Friday, August 29, 2008

SOLAT TARAWIH

Sembahyang tarawih hukumnya adalah sunat makkad, iaitu sunat yang sangat dituntut oleh Allah. Ia adalah ibadah khusus yang ada sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Keistimewaannya disebutkan oleh Rasul SAW yang bermaksud;

”Siapa yang mendirikan pada malam Ramadhan (ibadah) dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan Allah dosanya terdahulu.”

Telah menjadi kebiasaan umat Islam untuk beramai-ramai mengerjakan solat tarawih berjemaah di masjid atau surau. Amalan seperti ini amat membanggakan. Namun kebiasannya juga melihat, hanya pada awal Ramadhan sahaja umat Islam berpusu-pusu memenuhi masjid sedangkan pada penghujung Ramadhan, ramai yang menghilangkan diri. Ia seharusnya tidak berlaku kerana keistimewaan Ramadhan itu ada pada penghujungnya.

Waktu solat ini bermula setelah selesai sembahyang Isyak. Ia berakhir apabila terbit fajar di waktu Subuh. Ia boleh dilakukan bersendirian atau berjemaah, tetapi adalah lebih afdal jika dilakukan berjamaah.

Dalam masyarkat, kita dapati mereka yang terburu-buru untuk mengerjakan ibadah tarawih hinggakan ada yang tidak sembahyang Isyak terlebih dahulu. Perlakuan seumpama ini adalah tidak sah dan tidak diterima solat terawihnya. Kerana solat terawih hanya boleh dilakukan setelah menunaikan solat Isyak. Hutang yang wajib itu lebih utama dibayar daripada sedekah yang sunat.

BILANGAN RAKAAT

Kebanyakan ulama berpendapat bilangan rakaat solat sunat terawih ialah dua puluh rakaat. Sebilangan ulama pula berpendapat hanya lapan rakaat sahaja. Kita tidak ingin mempertikaikan pandangan ulama tersebut, kita semuanya mengakui solat terawih adalah sunat yang perlu dilakukan. Apa yang penting ialah kedua-duanya boleh diamalkan mengikut keupayaan dan kelapangan kita Perbezaan pendapat ini adalah satu hikmah ang terbaik sebagai pilihan kepada umat Islam.

Bacaan selawat dan zikir yang sering kali diamalkan setelah solat tarawih adalah sunat. Ia sebagai penyeri solat terawih yang kita lakukan. Bacaan ini bukanlah satu kewajipan sehingga membatalkan solat terawih. Sengaja saya membangkitkan persoalan ini kerana kalangan kita yang tidak mendirikan solat terawih kerana tidak ada bilal yang pandai membaca selawat serta zikir iringan tesebut.

Sembahyang tarawih hendaknya dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan rendah hati, ikhlas dilakukan kerana Allah. Seringkali umat Islam terkejar-kejar untuk segera menghabiskan bilangan rakaat hingga lupakan tujuan asal ibadah yang dilakukan. Semoga ibadah terawih yang akan kita laksanakan di musim ini mendapat ganjaran sewajarnya dari Allah.

No comments: