Wednesday, October 28, 2015

ANTARA SOLAT ISYAK DAN KULIAH MAGHRIB

Kuliah Maghrib kerap diadakan di masjid. Ada masjid yang hampir setiap malam ada kuliah Maghrib. Ada yang dua kali seminggu. Kuliah maghrib diadakan bagi mengisi ruang antara Maghrib dan Isyak dengan ilmu dan pebincangan ilmiah yang menarik.

Namun begitu, ada kalanya pengkuliah Maghrib menghabiskan masa kuliah Maghribnya agak lewat. Mungkin 10 - 15 minit setelah masuknya waktu Isyak. Malah ada yang sampai 30 minit.

Apa isu yang nak dibawa di sini?

Ibadah yang paling utama di masjid ialah solat berjemaah. Jemaah yang datang sememangnya mahu menunggu untuk solat berjemaah dan jika ada ruang masa pengisian kuliah Maghrib itu sebagai satu tambahan yang baik.

Kalangan jemaah juga ada yang musafir, yang berhenti pada ketika masuknya waktu Isyak untuk solat berjemaah. Namun dengan adanya penceramah yang melengahkan waktu, mereka terpaksa beredar, ataupun mereka solat bersendirian di penjuru masjid. Keadaan ini tentunya kurang sesuai kerana kita menarik kelebihan yang sepatutnya mereka peroleh berjemaah.

Malah jemaah yang biasa datang ke masjid juga punyai urusannya sendiri. Jika penceramah melengahkan waktu, bererti dia telah melengahkan waktu orang lain yang datang berjemaah di masjid.

Dalam banyak hal, adalah tidak wajar bagi pengkuliah Maghrib untuk melengahkan waktu orang lain dengan bahan kuliah mereka. Memadailah dengan waktu yang ada, jika sedikitpun cukup, jika panjang masanya pun cukup. Fikirkanlah kebaikan semua pihak, jangan nanti sampai ada jemaah yang tidak mahu ke masjid kerana ada kuliah Maghrib.

Bagi program khas seperti ceramah Maulid Rasul, itu tidak dipersoalkan. Ia hanya sesekali, bukannya pada setiap minggu. Kuliah Magrib bukanlah seperti mengajar di sekolah yang perlu dihabiskan silibusnya, bukannya ada peperiksaan dan ujian, bukannya ada hukuman jika tidak mengajar, maka anda didapati bersalah... Memadailah kuliah Maghrib itu sebagai mengisi ruang kosong antara waktu Maghrib dan Isyak sahaja. Kuliah Magrib di Masjidil Haram tidaklah pula dipanjangkan sampai ke waktu Isyak, jika benar pun ia terlalu penting untuk dikongsikan dengan jemaah.

Insya Allah minggu hadapan masih ada ruang untuk berkuliah Maghrib di tempat yang sama. Memadailah dengan waktu yang Allah berikan kepada kita sekadar itu sahaja.

Hargailah waktu orang lain jika anda tidak pun menghargai waktu anda sendiri.

No comments: