Karya terbaru Azizi Haji Abdullah ini adalah paparan realiti hidup seorang penulis bagi menghasilkan novel dan cerpennya. Azizi secara jujur mengkisahkan bagaimana cetusan dan dorongan untuk melahirkan sesebuah cerpen mahupun novel. Ternyata tidak semudah itu untuk menulis sebuah cerita. Berpandukan pengalaman hidup yang melingkari penulis, dari pengalaman kampungan hinggalah pengalaman jalanan di jalang-jalang memberikan idea bernas Azizi menulis.
Buku ini memaparkan pembabitannya dalam menghasilkan karya sedari awal penglibatannya hingga lewat 1990. Kenapa titik 1990 dipilih kita tidak pasti. mungkin titik itu memberi satu garis pemisah, pembahagi antara penglibatan Azizi dalam dunia penulis jati, dan penulis kreatif politik, Wallahuaklam. Namun hakikatnya, Azizi bergelumang dengan rencah hidup yang dipilih untuk merasai kepahitan dan keindahan gelojak dunia luar lewat pengalamannya sendiri. Bukan mudah menjadi jalang, menggauli jalang-jalang untuk mendapatkan sebuah bahan...
Ternyata seorang penulis seperti Azizi banyak membuang dan mengorbankan keluarga; isteri dan anak-anak. Malah anak-anak ada kalanya dimarahi kerana mengganggu tumpuannya menulis. Isteri tidak perlu tahu ke mana Azizi pergi, tidak perlu bertanya mahu pulang atau tidak malam hari.. kerana itulah gaya Azizi.
Saya kira Azizi selayaknya dianugerahkan tokoh Sasterawan Negara dengan sumbangannya dalam penulisan sekian banyak. Dan kepada keluarga Azizi juga perlu diberikan anugerah yang sama dengan pengorbanan yang mereka lalui bagi membantu Azizi berjaya. Barangkali.
No comments:
Post a Comment