Friday, August 29, 2008

HUKUM PUASA

ERTI PUASA
Puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta perbuatan yang akan membatalkan ibadah puasa bermula dari terbit matahari (masuk waktu solat Subuh) hinggalah terbenam matahari (masuk waktu solat Magrib) kerana Allah. Ini bermaksud puasa adalah yang berterusan di sepanjang hari. Puasa tidak boleh dilakukan separuh-separuh hari; umpamanya pada hari pertama berpuasa sehingga tengah hari dan hari kedua berpuasa lagi hingga ke tengah hari, lalu dikira sebagai satu hari. Amalan ini adalah tidak sah.

HUKUM PUASA
Puasa hukumnya adalah wajib ke atas setiap muslim dan muslimah setelah memenuhi kriteria berikut:
Seorang Islam
Baligh; iaitu telah cukup umurnya; bagi lelaki setelah bermimpi dan bagi perempuan setelah didatangi haid.
Bersih dari haid dan nifas; oleh itu wanita yang didatangi haid atau nifas tidaklah wajib berpuasa, tetapi diwajibkan qada berikutnya.

Kewajipan ini boleh kita perhatikan dari satu firman Allah yang bermaksud;

”Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada mereka yang terdahulu. Semoga (dengan berpuasa itu) kamu lebih bertaqwa (kepada Allah).” (al-Baqarah:183)

Dalam sebuah hadis Rasul saw pula bersabda yang bermaksud;

“Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya- tidak berpuasa lagi) setelah kamu tidak dapat melihat akan bulan, genapkanlah kiraan bulan syaaban ( tiga puluh hari)”

Keterangan ayat dan hadis di atas menentukan kewajipan puasa sebagai ibadah khusus (fardhu ain) kepada setiap yang beriman kepada Allah. Ia adalah penerusan dari amalan para nabi yang terdahulu. Nabi Musa berpuasa selama empat puluh hari lamanya, sedangkan Nabi Isa As berpuasa selama tiga puluh hari.

No comments: