Tuesday, December 27, 2016

INTAN LIANA - A RAMLIE


Anakku sayang Intan Liana
kaulah pelita hidup ayah ini

Anakku sayang
dengarlah pesan
ayah nyanyikan
lagu untuk Liana

Hanya satu saja harapan ayah
beri kasih sayang pada semua
sayang ibumu sayang semua
hidupmu tentu nanti dipandang mulia

Ayah merasa bangga bila di hari tua
anakku bergembira, sayang-sayang

Dengar anakku
pesan ayahmu
buatlah azimat
bila kau dewasa

Bila kau dewasa
kau kan berjaya
semoga jadi pemimpin negara
itu impian ibu dan ayah
carilah ilmu berusaha dan jangan lupa

Ini nasihat ayah dan ibu
buat azimat bila kau dewasa


Lagu ini adalah saduran daripada sebuah lagu Hindustan yang pupular pada ketika itu. Lagunya saya tidak pasti tetapi rangkap mudahnya yang saya ingat ialah;

Ommerebetti
omme rekehni..

Lagu ini sememangnya A Ramlie khususnya kepada anaknya Intan Liana sebagai buah hati mereka. Namun perhatikan nasihatnya yang cukup bermakna, kuat dengan harapan dan impian seorang ayah dan ibu.

Di mana Intan Liana sekarang?

KITAB INI TIDAK PERNAH MENYESAKKAN DADA KITA

Kitab al-Quran yang Allah turunkan kepada manusia tidak pernah sama sekali menyesakkan dada mereka. Allah jadikan al-Quran sebagai zikir dan ingatan kepada orang yang beriman. Al-Quran mendamaikan, memberikan ketenangan kepada pembacanya, merungkai seribu masalah walaupun masalah itu masih berlingkar. Al-Quran adalah rahmat Allah semata-mata keapda hamba-Nya.


"Inilah sebuah kitab yang diturunkan kepada kamu, lalu ia tidak menyesakkan dadamu sebagai peringatan dan zikir kepada orang yang beriman. Ikutilah apa yang Allah turunkan kepada kamu dan janganlah kamu mengikuti selain-Nya sebagai pemimpin. Malangnya hanya sedikit yang mengambil peringatan." (Al-Akraf 2 - 3)

Saturday, December 24, 2016

KORBAN PERCINTAAN - JULIE REMIE -INDAH SENI KATANYA


Duhai kanda rayuan hati
Rayuan kasih cinta abadi
Tiga tahun peristiwa berlalu
Batin tersiksa dipasung rindu

Tapi kini apa kan daya
Aku hanya insan biasa
Pada Tuhan aku berserah
Menyerah diri di atas sejadah

Aku tahu kau tak bersalah
Takdir Tuhan tiada terduga
Hanya doa dan air mata
Mengiringi perpisahan kita

Padamu kasih aku berpesan
Kira jasadku meninggalkan badan
Di atas nisan tolong tuliskan
Inilah kubur korban percintaan

Menghayati lagu Julie Remie yang ini adalah sebuah hasilan terbaik pada seni katanya dan irama. Ia satu keserasian melangkolik yang tiada ternilai keindahannya. Saya tidak tahu siapa penulis lirik dan pencipta lagu ini, hanya lagunya sahaja kita dapat hayati sejak zaman berzaman. 

Simboliknya ia mengkisahkan percintaan rahsia selama tiga tahun yang berakhir dengan perpisahan. Perpisahan itu terjadi kerana si teruna dikahwinkan dengan insan lain. Nilai keinsafan dan keagamaan jelas dirungkap dengan baik pada setiap bait lagu. 

'Batin terseksa dipasung rindu' adalah ungkapan tercantik pada bahasa dan makna yang tersirat. Daya imaginasi penulis lirik cukup tinggi dan memberi makna yang tepat kepada leluhur jiwa yang terpasung selama tiga tahun lamanya. Tiga tahun memendam rindu yang tidak berkesudahan. 

Perhatikan kalimah 'menyerah diri di atas sejadah' adalah simbolik keabadian Tuhan sebagai seorang hamba yang ditimpa musibah. 

Pada rangkap akhir, andainya boleh ditulis pada batu nisan, kau tulislah 'inilah kubur korban percintaan' sebagai luahan tragis hingga ke liang kubur menanggung penderitaan cinta. Begitulah hebatnya empat rangkap lagu yang diadun, tetapi ternyata ia begitu kuat dan kukuh pada makna dan maksud. 

Sukar kita mencari keindahan bahasa seperti ini dalam lagu bikinan pencipta lagu hari ini. Masihkah ada lagi?









BERSEMBUNYI - KENANGAN BERSAMA AYAH

Kelakon anak-anak berbagai. Ada kalanya pelik dan ada kalanya sukar diduga. Aku semasa kecil juga begitu. Kelakuan pelik yang entah kenapa aku buat, walaupun aku tidak suka. Kelakuan kebodohan yang tidak sepatutnya dibuat, tetapi sengaja dibuat tanpa tujuan, tanpa niat, tanpa matlamat yang hendak dicapai.

Suatu malam aku duduk di bawah tangga kayu di dalam rumah. Tangga kayu kecil itu tertutup sedikit dengan rasuk tangga. Walaupun kecil sahaja tangga itu, aku boleh memuatkan diri berlindung di bawah tangga.

Pada mulanya aku sekadar cuba berselindung daripada dilihat, dan ternyata tidak ada seorang pun perasan aku di bawah tangga kecil. Beberapa lama selepas Isyak, aku masih leka berlindung di bawah tangga sehinggalah Abang Mustafa dan Ayah balik dari surau.

Mereka mula perasan aku tidak ada.

Mad E tak dak.. dia hilang.. dia gi mane?

Lalu ayah dan abang pun bergegas mencari ke mana aku hilang. Aku tahu mereka sedang mencari aku, aku dengar setiap derap langkah mereka pijak tangga tempat aku bersembunyi. Aku diam kaku membatu di bawah tangga untuk beberapa waktu.

Saat itu aku terfikir, mereka telah mencari aku, maka eloklah diberikan sedikit waktu lagi untuk mereka mencari sebelum aku memunculkan diri.

Tidak lama, aku pun keluar dari persembunyian dengan selamba tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Mu gi mane?

Aku diam membatu. Aku tidak mampu menjawab sekadar diam dan kami makan malam bersama-sama.

Maafkan aku Ayah, abang, kakak, makcik dan semua.

Perangai pelik itu sesekali muncul dalam diri yang pelik ini.

Friday, December 23, 2016

KENCING MALAM - MAAFKAN AKU AYAH

Ada saat yang aku boleh ingat dengan jelas.

Suatu malam Ayah datang ke rumah kami. Emak melayan ayah sebaiknya sebagai seorang isteri.

Aku tidak tahu apa-apa, hanya pagi itu Emak marah betul kepadaku kerana aku kencing malam.

Emak marah betul pagi itu, walaupun sebenarnya hampir setiap malam aku terkencing malam, jika emak tidak bangunkan aku untuk kencing di jemuran rumah.

Patut dan memang patut emak marahkan aku kencing malam kerana malam itu Ayah ada bersama emak..

Maafkan aku emak, maafkan aku ayah.

BELAKANG PINTU - KENANGAN DENGAN AYAH

Sesekali Ayah menjengah kami di rumah belakang. Pada ketika itu aku tinggal bersama emak dan kakak Aisyah. Emak masih ada, dan rumah kecil kami di belakang rumah Mak Cik. Sebaiknya emak melayan Ayah datang bertandang atas apa jua sebabnya. 

"Ayah nak rokok, mu amik petik api dalam cerana tu, Mad E" (Tolong ambilkan pemetik api dalam cerana)

Aku mengambil pemetik api dan terus sahaja mencampakkan pemetik api kepada ayah. 

Emak terus bersuara.

"Wokpa mu thuk gitu.. beghi la molek ke ayah mu" (Kenapa kamu campakkan begitu, berilah dengan baik kepada ayah kamu)

Aku menjadi malu sendiri. Lalu aku bersembunyi di belakang pintu. Lama aku bersembunyi dan menunggu sehingga ayah balik. Aku malu dan teramat malu dengan ayah. 

Aku terlalu kecil ketika itu.. Maafkan aku. 

TAHLILAN DAN BERZANJI - KENANGAN DENGAN AYAH

Pergi kenduri dengan ayah memang seronok, yang utama boleh makan bersama Ayah dalam 'kepala hidang' yang tentunya lebih istimewa. Gulai kambing tetap gulai kambing juga, hanya mungkin bahagian kepala kambing itu yang menjadi hidangan utama untuk ayah. Dan aku di sisi ayah akan dapat makan apa yang ayah makan.

Dan Ayah pula suka membawa aku menemaninya ke majlis kenduri kendara. Aku ikut sahaja tanpa membantah. Mungkin kerana tubuhku yang agak kecil dan mudah ayah nak kayuh basikal tuanya tanpa teralu berat, mungkin juga aku jenis pendiam yang tak akan berkata apa, tidak akan memberi reaksi apa biar bagaimanapun sekali majlis itu.

Kerap kali majlisnya lambat berakhir. Bayangkan jika ada tahlil, yasinan dan diikuti pula berzanji, tentulah mengambil masa yang panjang. Pada ketika itu, kami buat kenduri tidak kami kisahkan hari sekolah atau hari cuti. Asalkan ada malamnya, kami buat sahaja tahlil dan kenduri.

Ayah pula ajak sahaja aku menemaninya. Aku ikut.

Dalam majlis yang panjang itu, puas aku bertahan untuk tidak tidur, tetapi kadang kala tertidur juga. Apabila tertidur, aku akan dikejutkan ayah sebelum kami dapat bergerak balik. Kami melalui denai dan kebun-kebun dari Padang Gelanggang ke Pondok Padang Nyiur. Ingat, pada ketika itu tiada lagi jalan bertar, semuanya jalan selut berlumpur ketika hujan dan berdebu ketika kering. Kami akan jatuh ke selut jika tayar basikal terheret ke lumpur dalam, dan boleh terjatuh juga jika debunya terlalu banyak.

Membonceng basikal tua ayah di belakangnya, suatu yang mangli. Tiada apa yang hendak dikesal.

SELIPAR BURUK - KENANGAN DENGAN AYAH

Suatu ketika aku tinggal berdua dengan Kak Aisyah di tepi rumah Mak Lang. Kami tinggal berdua dalam sebuah rumah yang menguruskan makan minum sendiri, menguruskan persekolahan sendiri, menguruskan tumbuk padi dan mencari kayu api sendiri. Ia tidak lama, tetapi ia sudah cukup untuk kami tahu apa yang kami lalui.

Aku pernah demam yang agak lama ketika tinggal dengan Kak Aisyah. Kakak Aisyah dalam Tingkatan Satu dan aku Darjah Empat. Cikgu sekolah datang melawat ketika aku menghadapi demam yang lama tidak bersekolah.

Mak Lang Nah dan Mak Ngah Timah pernah memandikan aku pada tengah malam dengan air bakaran tempurung kelapa bagi menyembuhkan demam. Aku ikut sahaja apa yang mereka lakukan, kerana itulah ikhtiar yang aku suka. Aku tidak suka ubat, aku tidak suka doktor. Pahit.

Tinggal berdua pada usia pra matang, adalah pengalaman yang sukar. Menanak nasi dengan kayu api yang kami cari dari pagar kebun orang sahaja, dengan ikan tamban dipanggang dan dibakar yang masak bersama api nasi itu juga. Itulah lauk kami. Paling kami suka makan pucuk keledek direbus dan makan dengan air asam. Itulah lauk kami. Sesekali juga kami makan ulam daun kesum direbus sebagai makanan kami. Itulah rezeki kami.

Tali pancing (tahan taut) tidak pernah lekang daripada kehidupan kami, kerana itulah sumber makanan lauk yang kami makan. Ikan keli atau haruan, sepat dan puyu tidaklah menjadi perkiraan asal sahaja ia boleh dimakan.

Kami pernah kehabisan beras dan kami membeli biskut kering 20 sen dan kami makan bersama sebagai makan tengah hari dan malam. Maaf, kami tidak berupaya untuk meminta daripada ayah atau Mak Lang di sebelah rumah. Kami tidak cerdik untuk meminta itu dan ini.

Selipar yang aku pakai, asalkan sahaja ia boleh dinamakan selipar. Biarpun telah putus, aku sambung dan ikat dengan tali rafia. Sudah putus sebelah, aku repair lagi. Ikat dengan dawai halus tahan lebih lama. Sehinggakan kelihatan dawai yang lebih banyak bersirat pada seliparku. Aku pakai juga kerana itulah selipar yang aku ada.

Maafkan aku Ayah, kerana aku tidak pandai meminta daripada Ayah untuk membelikan itu dan ini. Aku tidak pandai sebenarnya.

Sehinggalah suatu hari, aku tidak tahu dari mana datangnya keberanian itu, lalu aku bertemu ayah di pintu pagar surau dan meminta selipar baru.

"Ayah, Mad E nak kasut baru..." (Kasut adalah selipar bagi kami)

Ayah memandang tepat ke kakiku. Melihat selipar burukku bersirat dengan dawai.

Segera Ayah memalingkan mukanya ke belakang. Aku kira Ayah menangis melihat keadaanku ketika itu. Aku perasan Ayah menitiskan air matanya. Maafkan aku Ayah, anakmu ini tidak pandai, sebenarnya.



TEMANKAN KAMI DI DANGAU DUSUN - KENANGAN DENGAN AYAH

Musim durian menjadikan kami lebih meriah dan bermakna. Musim durian memberi sedikit kelegaan kepada ekonomi keluarga kami. Jualan durian menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada kami sekeluarga. Setiap buah yang gugur ada harga yang perlu dibayar.

Harga durian kami ketika itu sebiji 70 sen atau seringgit jika besar. Biasanya peraih akan membeli dengan harga tangguh, kerana keesokan harinya baharu kami dapat bayaran setelah peraih menjual durian itu kepada pembeli lain di luar dusun sana.

Musim durian menjadikan kami lebih rajin. Kami kena menebas dusun, membersihkan pokok-pokok di bawah pokok durian. Kami perlu tidur di dangau bagi mengelakkan pencuri mencuri durian pada malam hari. Kami perlu berulang alik lebih kerap ke dusun bagi memastikan hasilnya dapat ke tangan kami.

Dusun Kampung Raja hampir empat ekar luasnya. Pokok-pokok warisan telah tua dan tinggi, namun buahnya amat sedap dengan berbagai cita rasa durian kampung.

Aku dan Sanusi sejak awal lagi akan tidur di dangau. Kami tidak takut untuk ke dusun pada malam hari. Kami berbasikal dan sampai ke dusun untuk tidur. Berbantukan lampu picit, kami mencari durian yang gugur pada waktu malam dan mengumpulnya di dangau sebelum dijual keesokan hari.

Ayah pernah menemankan kami di dangau. Biasanya Ayah akan datang lewat malam dan tidur bersama-sama kami, dan dia balik awal sebelum waktu Subuh. Kadang kala kami tidak tahu kehadirannya pada malam hari menemani kami.

Betul ke ayah datang?

Kami berbalah sendiri, tetapi tidaklah pula kami bertanyakan ayah tentang hal itu.

Kami tidak berani bertanyakan walaupun hal seperti itu, kerana dialah AYAH kami.

NAK TIDUR LAMA DI DALAM KUBUR - KENANGAN DENGAN AYAH

Setiap hari ayah membangunkan kami untuk solat Subuh.

Ayah tidak pernah bosan mengejutkan kami pada setiap hari.

Kadang kala kami lewat bangun dan banyak kalanya memang kami lewat bangun.

Ayah bertambah berang dengan sikap kami yang lambat berpagian untuk solat Subuh.

Dalam diari kami, setelah bangun pagi tiadalah lagi kami akan kembali tidur. Tidak pernah kami tidur kembali sesudah bangun pagi. Tidak pernah dan memang tidak pernah. Hanya setelah berada di asrama, baharulah pengaruh itu berjejak ke dalam diri.

Suatu pagi ayah kejutkan kami dan dengan nada yang agak keras abah bersuara;

"Bakitlah tidur tu. Kalu mu nak tido lame, tido dalam kubur nanti la" (Bangkitlah daripada tidur.. Kalau kamu hendak tidur lama, tidurlah di dalam kubur nanti).

Kata-kata itu kami dengar pada awal pagi, dan ia masih berbekas dalam diri ini.

Terima kasih ayah.

BANG PA - KENANGAN DENGAN AYAH

Abang Mustofa adalah abang idola kami. Dia abang sulung dalam keluarga kami. Dia anak lelaki yang paling gentel dalam kelaurga kami. Dia orang yang kami kasih dan sayang, bahkan selamanya.

Semasa kecil, kami (aku dan Sanusi) memanggil abang Mustofa dengan panggilan 'Bang Pa'. Apabila Bang Pa balik dari Alor Setar (belajar di Maktab Mahmud dan tinggal di rumah sewa, 378 Lorong Molek Simpang Kuala), kamilah orang yang paling gembira. Gembira kerana selalunya Bang Pa akan bawa balik buah tangan. Biasanya epal atau limau, kadang kala gula-gula yang sudah cukup untuk membahagiakan kami.

Abang Pa rajin melayan kami. Dia pernah menarah pungsu (busut) untuk dibuat tangga dan kami duduk di atas tangga kayu di atas busut di tepi telaga. Abang Pa rajin membawa kami mandi sungai dan kami naik basikal bertiga ke sungai. Kami seronok. Kami bangga ada abang yang baik sepertinya.

Pada hari raya, akulah orang yang paling bahagia. Aku menjadi 'ekornya' yang tidak pernah lekang dari belakangnya.. membontotinya ke mana sahaja dia pergi beraya.

Suatu hari ayah menegur kami; 'Wok pa mu dok pange 'Bang Pa'.. pange 'abang' la..."

Oh begitukah sepatutnya?

Lalu sejak hari itu, kami memanggil Bang Pa dengan Abang sahaja.

KETAYAP SUATU YANG WAJIB - KENANGAN DENGAN AYAH

Sebagai imam dan ketua masyarakat, Ayah selalu diundang ke majlis kenduri kendara dan kematian. Tidak kira jauh atau dekat, ayah pasti akan pergi. Basikal, basikallah satu-satunya kenderaan yang ayah ada dan ayah boleh naik. Motorsikal masih terlalu jauh untuk kami miliki. Motorsikal masih nadir di kampung kami pada ketika itu, inikan pula kereta. Hanya sesekali sembahyang mayat atau mahu ke Pekan Kuala Nerang atau Alor Setar, baharulah kami naik kereta atau bas.

Hari itu aku bersama mak dan mak ngah berjalan kaki menuju ke Kampung Tanjung bagi menghadiri kenduri. Kami tidak kisah berjalan kaki sejauh 2- 3 KM berkenduri kendara. Itulah peluang kami hendak makan makanan sedap, gulai daging semangkuk yang dikongsi empat orang dalam satu hidang!

Ketika sampai ke Kilang Padi Kampung Tanjung, Ayah berbasikal melewati kami. Dan Ayah berseorangan. Ayah mempelawa aku menaiki basikalnya, dan aku amat teruja berbasikal tua dengan ayah. Malangnya ketika itu aku tertinggal ketayap di kepala. Emak berasa keberatan membenarkan aku menumpang ayah, tetapi ayah diam. Dan akupun dapatlah juga menaiki basikal ayah ke kenduri.

Ingat, anak tok guru kena pakai kepiah ketayap untuk ke majlis kenduri. Songkok hitam pun tak boleh...

RUMAH ITU KEHIDUPAN KAMI - KENANGAN DENGAN AYAH

Tidak banyak kenangan yang dapat kurakamkan selama 13 tahun bersama ayah. Pada sisiku, ayah adalah insan yang kuperhatikan dari jauh. Tentunya tidak sedekat dan serapat sebagaimana anak-anak zaman sekarang dengan abahnya. Namun kami amat menghormati Ayah. Namun kami amat mengasihi ayah, kerana sedikitpun tidak pernah EMAK, Mak Cik mahupun sesiapa juga yang pernah memburukkan AYAH di hadapan kami. Tidak pernah dan memang tidak pernah sekalipun aku dengar orang mengatakan Ayah itu dan ini.

Ketika berada di Darjah Empat, kami berkhatan. Daud, Hisyamudin, Sanusi dan aku berkatan bersama-sama di rumah ayah. Ketika itu aku tinggal di rumah Mak Lang Aminah, emak saudaraku bersama dengan kakakku, Aisyah. Pakatan ayah agaknya, membolehkan kami empat sekawan berkhatan sama-sama. Tok Mudin Halim dan Tok Mudim Mat yang bertugas di atas batang pisang sebelum kami mandi berhabis-habisan di telaga berhampiran rumah.

Dengan sebab berkhatan, Kak Aisyah turut duduk di rumah Ayah bersama kami. Suatu hari setelah aku sihat, aku dan Kak Aisyah mengemaskan baju. Baju-baju kami tidak banyak, hanya sebungkus kain pelekat sahaja. Itulah harta kami. Aku melonggokan baju di dalam kain pelikatku, dan Kak Aisyah juga berbuat yang sama.

Ketika ayah melihat kami, dia bertanya; "Mu nak gi mane ni?"

"Kami nak pinah (pindah) ke rumah Mak Lang."

Ayah yang baru balik dari surau ketika itu melihat tajam ke dalam mataku.

"Mad E, Ayah buat rumah besar ni untuk mu duduk sini. Duduklah sini. Tak sahlah nak pinah (pindah) lagi!"

Itulah satu ayat yang agak panjang aku dengar daripada ayah. Itulah kalimah yang mengubah pertimbangan seorang anak dengan ayahnya.

Aku diam. Kami diam. Kaku dan kelu tidak terkata.

Aku kembali mengemaskan barangan kami ke tempat asal. Dan dari saat itulah aku menjadi penghuni tetap di rumah ayah bersama Mak Cik yang kami kasihi.


21 DISEMBER 1978




Padi telah menguning dan kami anak beranak turun ke bendang untuk mengerat padi. Ayah, Mak Cik Melah, Abang Teh, Sanusi dan aku turun ke bendang di tepi sekolah. Dangau kecil tempat kami letakkan bekalan makanan. manakala tong pemukul padi telah kami tebarkan layarnya.

Petak pertama kami kerat tidaklah sebanyak mana. Sedikit-sedikit dengan kudrat kami sekeluarga sahaja. Ia sudah cukup untuk membekalkan beras setahun untuk kami sekeluarga. Aku dan Sanusi berada di Tingkatan Satu di Maktab Mahmud ketika itu.

Ayah seperti selalu, kurang cakapnya. Dia lelaki yang tabah, tegas dan banyak diam daripada cakap. Cakapnya sepatah dua cuma, tidak pandai berjela-jela. Cakapnya sebaris ayat sahaja. Itulah yang perlu kami fahami apa yang ayah minta, apa yang ayah harapkan.

Kami perlu pulang lebih awal pada hari itu kerana ada kematian di kampung. Biasanya ayah akan pergi menyembahyangkan jenazah, dan hari itu jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor. Mak Cik Melah pula pulang awal kerana hendak berziarah kematian di tempat yang sama. (Maaf, saya lupa siapa yang meninggal dan di mana)

Kami tiba di rumah dengan basikal masing-masing. Ayah mandi di telaga, kakak Aisyah pula menanak di dapur untuk makan tengah hari kami. Mak Cik Melah terlebih dahulu pergi ke rumah orang mati. Usai mandi, Ayah naik ke beranda dan berehat di meja kayunya seperti kebiasaan. Di meja itulah ayah selalu bersarapan pagi, di meja itulah ayah menyambut tetamu yang selalu datang ke rumah ayah. Ayah adalah imam di Masjid Padang Gelanggang dan ayah juga seorang tok guru pondok yang sering dirujuk pendapat dan ilmunya.

Aku di dapur bersama kakak dan Sanusi. Abang Teh di bawah rumah...

Tiba-tiba abang Teh memanggil kami;

"Mari sini.. tengok ayah jadi apa ni!!!"

Kami semua bergegas ke beranda dan melihat ayah telah terbaring di atas beranda. Baringnya diam tidak terkata apa-apa lagi.

Ayah ni kenapa? Ayah! Ayah! Ayah!

Ayah kekal terbaring dan tidak menjawab panggilan kami.

Kami memanggil Pak Teh (Tuan Guru Datuk Haji Ahmad) di sebelah rumah kami. Pak Teh datang dan dia tidak berkata apa-apa. Dia diam melihat wajah Ayah yang kaku.

Beberapa jiran kami juga datang menjengah secepatnya berita yang kami sampaikan.

Terdengar bisikan; "Ayahmu dah tak ada!"

Aku masih tidak percaya, masih tidak mengerti walaupun cuba menerima hakikat kematian secara tiba-tiba ini. Hanya terdetik dalam hati, oh mungkin hari ini aku dapat catatkan satu lagi kisah hitam dalam warna kehidupanku lewat diari yang aku miliki. (Diari adalah resam kami dahulu, mencatat apa sahaja yang kami lalui setiap hari)

Aku dan Sanusi bersama Hisyamudin diminta untuk memanggil Mak Cik Melah balik. Ketika Mak Cik Melah menatap wajah Ayah, tiada yang terucap selain;  La khaulawala quwwata illa billah..."

Sedangkan tubuh ayah kaku dan terus diam.

Kami diminta lagi berkayuh basikal memberitahu abang dan kakak kami di Kampung Pisang dan Kampung Tanjung. Dan mulalah ramai yang datang menziarahi Ayah.

Jasad Ayah diqiamkan sebaiknya, diletakkan di atas tilam di atas katil di ruang tamu tengah rumah kami. Ramai kawan-kawan Ayah yang datang menziarah. Tok-tok guru pondok, para imam sekitar Padang Terap hingga ke Alor Setar, datang menziarahi Ayah.

Abang Mustapa yang baru berkahwin dengan Kak Yati bertugas di Kuala Lumpur ketika itu. Kami telah memaklumkan kepadanya dan menunggu kepulangannya.

Keesoan harinya selepas Zohor, ayah disemadikan di perkuburan Padang Gelanggang.

Inilah catatan anakmu untuk seorang AYAH yang amat ku sayangi, ku rindui, ku dambakan kasihmu.

Moga Allah temukan kami di syurga-Mu kelak.. amin..


Sunday, December 18, 2016

PEPATAH PUJANGGA - A RAMLIE


Burung-burung berterbangan
Angin pagi bertiupan
Sang suria mula memancar
Menyinari alam yang indah

Insan di dunia mula tersedar
Sehari lagi umur meningkat
Yang dah pergi akan diganti
Yang masih hidup terus berbakti

Jangan takut pada mati
Kalau beriman yang suci
Kubur bukan perhentian rohani
Tapi perhentian jasmani

Wahai orang-orang beriman
Inilah pepatah pujangga
Kata yang telah diberikan
Dari insan bijaksana

Mari insan mari semua

Kau dan aku bertadah tangan 
Memohon doa pada Ilahi
Agar selamat hidup dan mati



Sekitar tahun 70an, setiap pagi lagu ini dikumandangkan melalui corong radio, hampir setiap hari. Dan kami mengalunkan lagu ini pada setiap kali kaki melangkah ke sekolah dengan iringan doa beburung berterbangan, angin pagi bertiupan menyinari alam yang indah. Setiap kali doa kami pohonkan agar selamat hidup dan mati, doa ini kami panjangkan walaupun tidaklah sefaham mana akan maknanya pada ketika itu.


Diharapkan lagu ini dapat diputarkan lagi pada setiap pagi sebagai bekalan kami untuk melangkah ke tempat kerja. Ia ingatan kepada kami, ia ketulusan kepada hati kami yang kian membeku.



Friday, December 2, 2016

KENANGAN LALU - BIKINAN M MASIR

Puas sudah kau melukakan
tiada pernah kau meyakinkan
hati ini yang selalu
mengharapkan kasihmu

Kau biarkan ku marana
mengemiskan cinta suci
apa daya hati ini
telah jatuh dilamun cinta

Mengapa aku disiksa
apakah tujuan ia
mungkin kerna ia pernah
dikecewakan cinta

Katakan pada diriku
aku kan membalut luka
oh jangan kau simpan dendammu
dan aku jadi mangsanya

Aku cinta kepadamu
hanya itu yang tahu
lupakanlah kenangan pahit
kita bina hidup baru

Lagu ini mula aku dengar sekitar tahun 1979 yang menaikkan nama M Nasir sebagai pencipta muda yang berbakat besar. M Nasir seakan membawa bentuk baru lagu dan irama Melayu dengan sentuhan tradisi dan moden, soal kemanusiaan dan kemasyarakatan dan sesuatu yang amat menyentuh hati pendengar. Itulah kelebihan M Nasir.

Lagu ini semacam berhantu kepada diri ini, ia seakan lagu yang paling serasi dan paling kerap dinyanyikan bersendirian pada tiap waktu dan tikanya. Luahan kecintaan yang mendalam kepada seseorang dapat dicurahkan dengan sebaiknya tanpa berselindung lagi.

Dan sesungguhnya lagi ini membesar bersama dengan diriku yang semakin tua, semakin roboh untuk menongkat langit desawarsa.