Monday, September 15, 2008

MEMULIAKAN AL-QURAN

Kali pertama al-Quran diturunkan pada 17 Ramadan kepada Rasulullah di Gua Hira’. Penurunan ini berterusan selama hayat Rasulullah menjangkau 23 tahun lamanya. Hingga kini, al-Quran kekal terpelihara sebagai sebuah kitab mukjizat yang tiada mampu ditandingi sesiapapun.

Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca bagi mendapat pahala, malah lebih utama ialah untuk dihayati intisarinya, diamalkan suruhan dan yang terkandung dengan seribu rasa ketaatan kepada Allah.

Realiti hari ini, umat Islam bukan sahaja meninggalkan ahkam al-Quran malah iltizam untuk membacanya juga semakin terhakis. Barangkali tidak ramai yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan harian, selain dari membaca Yasin pada malam Jumaat.

Di sini perlunya kita kembali menjadikan al-Quran sebagai sumber bacaan dan sumber ilmu sebagaimana kita begitu prihatin untuk membaca akhbar atau blog-blog. Lazimilah al-Quran kerana ia adalah kalimah Allah yang satu-satunya kekal terpelihara, yang kaya dengan ubat dan rahmat.

Dalam konteks yang lain, usaha ke arah memartabatkan hukum al-Quran perlu diteruskan. Ia suatu amanah dan satu perjuangan berterusan. Sememangnya hukum- hakam al-Quran dianggap berat kepada sesetengah orang, namun itulah yang perlu kita ikuti. Allah berfirman bermaksud;

“Bersabarlah dengan hukum-hakam Tuhanmu dan janganlah kamu mentaati mereka yang berdosa atau mereka yang kufur.” (Al-Insan: 24)

Hukum hakam al-Quran merangkumi seluruh aspek kehidupan. Ia serba lengkap memandu hidup kita selamanya, selagi manusia itu mahukan pertunjuk Allah. Selamat berjuang. (Suara al-Muhajirin Bil 7, thn 7 (12 Sept 08)

No comments: