sikap individu pembaca. Karya lebih bermutu diharap dapat dihasilkan kalangan penulis khasnya genre novel remaja dan kanak-kanak.

YWJ Citra Holding ditubuhkan di bawah YWJ bagi menerbit dan mengedar novel, menyediakan ruang perniagaan dalam penerbitan. Peserta diharapkan menjadi pelapis penulis akan datang dan memanfaatkan jaringan dengan pembimbing…

Kerangka Novel...

Dasar cerita: Sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah tinggal setaman, berkawan baik yang terlibat secara tidak langsung dalam kes penculikan kanak-kanak yang kesnya berlaku di taman tempat tinggal mereka. Zaim dan rakan-rakan cuba menyelamatkan Sharlina yang telah tiga bulan dilaporkan hilang…

Tempat/ where: Taman Yayasan, Segamat. Kampung Cheras Baru, PERNIM,

Dari SUDUT padanagn Zaim... sudut pandangannya atau JULIA atau digilirkan dengan orang lain... (CUBA kurangkan watak utama....)

Kisah 5 sekawan yang kaki buli, jahat nakal di sek.. tp bila dah kena macam tu.. baru dia sedar tgjwbnya..

Perkenalkan watak sikit2 dlm bab awal...,

BAB PLOT CATATAN
1
Caunter Strike – pengenalan watak Zaim, Atifi, Acher, abah dan ummi
Hormati/
2
Rumah kosong/ berpenghuni/
Hub kaum
3
Berpindah ke rumah baru- banglo
Interaksi kaum
4
Tanggungjawab
5
Keadaan ibu bapa mangsa yang tragis/ sedih/ pilu/ foto/
6
7
Community Polising / jemaah sbg penculik..
8
Kasih sayang
9
Komunikasi mangsa dengan zaim et.al
10
11
Pengorbanan ibu
12
13
Penculik; warga Indon ke surau, solat.. Kebejatan manusia
14
15
Imam dan tugas-tugas imam/ orang jahat pun ada yang baik, ke surau dan solat..
16
17
18
19
Polis dan kembalinya mangsa kepada keluarga
20
Penutup

Komen Nisah Harun.. menarik bagi murid drj 4-6 hn. Watak perlu berlainan bangsa dan perlu dijelaskan watak dan ciri bdaya pd watak,

Label ingin tahu yang tinggi sbnrnya wujud pd kanak-kanak.. tanggapan kanak-kanak ingin tahu pada semua keadaan perlu dipaparkan

Indon yang solat tp buat jahat, perlu dijelaskan kenapa watak sbg penghubung kpd watak baik dan buruk, so, perlu perkemaskan

Tips utk selamatkan diri drp diculik. Tips survival utk menyelamatkan diri perlu dijelaskan.

Komen Aminah Mokhtar
Indon yg solat... Cuma perlihatkan kenapa dia erada di situ dn jadi sbg penyelamat...

Wakilkan watak dengan budaya setempat..

Gunakan ayat yang ringkas, tepat dan padat.

FORUM: SENSIVITI SEBAGAI ASET PENULIS

Pada sesi Bengkel Penulis Muda, diadakan forum mengenai sensiviti dan ahli panelnya ialah Pn Nisah Haron, Zaid Akhtar (16 Apr dr Mersing), dan Aminah Mokhtar (sekuntum bunga kasih, diari seorang jururawat, Semakin Dekat, dan drama)

1. Pn Nisah Haron

Masalah bukan halangan tapi masalah adalah peluang dan cabaran.

Masalah utama:
MASA
KELUARGA
SUMBER

MASA? Tidak ada kekangan bilapun anda mahu menulis, baik awal pagi, sepagi, malam dsb. Jangan menulis ketika rasa terganggu kerana emosi boleh mempengaruhi bahasa dan gaya. Jangan anggap anak-anak itu sbg gangguan, ttp ia adalah peluang

KELUARGA: minta famili spy jangan ganggu saya pada masa saya menulis.

SUMBER: Beli buku, baca. Praktikal eg menyusuri Sungai Muar, kumpul pamplet, internet, wayang, pengamatan dan pengalaman.

Baca buku banyak sekali gus, walaupun sikit-sikit. Begitu juga tulisan, perlu diulang-ulang dengan konsisten.

Kena wujud keadaan TERPAKSA seperti saya buat kontrak menulis dng majalah.. Kenapa perlu berjalan utk menulis, kerana ia melapangkan pemikiran. Penulis juga perlu ada dalam suasana, persekitaran penulisan dan yang penting KENA MULA TULIS SEKARANG.


2. Zaid Akhtar

Kekangan PERSEKITARAN eg lokasi yang jauh, so buat group penulis; cikgu Zarul Nizam dan Baharudin Kahar.

RAGU-RAGU; sama ada yang dibuat itu standard atau tidak. Esp nak kekalkan prestage.

MALAS: sikap malas yang paling sukar dihadapi.

SENSIVITI penulis; Kuras-kuras Kreatif karya Azizi Hj Abdullah baik bacaan sbg bahan

PENGALAMAN sendiri yang perlu diperkayakan.

3. Pn Aminah Mokhtar (nurse)

Apa masalah pesakit perlu diatasi, menulispun sama. Masalah adalah pengalaman berharga kepada penulis. MASA kena pandai cari sendiri. Cabar diri sendiri utk siapkan bahan termasuk urusan MASA. MASA kena buat kerangka bab dan sub topik.. terpaksa hutang OPTIMA dan bayar dengan royalti skrip drama. BELASAH dan REDAH je.. Kena dera diri sendiri utk aktif. Eg kemiskinan mencabarnya utk menulis dan menerbitkan buku sendiri. SUKA HATI KITALAH. Belasah je, asal jangan terlebih sudah. MINAT perlu dipasakkan mendalam.

SYUKURI rahmat Allah; dengan peluang Allah bagi kepada kita terpilih sertai bengkel ini, so kena tulis sbg tanda syukuri nikmat Allah bagi peluang kpd kita.

SENSIVITI: Hospital lombong ilham kerana semua ada semua orang di situ dr Agong hingga peminta sedekah dan pelacur. Orang 4 tahun 4 novel dia 4 thn 4 halaman je..

BENGKEL PENULIS MUDA JOHOR 2008

UPENA UiTM Johor buat julung kalinya mengadakan kerjasama dengan Yayasan Warisan Johor, sebuah agensi penting Kerajaan Negeri Johor bagi menganjurkan Bengkel Penulis Muda Johor 2008 yang berlangsung pada 27 – 29 Mei lalu. Bengkel yang bertujuan untuk membimbing generasi baru dalam menulis novel telah disertai 40 peserta dan sebahagian daripadanya peserta UiTM Johor.

Bengkel dirasmikan Pegawai Daerah Segamat, Tuan Hj A. Rahman Jaffar yang turut disertai Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor sebagai pembimbing dan peserta sekaligus. Bengkel tiga hari itu dibimbing kalangan novelis terkenal tanah air iaitu Sdr Zaid Akhtar, Nisah Haron, Aminah Mokhtar dan lain-lain di samping aktiviti menyusuri Sungai Muar turut dijalankan. Penganjuran program kerjasama seumpama ini bukan sahaja mempelbagaikan bentuk aktiviti malah memanjangkan jalinan UiTM dengan YWJ di samping menjimatkan kos.