Thursday, February 26, 2009

UPIN DAN IPIN


UPIN DAN IPIN adalah watak kartun yang diperkenalkan oleh syarikat milik Ida Rahayu. Hari ini, kisah kartun ini amat popular dan mendapat tempat kalangan peminat baik yang kanak-kanak mahupun dewasa. Sekalung tahniah kita rakamkan kepada kebijaksanaan dan kemampuan orang kita membuahkan sesuatu yang besar ertinya kepada kemajuan bangsa.

(Paling tidak kita boleh berbangga filem kartun kita boleh bertahan lama di panggung dan sebahagian kecil keuntungannya masuk ke tangan usahawan Melayu)

Ida Rahayu bukan calang-calang orang. Dia berlatar pendidikan agama, lepasan Kolej Islam Kelang (KISAS) dan kini dicalonkan untuk merebut Ketua Puteri UMNO Malaysia. Setelah berjaya menghasilkan filem animasi Bawang Putih Bawang Merah, UPIN dan IPIN pula menaikkan nama syarikat ini, mampu melangkah jauh ke persada antarabangsa hendaknya... Kepompong Malaysia terlalu kecil sebenarnya untuk industri perfileman, langkahlah seribu langkah ke persada luar yang lebih berpengaruh...

A. SAMAD SAID DAN PERJUANGAN BAHASA..


Meneliti ungkapan Pak Samad, tersentuh benar rasanya..

"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan. Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti" - A. Samad Said

Begitulah luahan seorang pejuang bahasa dan pejuang bangsa yang sebenarnya Pak Samad juga mahukan kemajuan dan pemodenan berlangsung dalam negara, cuma elok diletakkan kembali kemajuan bangsa dan negara pada acuan kita sendiri (seperti termaktub dalam Wawasan 2020). Kenapa pula mahu diperkecilkan bahasa sendiri semata-mata melihat bahasa asing itu hebat dan terserlah.

Bahasa adalah alat. Alat tidak semestinya menjamin kepada kejayaan sesebuah projek kerana alat itu sifatnya pelbagai. Bahasa Melayu juga alat, alat untuk maju dan alat untuk mendidik manusia yang berbangsa Melayu dan bernegarakan Malaysia.

Saya setuju perjuangan Pak Samad.. dia sejujurnya mengakui pentingnya memartabatkan kembali bahasa kita pada landasan Perlembagaan dan negara Malaysia yang betul..
Kemajuan rakyat dan negara bukan terletak 100% pada bahasa, walaupun bahasa menjadi alat kepada kemajuan tersebut... jangan kita korbankan alat semata-mata mengejar kemajuan yang tiada penghujungnya.

Wednesday, February 25, 2009

TEKA TEKI TEKA TEKOK

Kelakar juga apabila tengok iklan si Apek; 'Kenapa Siti Nurhaliza menyanyi tutup telinga?' 'Kalau dia tutup mulut, tentu tak boleh menyanyi.."

Teka teki saya hari ini ialah;

1. Apa binatang yang kemaluannya berada di leher/

2. Apa pula binatang yang kemaluannya banyak (lebih daripada satu)?

Ini soalan yang timbul semasa rewang kenduri kendara dan bergaul dengan orang lama...


Jawapannya ada pada komen entry ini...

Tuesday, February 24, 2009

WACANA INTELEKTUAL BERSAMA EMMAN MANAN

UPENA, Pewani dan Perhubungan Korporat akan mengadakan Wacana Intelektual dengan topik bicara;

"PENYERLAHAN BUDAYA MELAYU MELALUI FILEM'

dengan dibarisi tokoh perfileman tanah air;

1. Prof Dr Muhamad Hatta Azad Khan
2. Emman Manan
3. Hasan Mutalib

Tarikh: 1 Mac 2009 (Ahad)
Jam ; 9.00 pagi
Tempat: Bilik Sekriteriat, UiTM Johor

Terbuka kepada orang ramai dan percuma...

Semua dijemput hadir.

SEMBANG-SEMBANG

Dalam satu perjalanan,ruang untuk bersembang terlalu banyak. Jika ada bersama suami, isteri dan anak-anak, maka berbagai kisah dan muhasabah boleh diluahkan dan masing-masing tidak boleh mengelak lagi. (kalau di rumah mungkin si suami berpeluang mengelak, kononnya sibuk dengan urusan yang diada-adakan). Kalau dah dalam kereta macam mana nak lari lagi...

Dalam satu perjalanan, seorang kawan membuat rumusan kepelbagaian budaya Melayu, Cina dan India.. Orang Cina paling jaga rambutnya sebab itu selalu dicuci rambut supaya gatal kepala tidak mengganggu fikirannya hendak mencari wang. Orang CIna paling takut sakit sebab itu mereka selalu jogging (bersenam) dan takut kecurian sebab itu rumah mereka terang benderang (jika rumah lama, mereka ada lubang untuk mengintai ke bawah)..

Manakala orang India paling dijaganya ialah gigi; sebab itu giginya sentiasa bersih; suka menjaga periuk sebab itu periuk mereka bersih berkilat dan malas nak jaga parang sebab itu ada pepatah Melayu 'parang keling'; parang yang tak tajam, tak pernah diasah.

Orang Melayu pula; entah saya pun dah tak ingat... fikirlah sendiri..

Friday, February 20, 2009

PERAK OH PERAK

Bermula dengan rampas kuasa mengggunakan pengaruh sultan, Perak kini semakin gawat. Speaker menggunakan kuasa yang ada padanya, dan nantilah apa pula langkah BN untuk memahkamahkan speaker... Zambry pun dimahkamahkan, semua orang sudah kelam kabut..

Inilah realiti politik yang tiada jalan sudahnya. Sampai bila krisis politik seperti ini akan berakhir?

Kepada DYMM Sultan Perak, kita mohonkan perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN dan akhirnya kita serahkan kembali kuasa kepada rakyat. Itu yang terbaiknya. Itu langkah terbaik sebelum lebih parah rakyat mempertikaikan institusi istana dan memandang rendah institusi istana..

Telah banyak negara yang menyahkan raja lantaran kesilapan mereka menguruskan negeri @ negara....)

Thursday, February 19, 2009

SOUND SYSTEM KHAS UNTUK MASJID


Sound system untuk masjid tentunya tidak sama untuk kegunaan di padang atau di rumah kenduri. Sound system di masjid tentunya perlu lebih sesuai kerana ia sepenuhnya bergantung kepada kemerduan suara imam semata-mata tanpa iringan alunan muzik, penyanyi latar dan sebagainya. Apabila solat di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, terasa sentuhan suara imam terus masuk ke telinga dan bergelombang dalam minda dan ruh jemaah.

Di mana-mana masjid di Malaysia, kita dapati sound system sentiasa bermasalah. Tidak ramai yang tahu menggunakan (mengendalikan) PA system yang dibekalkan. Biarpun kosnya amat tinggi, tetapi teknologi canggih tidak boleh digunakan sebaiknya kerana kemahiran kepenggunaan tiada (atau amat terbatas). Perkara ini perlu diberi penekanan kepada kita, khasnya kepada imam dan bilal yang sering kali berurusan dengan PA System.

Tiba masanya kita perlu sediakan latihan pengendalian PA system kepada imam dan bilal agar mereka sendiri tahu bagaimana hendak menggunakannya dengan baik..

(Masjid Al-Syakirin UiTM Johor telah mendapat satu tiang tinggi untuk memancarkan suara azan ke seluruh pelusuk UiTMJ. Terima kasih dan tahniah atas satu lagi inovasi daripada pihak pengurusan...)

Wednesday, February 18, 2009

APABILA TERINGATKAN SESEORANG

Kadang kala lintasan ingatan datang berbagai rupa, baik pada benda mahupun pada seseorang. Lintasan ini mungkin ada kaitan dengan gelombang delta yang sedia terbina dalam diri, yang hanya kena pada masa dan ketikanya sahaja, lintasan itu terlihat, terjelma dalam realiti mahupun mimpi.

Tidak disangka-sangka sekadar contoh, malam tadi termimpikan bertemu seorang tok guru yang lama saya tidak ketemui. Mengapa Allah berikan lintasan dan mimpi sedemikian? Hanya DIA sahaja yang tahu. Kadang kala ketika memandu sendirian, kita terlintas pula wajah rakan, jiran, sahabat, anak-anak mahupun isteri (jika tidak isteri-isteri), maka tentunya ada gelombang yang menghubungkan kita dengan orang berkenaan.

Apa yang perlu kita lakukan? Sekadar tersenyum mengingatkan lembaran kisah silam? Ataukah ia sekadar lintasan yang tidak membawa apa-apa makna?

Pada saya, jika lintasan seperti ini Allah berikan kepada kita, tentunya ada maksud tersendiri. Paling tidak kita perlu doakan dia semoga dia selamat dan bahagia, atau jika termampu menelefon atau menghubunginya, itu lebih baik; kerana kemungkinan 'lintasan' yang sama terjadi kepadanya..

Sebab itu selalu terjadi... 'Eh, saya baru teringat kat awak, tiba-tiba awak telefon saya pula.." Gelombang delta seperti ini adalah anugerah Tuhan kepada kita, lalu syukurilah dan nikmatilah kemanisannya...

Dan lagi, jika terlintas akan seseorang, bayangkanlah kebaikan yang ada pada dirinya, bukan sebaliknya.. Ia akan lebih menenangkan jiwa kita dan lebih membahagiakan empunya diri...

Monday, February 16, 2009

RIHANNA DAN M NASIR

Walaupun RIhanna tidak jadi datang ke Malaysia dalam masa terdekat, namun akan tiba masanya si Rihanna datang setelah penganjurnya bersiap sedia segala keperluan termasuklah penjualan tiket yang meluas. Itu kisah artis dari luar negara yang berjaya membawa budaya baru ke seluruh pelusuk dunia, termasuklah di sini.

Seorang lagi artis tempatan yang akan mengadakan konsertnya ialah M Nasir pada hujung Februari ini. Bagaimana pula sambutan peminat kepada idola Malaysia, adakah ia sehebat kita menyambut Rihanna? Saya tidak pasti, cumanya daripada pandangan umum mendapati ia tidaklah sehebat mana..

Inilah realiti sukarnya kita di sini mahu mempertahankan apa yang kita ada, baik budaya, sistem nilai, bahasa, malah agama.. semuanya sukar untuk kita pertahankan apabila pemujaan dan keutamaan sentiasa diberikan kepada yang datangnya dari luar.

Budaya Melayu yang menjadi budaya bangsa diperkecilkan begitu sahaja. Sama ada atas alasan agama atau atas alasan apa sekalipun, sewajarnya budaya ini kita pertahankan, bukannya dibiarkan tandus dan kering tanpa pengikut. Amat malang dalam dunia moden dan kemudahan serba ada, budaya Melayu masih berada di tahap lama. Tidak ada yang terlebih baik dari sejak adanya ada...

APABILA SULTAN DISENTUH

Apabila sultan disentuh dan mahu disaman, maka juak-juak akan bangkit bersuara kononnya memberi taat setia kepada raja dan istana. Sebenarnya bukan sekali institusi raja dan sultan cuba dihakis kedudukan dan peranan mereka. Telah banyak kali. Pada masa Tun Dr M dahulu telahpun dicuba untuk menghakis kuasa sultan sehingga menimbulkan krisis perlembagaan yang hebat. Dr M pada masa itu menjelajah seluruh negara bagi mendapat sokongan rakyat, dan bangunlah juak-juak tersebut memberi sokongan kepada Dr M. Mereka secara sedar mahu meruntuhkan institusi reja dan sultan;

Juak-juak yang sama kini bangkit kembali. Ia berpunca daripada Karpal yang mahu membawa sultan ke mahkamahm yang menurut pandangan perlembagaan, ia bukanlah suatu yang salah, tidak betul hanya kurang beretika.. seperti yang diperkatakan tokoh undang-undang tanah air, A Aziz Bari..

Sebenarnya juak-juak yang bagnkit itu hanyalah mengikut rentak si jerung yang punyai agenda tersendiri.

Apa untungnya umat Melayu dan agama Islam di Malaysia? Apa untungnya kita menjaga institusi raja, seperti juga apa gunanya menjaga orang yang mahu meruntuhkan Islam di Malaysia? Hilang langsung soal perpaduan, kebenaran, hak dan berbagai lagi apabila kita terpengaruh dengan omongan jerung yang punyai agenda tersendiri.

Fikirlah..

Friday, February 13, 2009

CERAMAH INTELEKTUAL IBADAH HAJI

Telah lama juga UiTM Johor tidak menganjurkan siri ceramah seperti ini. Jika dahulu kita ada Sekritariat Wacana Intelektual dipengerusi Dr Ahmad Zaki, namun sejak dia berpindah ke SA, ia seakan tidak wujud. Kita sempat menjemput antaranya Uthman Muhammadi, Prof Yusof Othman, Prof Mohamad Abu Bakar, Prof Rahmah Hashim dan lain-lain yang akhirnya terbitlah buku Agama dan Kehidupan tamadun politik dan sosial suntingan Mohd Halim Kadri dan Azura.

Kini atas inisiatif Prof sendiri, beliau menganjurkan progam yang sama, terbuka kepada umum sebagai sumbangan kepada warga Segamat. (Saya terfikir, kenapalah kami tidak mengambil usaha utk meneruskan usaha spt ini, kenapa perlu top person sendiri yang buat.. )

Kepada pelayar blog saya, jemputlah ke majlis ini yang diadakan percuma pada 14 Feb 2009 bermula jam 9.30 pagi, di UiTM Johor. Penceramahnya ialah Prof Dr Hj Muhd Kamil sendiri...

KOPERASI MASJID AL-MUHAJIRIN TAMAN YAYASAN BERHAD

Mesyuarat Penubuhan Koperasi dipengerusikan oleh saya
Antara jemaah yang hadir.

Syukur Alhamdulillah malam tadi, 12 Feb 2009 tercatat sejarah baru bagi Surau Al-Muhajirin Taman Yayasan setelah rasminya ditubuhkan Koperasi Masjid Al-Muhajirin Taman Yayasan Berhad. Mesyuarat Pra-Penubuhan telah dihadiri wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Segamat, Sdr Zul Yamin Radzi, Sdr Mohd Amir Ahmad dan Sdr Hashim Abdullah. Turut hadir Ustaz Wan Hasan Wan Abas selaku Penggerak Masjid DUN Buloh Kasap.

Ramai jemaah yang hadir, berdaftar seramai 70 orang dan surau ini adalah yang pertama dibenarkan penubuhan koperasi di Malaysia. Ia antara 10 masjid terpilih di negeri Johor yang diberikan kelulusan mewujudkan koperasi, dan satu-satunya surau adalah surau al-Muhajiri. tahniah kepada pengurusan atas kejayaan ini dan tentunya menjadi harapan besar kerajaan melihat ekonomi umat Melayu, umat Islam di kawasan ini kekal terpelihara dan mampu bersaing.

Sembilan Ahli Lembaga yang dipilih termasuklah; Hj Ramlee Ramlan, Hj Yusof Embot, Hj Manan, Haji Norashikin, Hj Ismail Tarmudi, Hj Jaafar Ahmad, En Ghani Rahmat, Haji Daud dan Haji Md Nor. tahniah dan selamat maju jaya untuk koperasi pertama seumpamanya di Malaysia untuk sebuah surau seperti ini..

Thursday, February 12, 2009

WATAK MELAYU

Ketawa Mat Jenin angan-angannya menjadi realiti
Pak Pandir puas baju kertasnya terbuka di hadapan raja
Mak Andeh senyum simpul periuk belanga dirampok
Dan Si Luncai sedih pilu bila tuannya kurang mengerti erti setia

Luncai terjun dengan labu dari akal bijaksana
Pandir puas memalukan tuannya
Andeh ketawa memendam rasa hormatnya
dan Jenin bahagia punyai cita-cita

Hanya pembaca kurang mengerti
Mengapa kami berbudi begini
sekadar meluah apa terdaya
untuk santapan si tuan sana

MEMARTABATKAN KUASA MELAYU BARU

Bukan mudah hendak mendaulatkan agama, menjaga kepentingan bangsa dan negara... Teori berbagai teori boleh dikemukakan, namun pelaksanaannya yang menjadi masalah. Bukti yang nyata, tidak semestinya negara Islam yang bertamadun Islam juga akan mampu memberi keadilan dan keamanan kepada semua rakyat...

Perhatikan dalam lipatan sejarah Islam, baik di Melaka, di Brunei ataupun di Andalus, Baghdad malah di Basrah dan Kufah yang didominasi kalangan tabien suatu ketika dahulu, banyak ceritera ngeri dan kezaliman pemerintah yang terjadi sepanjang sejarah mereka.

Mengkaji pula sejarah di barat, kita dapati perkara yang sama lebih dahsyat terjadi. Soal kemanusiaan sering sahaja dibakulsampahkan oleh pemimpin yang zalim dengan alasan yang mereka cipta sendiri.

Ringkasnya, bukanlah sesenang itu untuk melaksanakan keadilan kepada semua pihak. Kita mengharapkan baik di Perak, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan semua negeri di Malaysia aman damai dan terselamat daripada kekejian yang akan menjelekkan sejarah bangsa.

(Saya tertarik dengan buku Sejarah Umat Islam karya Hamka yang secara jelas memperlihatkan berbagai bentuk ketidak adilan yang berlaku dalam dunia Islam. Namun kita tidak ingin mengatakan ia dibenarkan oleh agama, sekadar memahami realiti sejarah bahawa Imam Hanafi tidak akan dipenjarakan jika tidak kerana dia mahu menegakkan kebenaran atas kefahaman dan kesedarannnya sendiri...)

BN DI PERAK...

BN rampaskuasa secara paksa... rampas suara rakyat yang telah memberi mandat kepada PR.. Dan inilah caranya yang dipakai oleh BN setelah gagal menguasai negeri melalui Pilihanraya... Pengalaman lama dahulu di Kelantan dan Sabah adalah perulangan yang sama...

Biar apapun bacaan dan telahan media prima kerajaan, rakyat semakin jelak dan muak dengan karenah BN. Tidak dinafikan semasa Perak dalam PR, ada berbagai isu yang dikaitkan, namun tidak semuanya benar dan tepat. Ada banyak perkara yang disenyapkan media dan orang ramai tidak tahu perkembangan sebenar di sana..

Jangan hanya membaca dari sebelah pihak, lihatlah dari pelbagai sudut.. Antara komentar menarik yang saya baca, termasuklah email ini...

Salam,

Ini sekadar rumusan peribadi. Kegawatan politik yang berlaku baru-baru ini menyingkap beberapa perkara. Ianya bermula seawal DSAI menyatakan hasrat untuk mengambil alih kerajaanpada 16 Sept 2008. Apa bila agenda tersebut gagal, ramai yang mula sangsi dengan DSAI. Walau bagaimanapun Agenda 16 Sept biarpun gagal, ia sangat menghuru-harakan UMNO. Mungkin itu tujuan DSAI tetapi waAllahu A'lam.

Situasi di Perak. Apa yang berlaku di Perak menyingkap beberapa perkara. Ia bermula apabila beberapa ADUN mula 'hilang'. Perkara begini telah pun dihidu DSAI sejak PR menang di beberapa negeri. Semua ADUN PR dikehendaki menandatangani Surat Perletakan Jawatan(lafaz taklik la ni) tidak bertarikh yang akan di'invoke'bila ada masalah kepada ADUN2 ini. Dari segi undang-undang surat begini sah. Dan apabila sah 3 orang ADUN PR menjadi bebas, maka Surat tersebut di'invoke'. Salah seorang ADUN 'bebas' ini mengakui menandatangani surat tersebut. Dan Speaker DUN mengunakan kuasanya untuk memaklumkan kepada SPR untuk dijalankan pilihanraya.

Walau bagaimana pun SPR telah bertindak diluar batas kuasanya dengan meragui surat tersebut. Perlu diingat bahawa SPR hanya pelaksana apabila dimaklumkan oleh Speaker ada kekosongan. SPR tiada kuasa untuk meragui. Di sini punca masalah berbanding masalah lain seperti menderhaka kepada Sultan. Jika SPR menerima seadanya makluman Speaker maka kekecohan tidak akan berlaku. Oleh kerana SPR bertindak diluar batasnya, kerajaan PR memulakan langkahuntuk membubar dewan supaya mandat baru dapat diperoleh.

Kesilapan berlakuapabila MB mengumumkan hendak membubar dewan sebelum perkenan Tuanku diterima. Oleh kerana Institusi Raja Melayu ini agak sensitif (mungkin manja), sebarang perkara membelakangi Sultan dianggap sebagai sesuatu yang besar.

Di pihak BN, mereka tidak mampu untuk bergerak untuk pilihanraya seluruh negeri. Dua pilihanraya sebelum ini yang menyaksikan kekalahan danpelaburan wang yang banyak, tidak memungkinkan satu pilihanraya seluruh negeri. Cuba bayangkan jumlah pelaburan yang perlu disediakan. Hatta pilihanraya 2 DUN pun BN akan merasa peritnya. Jadi langkah terbaik bagi BN adalah mengambil alih tanpa pilihanraya.

Oleh kerana BN/UMNO lebih arif berurusan dengan Sultan, maka cadangan membentuk kerajaan baru dipersembah kepada Sultan. Apabila Sultan menerima kerajaan baru oleh BN, ada perkara yang baik dan buruk terjadi.

1) Sultan diragui kerana tidak peka kepada suara rakyat. Telah jelas rakyatperak majoritinya mahukan PR kekal. Sultan dikritik kerana tidak membenarkanpembubaran DUN untuk mendapatkan mandat baru. Tindakan Sultan tergesa-gesa menerima kerajaan baru dipertikai. Sebaik-baiknya kes perletakan jawatan 2 ADUN diselesaikan dahulu sebelum diputuskan kerajaan baru.
2) Tindakan Sultan membuktikan Institusi Raja Melayu masih mempunyai kuasa yang signifikan. Ia membuktikan Agenda 16 September oleh Anwar adalah sesuatu yang boleh terjadi. Difahamkan, Agung tidak menerima untuk melakukan perkara yang sama seperti mana yang Sultan Perak berikan kepada BNdi Perak.

3) PR dan DS Nizar melakukan kesilapan kerana menganggap perlantikan MB baru adalah tidak sah. Tindakan 'cengei' (berkeras) MB Nizar memburukan keadaan. Perlu ingat tindakan DS Nizar dibelakangi oleh pimpinan atas PR.

4) Tindakan 'cengei' ini menaikkan emosi rakyat. Demontrasi tidak terkawal dengan kelakuan buruk perserta. Ini satu perangkap BN untuk menjustifikasi tindakan mereka. Jika penyokong PR lebih waras dalam membaca permainan BN, saya kira PR akan 'gain more'

5) Polis,Tentera, Mahkamah, SPR,SPRM dan Institusi Raja adalah antara kuasa tersendiri dalam senario politik tanah air. Polis,Tentera, SPR,SPRM dilihat lebih pro kepada BN. Tentera lebih bersifat senyap. Polis sudah diketahui peranannya. SPR telah menunjukan contoh dalam menolak makluman Speaker DUN. SPRM tidak curiga berkenaan ADUN yang 'hilang' tiba-tiba bertukar kepada Bebas. Mahkamah pula tidak boleh berbuat apa-apa selagi tiada kes dari polis, SPRM dan SPR. Dan yang tinggal hanya Institusi Raja Melayu. PR membuat kesilapan kerana tidak memenangi Institusi Raja Melayu yang menjadi harapan terakhir mereka. Ditambah dengan sikap Karpal yang sentiasa cuba mengurangkan kuasa Raja.

6) Dalam situasi begini, Karpal Singh cuba melaksanakan agendanya untuk menyerang Institusi Raja Melayu. Beliau sedia maklum, dengan kurangnya kuasa Raja, maka Islam juga akan kurang kuasanya. Agenda Karpal yang anti-Islam sudah diketahui umum.

Diharap apa yang berlaku membawa kebaikan kepada semua pihak baik UMNOmahupun PAS(PR). Ini mungkin cara Allah SWT untuk rakyat Malaysia belajar 'from hard way'. Dalam pada ada yang tidak mahu pilihanraya, Allah kurniakan satu pilihanraya di Bukit Gantang. Sesungguhnya Allah sedang berbicara dengan kita.

Maka BN sekali lagi akan diuji dan teruji di Bukit Gantang...

Wednesday, February 11, 2009

MRSM JASIN... KAMI DATANG





Afif mendapat tawaran ke sini. Alhamdulillah syukur. Setelah menghantar anak-anak ke sekolah, kami pun bertolak ke Jasin Melaka..

Jasin- Segamat tidaklah terlalu jauh, dalam 1 jam 20 minit boleh sampai. Sekolah MRSM Jasin cantik dengan bangunan tersusun indah walaupun agak lama.. Pendaftaran berjalan lancar, walaupun ada sedikit gangguan.. Dua orang sebilik ditempatkan pelajar, dan Afif mendapat blok C, 16.

Sesi taklimat pengurusan berjalan lancar walaupun ucapan wakil Muafakat (persatuan Ibu Bapa) kurang jelas dan dewan penuh sesak.. Diakhiri dengan pertemuan mentor menti atau homeroom pelajar.. Afif mendapat cikgu/ustazah Noor Elyana.

Kami berkemas di bilik Afif dan keluar ke Jasin membeli barangan yang belum cukup dan makan tengah hari... Pulang selepas solat Asar di surau MRSM.

Umminya terasa kehilangan seorang anak... Semoga Afif berjaya hendaknya di sini

Friday, February 6, 2009

MRSM TUN GHAFAR BABA..

Tahniah Afif yang ditawarkan tempat ke Tingkatan 4 di MRSM TGB, Jasin. Lokasinya tidaklah terlalu jauh dan tempatnya pun dikatakan baik. Semoga Afif boleh belajar dengan baik dan menerapkan budaya yang baik dari persekitaran MRSM

Syukur Alhamdulillah atas ketentuan Allah kepada kami.. Mohon doakan keselamatan dan kejernihan iman untuk Afif dan kita semua...

A.KADIR JASIN DAN SAYA PENGIKUTNYA..

Meneliti blog A.Kadir Jasin amat menarik kerana ideanya yang bernas dan pengikutnya kalangan orang hebat. Berkaitan krisis ekonomi semasa, antara lain beliau mengulas;

1. Krisis kali ini lebih buruk dan luas daripada krisis kewangan serantau yang melanda Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun 1997/98;

2. Krisis kali ini berpunca dan bermula di Amerika Syarikat akibat krisis subprima dan merebak dengan pantas ke seluruh dunia, khasnya ke negara-negara maju;

3. Disebabkan Amerika adalah ekonomi terbesar di dunia, kemelesetan ekonominya menjejas ekonomi dunia keseluruhannya;

4. Malaysia bergantung terus kepada Amerika sebagai salah satu destinasi utama eksport dan sumber penting pelaburan asing;

5. Krisis subprima yang menyebabkan banyak institusi kewangan dan peminjam, khasnya pemilik rumah, muflis menjejas kuasa membeli Amerika;

6. Apabila pengguna Amerika dan negara-negara maju yang lain mengurangkan import, eksport kita akan berkurangan;

7. Kilang-kilang yang mengeluarkan barangan untuk pasaran Amerika dan dunia terpaksa mengurangkan pengeluaran atau ditutup terus;

8. Ada anggaran mengatakan seramai 400,000 pekerja sama ada sudah hilang pekerjaan atau tidak lagi mempunyai pekerjaan sepenuh masa atau tetap dan 200,000 lagi dalam ancaman;

9. Pekerja yang hilang pekerjaan atau tidak lagi mendapat gajian penuh akan mencetuskan reaksi berangkai (chain reaction) – tiada pekerjaan tiada pendapatan, tiada pendapatan tiada perbelanjaan, tiada perbelanjaan tiada pengeluaran dan tiada pengeluaran kilang terpaksa ditutup menyebabkan lebih ramai lagi pekerja yang akan menganggur;

10. Anggaran pengangguran yang sangat membimbangkan ini wajib diberi perhatian kerana ia mungkin tepat. Ini kerana bukan semua pekerja berdaftar, bergaji tetap atau mempunyai majikan. Ramai yang bekerja sendiri;11. Justeru itu adalah sangat penting ekonomi dalam negara (domestic economy) diberi rangsangan agar kepenggunaan boleh dikekalkan pada tahap yang tinggi kerana kepenggunaan (consumption) memberi kesan langsung kepada pengeluaran (production) dan seterusnya kepada guna tenaga (employment)......."



Selanjutnya, ramai pula pengulas atas perkara yang sama, dan saya suntingkan antaranya;

1. "Dulu, 10 tahun yang lepas, mereka diberi bonus RM500 seorang. TDM secara jelas memaklumkan bonus itu adalah untuk meransangkan ekonomi dan meminta bonus itu dibelanjakan habis untuk produk/khidmat tempatan.Bukan saya nak minta bonus. Tak ada kena mengena pun.Cuma nak nyatakan, dulu, kerajaan akui kemelesetan ekonomi. Dan kerajaan bekerjasama dengan rakyat secara langsung dalam menghadapi kegawatan.Kerajaan jelas dalam tindakan. Rakyat faham dan tahu apa nak buat."


2. "Menantu saya bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan ternama. Mengikut jadual, kapal yang beliau bekerja itu sepatutnya mula belayar pada awal bulam Februari ini. Tetapi sehingga hari ini masih tertunda dengan alasan tidak cukup material yang hendak di angkut. Destinasi kapal tempat beliau bekerja ini ialah seluruh pelabuhan di Asia Timur, Amerika Utara dan Eropah. Memang ternyatalah seperti kata Dato' tekanan kemelesetan ekonomi telah merebak keseluruh dunia.Berbalik kepada pakej rancangan ekonomi yang menurut Najib telah dilancarkan bernilai 7 bilion, sampai hari ini tidak nampak apa kesan sama ada kesan nyata atau kesan tersirat.

3. "1.auditor - saya tanya, apa status cash flow kebanyakan syarikat yang diauditnya.2.kontraktor - saya tanya, banyak ke projek baru, bayaran kerajaan lancar atau sangkut dan berapa banyak default projek sebab barang binaan naik harga.3.ejen hartanah - apa perubahan dalam kemudahan pinjaman bank untuk perumahan selain pinjaman peribadi.4.broker/remisier - banyak mana jumlah akaun urusniaga saham/futures yang baru dibuka.5.pesara - komen mereka tentang kos sara hidup dan keadaan anak-anak yang baru habis belajar yang sedang mencari kerja (nak jumpa pesara, pergi ke mana-mana BSN pada 2/3 hari selepas penjawat awam menerima gaji).Kebanyakan respon yang saya terima adalah agak negatif."

Beginilah padahnya kita terlalu bergantung dengan ekonomi luar sedangkan kekuatan dalaman kita tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Lagi satu kita terlalu banyak berpolitik sehingga lupa tugas untuk menjaga keperluan dan kepentingan rakyat.

Wednesday, February 4, 2009

APA NAK JADI, APA DAH JADI..

Lagu ini ikut rentak lagu Apa Nak Jadi nyanyian SM Salim

Apa nak jadi
bila negeri dah kacau bilau
ada YB yang lompat parti
parti sana ke parti sini
apa nak jadi...

YB yang pertama tu, orangnya hensem bukan main lagi
tapi lompatlah juga.. melompat ke PKR

YB yang kedua tu, hilang ghaib entah ke mana
tiba-tiba dengar dah gugur jawatan
nasib baik SPR tak luluskan
kalau tidak mengundilah lagi
Apa nak jadi...

Begitu juga YB yang sorang lagi tu..
lompat parti nak cari makan
tak kira apa orang nak kata
asalkan dapat hajat di hati

Apa nak jadi
apa dah jadi
hanya pak Bghahim saja yang hebat
lompat sana lompat sini
tapi semua dia dapat...
Tahniah YB Bghahim..

Apa nak jadi..
kes Altantuya tak habis-habis
asyik sebut sana sebut sini
kait sana kait sini...

hai berpeluh lah lagi...
berpeluhlah lagi (orang tertentu je lah tu)
Apa nak jadi...

(Maaf lagu ini tak habis setakat ini, mungkin ada komenter daripada pelayar blog)

Tuesday, February 3, 2009

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

Katak melompat untuk mencari makan. Melompat menangkap kelkatu atau rerama yang berterbangan untuk temboloknya. Hari ini orang politik juga melompat. Melompat dengan tujuan yang sama; untuk mencari makan. Cuma definisi berbeza; bagi pembangkang bila melompat ke team pemerintah disebut sebagai demokrasi, tetapi apabila melompat ke pembangkang disebut sebagai pembelot dan pemusnah harapan rakyat.

Walau apapun, sebenarnya melompat-lompat seperti ini tidak bagus. Tidak baik. Elok berpegang pada prinsip yang satu; KEBENARAN. Apabila perjuangan tidak berlandaskan KEBENARAN, melompat akan menjadi kebiasaan yang akhirnya kedudukan kerajaan yang memerintah akan terus tergugat dan terancam. Kerajaan hanya akan memikirkan bagaimana hendak menjaga ahli supaya tak lompat, memberi kemewahan dan kekayaan apa yang diminta, tanpa pedulikan kehendak dan pembangunan untuk rakyat..

Mungkin Ibrahim Ali tidak setuju dengan pendapat ini, tetapi itulah realitinya.. Selamat melompat kalau anda suka mencari makan seperti sang kodok...